AGAMA

Utusan Malaysia 07 Jun 2001

Pengusaha hotel digesa pamerkan logo halal

KUALA LUMPUR 6 Jun - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menggesa pengusaha hotel mempamerkan logo halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di premis mereka bagi lebih meyakinkan umat Islam.

Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Profesor Hamdan Adnan berkata, dengan mempamerkan logo halal itu juga, ia akan menarik ramai pelanggan ke hotel-hotel tersebut.

``Apa salahnya pihak hotel meletakkan label halal kerana cara itu lebih meyakinkan orang Islam menikmati hidangan di premis mereka,''

``Walaupun sebelum ini, kita sedia maklum pihak hotel menghidangkan makanan halal tetapi dengan adanya logo bermakna mereka telah menepati garis panduan penyediaan makanan halal,''jelasnya ketika dihubungi di sini pagi ini.

Semalam Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Argus Salim Abd. Razak berkata, pengusaha hotel tidak perlu mempamerkan logo halal Jakim kerana jaminan halal telah dikuatkuasakan melalui kawalan ke atas setiap barangan yang dibeli daripada pembekal.

Dalam pada itu, Hamdan mengakui kos yang tinggi mungkin menjadi salah satu sebab pihak hotel dan pengusaha premis makanan keberatan mendapatkan sijil pengesahan halal daripada Jakim.

``Untuk menggalakkan pengusaha hotel mempamerkan logo halal, saya harap pihak terbabit mengenakan bayaran yang lebih berpatutan,'' jelasnya lagi.

Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dr. Maamor Osman pula berkata, pihak hotel perlu mempamerkan logo halal kerana pelanggan Islam berhak memastikan makanan yang dihidangkan adalah halal.

Katanya, keengganan pengusaha hotel mempamerkan logo halal membayangkan mereka tidak telus terhadap status halal hidangan yang disediakan.

Tambahnya, pihak hotel seolah-olah ingin menyembunyi sesuatu dan mengelak dari memikul tanggungjawab menyediakan makanan yang dijamin halal.

``Tanpa sijil pengesahan halal, tindakan undang-undang sukar diambil sekiranya ada pemilik premis makanan melanggar peraturan,'' jelasnya.

Katanya, pihak berkuasa perlu bertegas menjaga kesucian agama Islam dan mencadangkan Jakim bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) memastikan premis menjual makanan mematuhi piawaian makanan halal.

``PBT perlu menggariskan polisi di mana sebelum lesen dikeluarkan kepada pemilik premis menjual makanan, mereka perlu mendapatkan pengesahan halal daripada Jakim,'' katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jakim, Mohamad Shahir Abdullah yang ditemui di Pusat Islam petang ini enggan mengulas berhubung perkara tersebut.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum