AGAMA

Mingguan Malaysia 10 Jun 2001

Kesilapan hukum pemimpin besar Pas

Oleh: ASTORA JABAT
RAMAI cerdik pandai Pas tidak bersetuju dengan apa yang dibincangkan oleh penulis dalam ruangan ini dan ruangan-ruangan lain yang sering mengkritik pemimpin mereka yang bergelar ulama.

Bagaimanapun, penulis yakin kebanyakan mereka yang tidak bersetuju dengan penulis memandang kritikan penulis dari sudut agenda politik mereka. Tetapi dari sudut kebenaran, sudah tentu mereka akan bersetuju atau sekurang-kurang tidak dapat mempertikaikan kritikan yang dilakukan oleh penulis ke atas pemimpin mereka yang bergelar ulama itu.

Ini kerana hampir semua kritikan yang dilakukan oleh penulis ke atas pemimpin Pas itu adalah merupakan fakta dan bukan sama sekali persepsi.

Malah jika ada yang dikritik itu merupakan persepsi pun, ia berdasarkan kepada fakta.

Dalam tulisan ini penulis ingin mengkritik dua kesilapan pemimpin Pas. Pemimpin Pas yang dikritik minggu ini pula tidak lain tidak bukan Menteri Besar Terengganu Abdul Hadi Awang.

Kedua-dua kesilapan Abdul Hadi yang merupakan fakta dan bukan persepsi itu ialah dakwaan UMNO saja yang kafir dan semua masjid yang didirikan oleh kerajaan merupakan masjid dirar.

Kesilapan pertama dilakukan oleh Abdul Hadi dua minggu lepas manakala kesilapan kedua dilakukan oleh beliau pada tahun 80-an lagi.

Tetapi kedua-dua kesilapan itu belum pernah dibincangkan oleh penulis.

Dalam kesilapan pertama itu, Abdul Hadi mendakwa bahawa beliau tidak pernah mengkafirkan orang UMNO tetapi hanya mengkafirkan parti induk orang Melayu itu saja.

Abdul Hadi berkata begitu sebagai menjawab pertanyaan Baharom Mahusin dalam wawancara yang disiarkan oleh akhbar ini pada 27 Mei lalu.

Baharom bertanya: ``Polemik, kata-mengata dan tuduh-menuduh berhubung isu ini (isu mengkafirkan orang Islam), adakah ia mengganggu YAB?''

Abdul Hadi menjawab: ``Sehingga ini saya tidak mengatakan si anu, si anu (kafir). Orang yang mengata saya. Saya hanya mengata kepada UMNO, kepada parti.''

Pelik sungguh apa yang dijelaskan oleh Abdul Hadi ini. Bagaimana beliau boleh membuat perbezaan antara UMNO dan ahlinya di mana dianggap UMNO itu kafir sedangkan ahlinya tidak kafir.

Jika benar beliau boleh membuat hukum yang berbeza antara UMNO dan ahlinya, apakah beliau tidak boleh membuat hukum yang sama terhadap Pas.

Hukum berkenaan berbunyi Pas itu Islam, tetapi ahlinya tidak Islam.

Untuk mengetahui apakah dakwaan Abdul Hadi bahawa beliau tidak mengkafirkan ahli UMNO tetapi hanya mengkafirkan UMNO saja itu tepat atau tidak dari segi hukum agama, tidak dapat tidak kita mesti merujuk kepada al-Quran dan hadis.

Al-Quran ada menyebut banyak istilah seperti hizbullah (penyokong Allah) dan ummah (umat) yang memberi erti kumpulan dan orang yang berada di dalamnya sekali gus.

Perlu diterangkan bahawa hizbullah dalam al-Quran tidak bermaksud parti atau pergerakan seperti Hizbullah di Lebanon, tetapi ia adalah keseluruhan orang atau umat Islam.

Mengenai hizbullah ini, cuba perhatikan firman Allah dalam ayat 56 daripada surah al-Maidah: ``Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasul-nya serta orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya hizbullah (golongan Allah), itulah yang tetap menang.''

Ini bermasud al-Quran tidak membezakan antara hizbullah sebagai kumpulan terbesar dengan orang yang berada di dalamnya.

Begitu juga istilah umat yang bermaksud kumpulan dan orang yang berada di dalamnya.

Perkara ini disebut dalam ayat 128 surah al-Baqarah di mana Allah berfirman: ``Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua orang yang berserah diri kepada-Mu dan jadikanlah daripada keturunan kami umat yang berserah diri kepada-Mu...''.

Umat yang berserah diri kepada Allah (ummah Muslimah) adalah kumpulan dan orang yang berserah diri kepada Allah.

Ini maksudnya Allah tidak membezakan antara umat, kumpulan dan puak serta orang yang berada di dalam seperti mana dilakukan Abdul Hadi yang membezakan antara parti (UMNO) dan ahli parti itu (ahli UMNO).

Dalam hadis pun terdapat banyak istilah seperti yang disebutkan di atas dan salah satu istilah ialah firqah (puak) seperti disebut dalam hadis nombor 3980 yang diriwayatkan oleh Abu Daud. Dalam hadis berkenaan Rasulullah s.a.w. bersabda: ``Orang Yahudi telah berpecah kepada 71 atau 72 firqah (puak), orang Kristian berpecah kepada 71 atau 72 firqah dan umatku pula berpecah kepada 73 firqah.''

Semua firqah dalam hadis ini adalah dikaitkan terus dengan penganut ketiga-tiga agama langit itu iaitu Yahudi, Kristian dan Islam.

Apa yang dapat disimpulkan daripada kesilapan Abdul Hadi yang menghukum UMNO sebagai kafir dan tidak menghukum ahli UMNO sebagai kafir ialah dakwaan beliau itu bercanggah dengan al-Quran dan hadis.

Kesilapan kedua Abdul Hadi pula ialah beliau mendakwa semua masjid yang didirikan oleh kerajaan adalah masjid dirar.

Kesilapan ini merupakan kesilapan lama yang dilakukan oleh Abdul Hadi pada tahun 80-an lagi, tetapi belum pernah dibincangkan oleh penulis.

Penulis baru saja mendapat maklumat itu dalam Muzakarah Penceramah UMNO Terengganu yang diadakan di Kuala Terengganu pada 7 Jun lalu.

Abdul Hadi agaknya memutarbelitkan ayat al-Quran yang bermaksud: ``Dan (di antara orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid dirar (yang memudaratkan) dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang yang beriman dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan rasul-Nya sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata: ``Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata''. Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta.'' - (At-Taubah: 107)

Dakwaan Abdul Hadi hampir serupalah dengan dakwaan Menteri Besar Kelantan Nik Abdul Aziz Nik Mat yang terkandung dalam sebuah buku kecil yang memuatkan ucapan Nik Aziz semasa Persidangan Khas Parlimen pada 9 Januari 1984 bagi meminda perlembagaan Malaysia.

Pada muka surat 10, Nik Aziz menegaskan: ``Segala projek yang bercorak Islam di negeri ini pada hakikatnya tak lebih daripada meniru projek yang dilancarkan oleh Abu Amir ar-Rahib di zaman Rasulullah s.a.w.'' (Hanan Alawiyyah, Utusan Melayu 5 Mei 2001)

Abdul Hadi hanya menganggap masjid-masjd yang dibina kerajaan saja merupakan masjid dirar, tetapi Nik Aziz menganggap semua projek yang bersifat Islam termasuk masjid-masjid adalah masjid dirar.

Sebenarnya masjid dirar didirikan oleh Abu Amir ar-Rahib selepas melihat orang Islam di bawah pimpinan Rasulullah mula menjadi kuat dan mereka mempunyai Masjid al-Quba' sebagai pusat penyatuan mereka.

Selepas itu ayat di atas diturunkan kepada Rasulullah di mana Allah memberitahu kepada baginda bahawa masjid puak munafik itu sangat berbahaya terhadap kesatuan umat Islam. Kemudian baginda memusnahkan masjid itu.

Bagaimanapun, Abdul Hadi dan Niz Aziz tidak memusnahkan sebuah pun masjid kerajaan yang dianggap masjid dirar tetapi mereka berdua telah berjaya memusnahkan semangat masjid dalam diri orang Islam hingga orang Islam berpecah-belah.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum