AGAMA

Utusan Malaysia 12 Jun 2001

Negara Islam perlu bertindak bersama bentuk globalisasi

KUALA LUMPUR 11 Jun - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, negara-negara Islam perlu bertindak secara bersama dalam membentuk globalisasi supaya ia menjadi satu ideologi yang memberi manfaat kepada dunia Islam dan seluruh dunia.

Perdana Menteri berkata, negara-negara Islam tidak boleh menghalang globalisasi tetapi mereka boleh mempengaruhi tafsirannya, mengawal pelaksanaannya, mengubah haluannya dan membentuknya semula.

Menurutnya, globalisasi tidak harus bermakna dunia tanpa sempadan, sebaliknya sempadan perlu terus wujud dan dihormati.

``Dengan adanya sempadan, kita boleh menentukan apa yang boleh dibuat dan apa yang tidak boleh walaupun tanpa kawalan kita sepenuhnya,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Seminar Antarabangsa Mengenai Kesan Globalisasi Terhadap Dunia Islam: Isu dan Cabaran Pada Abad ke-21 di sini, hari ini.

Seminar anjuran Kementerian Luar dan Institut Diplomasi dan Hubungan Antarabangsa itu dihadiri oleh kira-kira 200 peserta dari negara-negara Islam.

Dr. Mahathir berkata, dengan adanya sempadan, setiap negara juga boleh melindungi industri mereka melalui cukai yang dikenakan terhadap barangan yang cuba bersaing secara tidak sihat.

``Kita tidak boleh menghalang spekulator mata wang daripada memiskinkan kita seperti yang dilakukan oleh mereka di Asia Timur pada tahun 1997 dan 1998 tetapi dengan sempadan, pelbagai perkara boleh dilakukan untuk mempertahankan diri kita,'' katanya.

Beliau juga menegaskan, tidak ada sebab mengapa globalisasi tidak boleh dikawal dan sukar untuk diterima akal bahawa pasaran akan bertindak mengawal dirinya sendiri.

``Pasaran adalah soal mencari keuntungan dan bukan mengenai etika atau mendisiplinkan kerajaan. Pasaran tidak berminat dengan kepentingan sosial dalam memaksimumkan untung.

``Peniaga mata wang bersedia untuk memusnahkan keseluruhan ekonomi, memberhentikan berjuta pekerja, menyebabkan rusuhan dan membunuh orang yang tidak bersalah hanya untuk mengaut keuntungan,'' jelasnya.

Beliau menegaskan, kawalan pasaran harus terus kekal sebagai tanggungjawab kerajaan, yang akan bertindak memastikan kepentingan masyarakat tidak diganggu gugat oleh peniaga seperti itu.

Pada masa yang sama, kata Dr. Mahathir, negara-negara Islam dan negara membangun perlu menghalang usaha dunia untuk mengubah haluan pasaran dengan mewujudkan bank dan syarikat-syarikat gergasi.

Perdana Menteri menegaskan, monopoli dan oligopoli harus dipecahkan kerana ia hanya akan menyekat kewujudan dan pertumbuhan syarikat-syarikat baru dan syarikat kecil sedia ada.

``Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa syarikat bermodal besar boleh menjadi lebih berkesan, mengurangkan kos dan meningkat kualiti tetapi kita sebenarnya sudah mencapai tahap keberkesanan dan kualiti keluaran yang memuaskan tanpa mereka.

``Proses itu mungkin perlahan sedikit tetapi keberkesanan dan kualiti bukanlah sesuatu yang statik,'' katanya.

Beliau berkata, tanpa syarikat besar, syarikat-syarikat kecil boleh membina perniagaan mereka dengan bebas, berinovasi dan maju.

Sehubungan itu, katanya, perlindungan terhadap syarikat tempatan mesti dibenarkan, sekurang-kurangnya sehingga mereka bersedia untuk bersaing dengan syarikat yang dipanggil multinasional itu.

Perdana Menteri turut menggesa negara-negara Islam supaya menguasai teknologi maklumat (IT) bagi mengelakkan daripada ditelan oleh globalisasi.

Katanya, umat Islam sudah terlepas sepenuhnya revolusi perindustrian, yang kemudiannya menjadi pemusnah empayar Islam masa lalu, dan kini umat Islam sudah mula ketinggalan pula dalam revolusi IT.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa penguasaan IT haruslah membawa kepada keupayaan membangunkan perisian asas yang diperlukan.

``Kita mesti membangunkan perisian asas kita sendiri dan perisian lain. Kita juga mesti membangunkan rangkaian Internet dan Intranet kita sendiri,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum