AGAMA

Utusan Malaysia 08 Jun 2001

Perbuatan mengkafir ajaran penjajah

Debat
Oleh ASTORA JABAT
(astora@utusan.com.my)
Tulisan HANAN ALAWIYYAH (hananalawiyyah@hotmail.com) yang panjang lebar ini tidak sesuai untuk disiarkan dalam ruangan Rencana Pilihan di bawah atau dalam ruangan rencana di bawah ruangan Bicara Agama yang muncul pada hari Ahad.

Dengan itu penulis memberi ruangan khas untuk diri ini untuk menyiarkan tulisan beliau.

Hanan yang tidak asing lagi bagi pembaca ruangan-ruangan kelolaan penulis adalah seorang anak jati Kelantan yang pakar dalam hal ehwal Pas. Beliau menyimpan banyak bahan bukti yang membuktikan penyelewengan beberapa ulama Pas termasuk pita rakaman ceramah seorang tok guru yang terlibat dalam mengkafirkan ahli UMNO. Tok guru berkenaan telah pun meninggal dunia. Kebanyakan bahan bukti diwarisi oleh Hanan daripada bapanya. Ikutilah tulisan Hanan di bawah.

Sekalung tahniah untuk Mingguan Malaysia (MM) yang bersedia memberikan satu muka penuh untuk Abdul Hadi menjawab pelbagai pertanyaan dan serentak dengan itu juga kita rakamkan ucapan takziah kepada Harakah yang masih berada di dalam kepompong kerana tidak berani membuat interviu dengan pemimpin-pemimpin UMNO di sebalik laungan mereka mahukan kebebasan akhbar.

Jawapan Abdul Hadi dari soalan pertama interviu tersebut jelas menunjukkan perpecahan di tanah air ini dimulakan oleh mereka yang menubuhkan Pas setelah tidak berpuas hati dengan UMNO yang ditubuhkan pada tahun 1946.

Pas ditubuhkan pada tahun 1951 iaitu 5 tahun sesudah UMNO ditubuhkan.

Penubuhan Pas diluluskan oleh penjajah Inggeris, maka dari itu terlaksanalah satu lagi rancangan pecah dan perintah Inggeris untuk memecahbelahkan umat Melayu di negara ini.

Menurut Abdul Hadi, Pas adalah platform untuk mereka yang mahu kepada penubuhan negara Islam dan mendaulatkan syariat Islam. Alangkah naifnya hujah Abdul Hadi dan alangkah baiknya Inggeris yang meluluskan penubuhan sebuah parti bagi memperjuangkan negara Islam sedangkan ia sendiri diketahui umum memusuhi umat Islam.

Nawaitu Inggeris dalam meluluskan pendaftaran Pas dan ia mendapat kejayaan besar rancangannya dan kesan rancangan itu masih dapat dirasai oleh Islam sehingga ke hari ini.

Dari segi demokrasi kewujudan Pas adalah halal, tetapi dari segi syariah haram kerana menyebabkan perpecahan umat Islam.

Apabila wujud kepimpinan umat yang pertama sewajarnya semua umat Islam memberikan kewalaan (kepatuhan) dan kepercayaan.

Adapun soal pengisian kepimpinan ianya perlu dan boleh dilakukan dari dalam kepimpinan yang pertama.

Kepimpinan yang pertama dalam konteks negara kita adalah UMNO. Maka kewujudan Pas dari segi syariah Islam adalah sesuatu yang boleh dipertikai dan perlu diberi pengtakrifan semula dari segi hukumnya.

Apakah apabila sudah ada seorang imam di satu kariah, bolehkah seorang lagi memimpin satu lagi jamaah di qariah tersebut tanpa izin waliul amri?

Apakah apabila sudah wujud satu masjid di satu kampung, menjadi haruskah di wujudkan satu masjid lagi tanpa izin waliul amri?

Apabila sudah ada satu kepimpinan umat di satu negara menjadi halalkah satu lagi kepimpinan wujud bagi mencabar kepimpinan yang pertama?

Apabila sudah wujud UMNO apakah halal Pas diwujudkan? Kita menunggu jawapan daripada Abdul Hadi.

Abdul Hadi juga sekali lagi menampal label sekular ke atas pemimpin UMNO.

Secara amnya sekular adalah tindakan memisahkan agama daripada politik. Kita minta Abdul Hadi senaraikan tindakan pemimpin UMNO yang bersifat memisahkan agama daripada politik.

Apakah tindakan pemimpin UMNO menyediakan segala keperluan rakyat bukan tuntutan agama dan bukan kerja yang mendatangkan pahala?

Apakah kerja-kerja membangunkan negara dan mengangkat martabat umat satu kerja sekular?

Apakah tindakan kerajaan membina Universiti Islam bagi melahirkan cerdik pandai Islam satu kerja sekular?

Orang yang menjadi Pengerusi Majlis Kebangsaan Agama Islam Malaysia adalah orang yang sama dengan Perdana Menteri Malaysia? Tidakkah Yang di-Pertuan Agong dan Sultan yang menjadi ketua agama di negara ini adalah Yang di-Pertuan Agong dan Sultan yang sama yang menandatangani setiap undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen atau Dewan Undangan Negeri?

Tidakkan itu jelas menunjukkan Malaysia tidak memisahkan agama daripada politik.

Berhubung soal mengkafir orang Islam adalah satu usaha melepaskan diri dari apa yang dilakukakan oleh pemimpin Pas.

Apapun madah berhelah Abdul Hadi berhubung isu mengkafir, kita mempunyai bukti yang cukup termasuk rakaman suara dan pengakuan orang-orang yang terlibat yang terdiri daripada kalangan orang Pas atau pemimpin Pas yang mengaku mengkafirkan orang UMNO.

Sekiranya tindakan mereka itu menyalahi pegangan pemimpin Pas kenapa ada di antara mereka yang diangkat menjadi calon pilihan raya seperti Hassan Mat Saman yang menjadi calon Pas di Hulu Kelantan pada tahun 1982.

Hubungan pemimpin Pas dengan isu mengkafir maaf cakap umpama kentut dengan tahi.

Abdul Hadi juga mengaku bahawa beliau tidak mengatakan si anu - sia anu kafir, beliau mengaku mengata kepada UMNO, kepada parti.

Sekiranya benar pengakuan Abdul Hadi ini bermakna yang akan memasuki neraka kelak ialah UMNO dan bukan orang UMNO. Logiknya orang Yahudi pun tidak masuk neraka, yang masuk neraka agama Yahudi.

Orang Pas pun tidak masuk syurga, yang masuk syurga ialah Pas.

Tuduhan Abdul Hadi bahawa UMNO adalah kafir adalah suatu tuduhan yang melambangkan beliau mewarisi pemikiran penjajah dan beliau berjaya ditarbiahkan oleh penjajah British yang membenarkan penubuhan penubuhan parti Islam yang akan bertindak melabelkan parti-parti lain sebagai tidak Islam dan kafir.

Apabila kekeliruan ini wujud dan berpanjangan berjayalah penjajah walaupun sudah hampir 44 tahun penjajah menyerahkan negara ini kepada anak bangsanya sendiri.

Berhubung calon wanita terdapat suatu kelucuan yang amat sangat apabila Abdul Hadi mendakwa kalau wanita menjadi wakil rakyat ia akan membebankan kerana mereka misalnya terpaksa selesaikan masalah orang bergaduh.

Ya Tuhan ku! Kenapakah begitu daifnya hujah Abdul Hadi seorang yang dinobatkan sebagai orang ke tujuh paling berkuasa di Asia oleh Asiaweek?

Ada juga pemimpin Pas yang menyalahkan suasana kononnya suasana pilihan raya tidak selamat untuk wanita menjadi calon.

Kita tidak tahu apakah wanita Pas turut menjadi pening lalat dengan dakwaan pemimpin-pemimpin Pas itu.

Apa yang kita saksikan semasa pilihan raya wanita Paslah yang berpanas dan berhujan menjunjung poster calon di pintu-pintu pagar tempat mengundi.

Kalaulah suasana pilihan raya itu menjadi fitnah tentulah wanita Pas akan berkurung di rumah atau di markas Pas sahaja. Wanita Paslah yang naik turun dari satu rumah ke satu rumah berkempen untuk memenangkan calon Pas.

Kalau suasana pilihan raya yang ada di Malaysia itu tidak mengizinkan wanita menjadi wakil rakyat tentunya tidak ada wanita Pas yang berpeluh hingga ke tumit bekerja untuk memenangkan calon Pas.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum