AGAMA

Utusan Malaysia 12 Jun 2001

Negara-negara Islam perlu bentuk kumpulan kecil berwibawa

KUALA LUMPUR 11 Jun - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, satu kumpulan kecil yang berwibawa perlu dibentuk di kalangan negara-negara Islam untuk bertindak secara berkesan menghadapi sebarang ancaman termasuk kesan globalisasi.

Perdana Menteri percaya dengan wujudnya kumpulan itu, suara negara-negara Islam akan lebih didengar oleh masyarakat antarabangsa.

Pada masa ini, katanya, terlalu banyak kumpulan negara Islam dan membangun diwujudkan sedangkan pengaruhnya tidak begitu ketara.

``Misalnya ada 54 negara Islam (OIC), 130 negara-negara berkecuali dan juga Kumpulan 77 negara (G-77).

``Apa yang kita perlukan ialah kumpulan kecil yang berwibawa agar dapat bertindak balas terhadap sebarang ancaman,'' katanya ketika menjawab soalan peserta pada sesi dialog Seminar Antarabangsa Mengenai Kesan Globalisasi Terhadap Dunia Islam: Isu dan Cabaran Pada Abad 21 di sini hari ini.

Perdana Menteri menarik perhatian kepada peranan yang dimainkan oleh kumpulan tujuh negara maju (G-7) yang begitu berkuasa.

``Keputusannya (G-7) boleh jadi sangat memudaratkan kita misalnya apabila mereka menilai semula mata wang Jepun sebanyak 200 peratus, tiba-tiba hutang kita dalam yen meningkat 200 peratus,'' katanya.

Dr. Mahathir kurang senang kerana bilangan kumpulan negara Islam dan membangun yang terlalu banyak menyebabkan banyak masa terbuang dengan mengadakan mesyuarat dan pertemuan di peringkat ketua kerajaan.

Sedangkan katanya, agenda mesyuarat tersebut telah pun ditentukan lebih awal di peringkat menteri.

Justeru, Perdana Menteri berkata, kumpulan terbabit termasuk lapan negara Islam membangun (D-8) sepatutnya memberi perhatian khusus untuk membantu satu sama lain ke arah membentuk dunia yang lebih baik bagi umat Islam.

``Apa yang kita kehendaki hanya satu organisasi kecil tetapi berkesan melindungi kepentingan negara-negara Islam,'' katanya.

Dr. Mahathir mengingatkan globalisasi yang terpaksa dihadapi oleh negara-negara Islam tidak terhad kepada kesan kebendaan sahaja tetapi meliputi paksaan nilai dan budaya.

``Budaya yang dibangunkan di Barat berasaskan nilai mereka dan di sana agama ditolak, tidak secara rasmi tetapi secara tidak langsung.

``Mereka mempersoalkan semua nilai agama yang mereka warisi dan ini samalah seperti menolaknya,'' katanya.

Menurut beliau, nilai-nilai moral dan agama tidak dipedulikan sehingga institusi perkahwinan menjadi tidak penting bagi Barat yang membenarkan lelaki dan wanita tinggal bersama tanpa berkahwin, malah boleh berpasangan dengan kaum sejenis.

Perdana Menteri berpendapat amat penting bagi umat Islam menyedari tentang percubaan Barat memaksa dunia menerima hanya satu budaya dan set nilai yang diamalkan oleh mereka.

``Kita tahu bukan warna kulit atau etnik yang membezakan manusia tetapi budayanya. Dan jika budaya dimusnahkan, dunia menjadi membosankan kerana kita tidak dapat membuat perbandingan.

``Jadi kenapa perlu ada penyeragaman,'' soalnya.

Malangnya, kata Dr. Mahathir, perubahan tidak dapat dielakkan sama sekali kerana ada sesetengah pihak mudah meniru budaya orang lain kerana merasakannya lebih baik.

``Ini semua dikaitkan dengan demokrasi. Tetapi apa makna demokrasi jika kita tidak mempunyai hak memilih,'' katanya.

Beliau kesal kerana Barat yang melaung-laungkan demokrasi akan mengkritik dan menyusahkan negara lain termasuk mengenakan sekatan perdagangan sekiranya negara berkenaan memilih sesuatu yang tidak sama dengan nilai dan budaya mereka.

Justeru untuk menghadapinya, Perdana Menteri berpendapat umat Islam perlu sedar tentang percubaan Barat menguasai sistem nilai dan budaya negara lain menerusi alasan globalisasi.

``Mereka boleh amalkan apa yang mereka suka tetapi tidak semestinya kita akan ikut jika bertentangan dengan nilai budaya Islam,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum