AGAMA

Mingguan Malaysia 10 Jun 2001

SOAL JAWAB AGAMA

Bersama: DR. AMRAN KASIMIN
Tujuan sambutan Maulidur Rasul
SOALAN: Di pekan tempat kami tinggal ada guru ketika mengajar menyatakan amalan menyambut Maulidur Rasul dengan berarak dan membaca nasyid adalah bid'ah, sesuatu yang direka-reka dan untuk menunjuk-nunjuk sedangkan ia tidak dilakukan oleh baginda s.a.w. sendiri.

Masalah seperti ini nampaknya kecil, tetapi memecah-belahkan pendengar yang sewajarnya tidak berlaku ketika setiap orang berusaha untuk menyatukan umat Islam.

- Ahmad Alwi, Raub, Pahang.

JAWAPAN: Tujuan menyambut hari kelahiran Rasulullah s.a.w. yang diadakan setiap tahun ialah untuk mengingati perjuangan baginda menyebar dan meninggikan syiar Islam. Dalam upacara seperti ini, ceramah-ceramah dan forum-forum diadakan untuk memberi pengetahuan kepada mereka yang tidak tahu mengenainya, memperingatkan mereka yang lupa untuk dijadikan teladan dan ikutan.

Segala yang berlaku ke atas Nabi s.a.w., para sahabat dan mereka yang terlibat boleh dijadikan contoh dan inspirasi umat Islam.

Selain daripada peristiwa ini, terdapat hari-hari lain yang bersejarah dalam Islam yang perlu diingati seperti hari nuzul Quran, tahun Hijrah, malam israk mikraj dan sebagainya.

Memang benar Rasulullah s.a.w. tidak mengadakan amalan berarak, berzanji ataupun nasyid seperti yang diadakan sekarang ini tetapi daripada pelbagai sumber yang boleh dijadikan sandaran, umat Islam digalakkan menyambut sesuatu peristiwa besar dalam Islam.

Hari-hari tersebut mengandungi falsafah dan makna dalam kehidupan seorang Islam. Ia juga merupakan lambang kemegahan dan kebesaran Islam.

Dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, hadis daripada Ibn Abbas dinyatakan bahawa ketika Rasulullah s.a.w. tiba di Madinah, beliau telah melihat orang Yahudi berpuasa Asyura. Baginda bertanya sebab mereka berpuasa. Mereka menyatakan bahawa hari berkenaan adalah hari yang baik. Pada hari itu Allah s.w.t. melepaskan Nabi Musa a.s. dan Bani Israil daripada musuh mereka, lalu Musa berpuasa pada hari berkenaan. Mendengarkan jawapan itu baginda menyatakan bahawa baginda adalah lebih berhak terhadap Musa a.s. daripada orang Yahudi, lalu baginda berpuasa dan menyuruh para sahabat berpuasa.

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa berdasarkan hadis yang dijelaskan di atas, umat Islam diharuskan memperingati hari-hari bersejarah kerana baginda Rasulullah s.a.w. pun ada memperingati hari karamnya Firaun dan terselamatnya Musa a.s. dengan berpuasa Asyura, sebagai tanda bersyukur terhapusnya kezaliman dan tertegaknya kebenaran.

Dalam al-Quran surah al-A'raf: 157 dinyatakan bahawa mereka yang beriman kepada Rasulullah s.a.w. dan memuliakannya, menolongnya dan mengikut cahaya yang diturunkan bersama al-Quran adalah termasuk dalam golongan orang yang beruntung.

Dalam surah al-Hajj: 32 terdapat firman Allah yang bermaksud: Barang siapa memuliakan tanda-tanda kebesaran Allah, maka sesungguhnya ia adalah satu gambaran ketakwaan hati.

Ayat-ayat al-Quran di atas menjelaskan bahawa orang yang memuliakan nabi adalah mereka yang untung di mana mereka akan dibalas dengan kebaikan iaitu syurga. Amalan ini memperlihatkan ketakwaan hati. ``Tanda-tanda kebesaran Allah'' yang dijelaskan di sini adalah umum yang tidak semestinya terkhusus kepada sambutan memperingati Maulidur Rasul.

Mengenai kasih terhadap baginda s.a.w. ini, Rasulullah s.a.w. sendiri ada bersabda: Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu kecuali andainya saya (nabi) lebih dikasihi olehnya berbanding dengan kasih terhadap bapanya, anaknya juga keseluruhan manusia.

Kasih terhadap Nabi s.a.w. diistilahkan sebagai hubbu `t-takzim iaitu kasih dengan memuliakannya. Dalam usaha memuliakannya, hari kelahiran baginda disambut dengan perarakan, sambil berselawat, marhaban dan sebagainya termasuk mengadakan syarahan, forum, bacaan al-Quran dan sebagainya. Amalan seperti ini juga merupakan salah satu daripada tanda-tanda kebesaran Islam (syiar Islam).

Pada suatu ketika iaitu ketika baginda sedang duduk bersama para sahabat, seorang ketua kaum Auz bernama Saad bin Muaz telah datang. Kaum Bani Auz yang sedang duduk bersama baginda tidak bangun menyambut kedatangan ketua tadi. Baginda bersabda menyuruh mereka bangun menyambut kedatangan ketua mereka.

Imam Jalaluddin Sayuti ketika ditanya tentang sambutan ini menyatakan bahawa punca amalan tersebut ialah perhimpunan manusia, di mana ketika itu ayat-ayat al-Quran dibacakan, peristiwa-peristiwa perjuangan baginda diperdengarkan. Kemudian orang ramai akan duduk menjamu selera kemudian berpisah.

Amalan tersebut termasuk dalam amalan bid'ah hasanah (bid'ah yang baik) di mana orang yang melakukannya akan mendapat pahala kerana dalam amalan tersebut terdapat amalan memuliakan nabi, melahirkan kesyukuran kepada Allah atas rahmat-Nya menurunkan Islam melalui Muhammad sebagai pesuruh-Nya. Pendapat ini sama dengan pendapat Imam Abu Syamah, seorang ulama terkenal dari kalangan mazhab Syafie.

Umumnya ulama mazhab Syafie menghukumkan sunat merayakan hari keputeraan baginda s.a.w. Sebahagian daripada mereka menganggapnya sebagai bid'ah hasanah, iaitu amalan yang tidak diamalkan oleh Rasulullah s.a.w.

Ada pendapat menyatakan bahawa upacara tersebut tidak dilakukan oleh orang-orang salaf, iaitu umat Islam yang hidup pada kurun-kurun awal kenabian. Mereka berhujah bahawa sekiranya amalan ini baik, tentulah mereka lebih utama melakukannya kerana mereka ini memiliki rasa cinta dan kasih yang lebih kepada Rasulullah s.a.w. berbanding dengan kasih yang wujud pada generasi yang terkemudian, yang mengadakan sambutan Maulidur Rasul. Selain daripada itu, amalan memberi makan kepada orang ramai juga bukan sesuatu yang disyariatkan.

Alasan menyatakan bahawa orang zaman silam yang dikatakan memiliki rasa cinta kepada Rasulullah s.a.w. melebihi rasa cinta yang dimiliki oleh generasi yang terkemudian adalah satu kenyataan umum, memperlihatkan seolah-olah orang Islam selepas generasi tersebut umumnya mempunyai iman yang lemah, kurang rasa kasih kepada Nabi s.a.w berbanding dengan mereka yang hidup pada kurun-kurun awal kenabian. Satu alasan yang sukar dibuktikan dan banyak menimbulkan persoalan.

Mereka yang tidak setuju juga memberi alasan bahawa pada kebiasaannya banyak perkara mungkar terjadi ketika berlangsungnya acara tersebut, berlaku pembaziran elektrik di masjid-masjid. Mencemar kebersihan masjid dengan kekotoran dan sampah juga bercampur-aduk di antara lelaki dan perempuan.

Andainya difikir dari segi negatifnya, hal demikian memang boleh berlaku. Malah kalau ditinjau dari sudut lain, seseorang itu akan merasakan bahawa berarak dengan berjalan kaki juga memenatkan dan hanya membuang masa. Mendengar syarahan agama di tempat lapang juga membuang masa dan menyakitkan badan.

Tujuan utama mengadakan majlis memperingati kelahiran Rasulullah s.a.w. adalah jelas yang pada umumnya tidak melibatkan gejala-gejala buruk secara terancang dalam acara-acara yang ditetapkan. Walaupun demikian andainya keadaan seperti itu berlaku, ia adalah di luar kawalan dan tujuan dilakukan majlis ini. Alasan-alasan seperti ini sebenarnya terlalu remeh untuk dijadikan hujah dengan memperlihatkan bahawa amalan ataupun upacara seperti ini tidak seharusnya diadakan kerana ia mengundang perkara-perkara buruk akibat daripada sambutan tersebut.

Tidak pernah terjadi dalam mana-mana majlis Maulidur Rasul kaum lelaki dan perempuan duduk ataupun bercampur gaul seperti yang berlaku di kelab-kelab malam atau kelab dangdut. Tujuan menghadiri majlis maulud adalah kerana Nabi s.a.w. Ia merupakan satu ibadat yang diberi ganjaran oleh Allah. Kerana itu perilaku ketika seseorang itu menghadirinya adalah dalam batasan syariah, iaitu tidak melanggar ajaran Islam. Berbeza dengan mereka yang bercampur-gaul di kelab-kelab malam ataupun kelab dangdut. Kehadiran mereka ialah untuk berseronok-seronok memberi runtunan nafsu yang bertentangan dengan konsep ibadat.

Amalan menyambut Maulidur Rasul telah sebati dalam kehidupan orang Melayu. Ia merupakan salah satu budaya yang terterap dalam kehidupan masyarakat hasil daripada pengaruh Islam, agama yang diyakini. Kerana itu, pendapat-pendapat yang menentangnya secara tidak langsung telah menentang suatu amalan agama yang telah dilakukan oleh orang Melayu sejak begitu lama.

Walaupun demikian andainya upacara seperti ini diadakan untuk menunjuk-nunjuk, ada rasa riak oleh individu atau kumpulan-kumpulan tertentu, berlakunya pembaziran yang keterlaluan untuk mendirikan pentas misalnya, manakala kesan atau faedah mengadakan majlis itu tidak ada, pada hal wang rakyat yang digunakan tadi boleh disalurkan untuk tujuan lain, yang lebih memberi manfaat, maka ia perlu difikir secara serius dan ikhlas keperluan mengadakannya.

Untuk membuktikan seseorang ataupun satu kumpulan manusia itu berarak semata-mata kerana Allah dan nabinya atau kerana riak menunjuk-nunjuk adalah di luar kemampuan manusia untuk menentukannya. Ini kerana niat itu terletak dalam hati bukan pada kain samping yang dipakai atau langkah yang diatur sambil berselawat atau sambil memegang kain rentang.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum