AGAMA

Utusan Malaysia 09 Jun 2001

Subsidi kurang punca bayaran haji naik

PULAU PINANG 8 Jun - Kenaikan kadar bayaran mengerjakan haji yang berkuat kuasa mulai Februari tahun depan disebabkan oleh pengurangan subsidi oleh Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji).

Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman berkata, walaupun keputusan muktamad mengenainya belum dicapai tetapi pihaknya memberi jaminan kenaikan itu tidak akan melibatkan peningkatan tambang atau kos secara langsung.

Katanya, sebelum ini kerajaan menanggung sejumlah subsidi tetapi berikutan beberapa perubahan selepas ia dikorporatkan subsidi itu ditanggung sepenuhnya oleh Tabung Haji.

``Berikutan perubahan dan kenaikan pengurusan tertentu, kita sedang mengkaji semula bayaran subsidi yang ditanggung oleh Tabung Haji termasuk kos perubatan dan penginapan yang sebelum ini berjumlah RM1,200 seorang.

``Kita bukan menaikkan bayaran tetapi perubahan ini yang akan diputuskan dalam masa terdekat dan tidak akan melibatkan kenaikan perbelanjaan secara langsung oleh jemaah,'' katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan kali ke-17 di Dewan Besar Kompleks Tabung Haji Bayan Lepas di sini, hari ini.

Tabung Haji musim haji lalu mengenakan bayaran RM8,585 bagi setiap jemaah haji dan jumlah itu termasuk subsidi RM1,200 yang disediakan oleh Tabung Haji.

Kenaikan itu turut disebabkan oleh peningkatan kos pengangkutan dan penginapan di Arab Saudi, selain perubahan harga minyak kapal terbang dan perbezaan tukaran mata wang riyal dan ringgit daripada RM100 kepada 150 riyal berbanding nilai semasa 100 riyal.

Bermula tahun depan pihak berkuasa bandar raya Mekah dan Madinah turut membuat perubahan tempat tinggal jemaah haji yang lebih luas daripada 2.5 meter kepada tiga meter untuk keselesaan.

Dengan pertambahan itu, kos rumah akan meningkat kerana setiap rumah akan menampung 750 jemaah berbanding 1,000 jemaah sebelum ini.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, kenaikan itu perlu dilaksanakan kerana kos yang ditanggung oleh Tabung Haji tinggi setiap musim, membabitkan 22,000 orang jemaah.

Ditanya mengenai kemungkinan cara lain yang boleh dilaksanakan bagi mengelakkan kenaikan itu seperti mengurangkan dividen tahunan kepada penyimpan beliau berkata, ia sukar dilakukan kerana ia melibatkan kira-kira empat juta penyimpan.

``Dahulu orang menyimpan duit di Tabung Haji untuk ke Mekah tetapi sekarang sebagai pelaburan. Lagipun, soal haji ialah soal syarak, soal kemampuan menjadi asas utama. Kita ada skim bantuan tetapi ramai orang menolak kerana mahu pergi dengan kemampuan sendiri,'' jelasnya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum