AGAMA

Utusan Malaysia 13 Jun 2001

Umat Islam tidak perlu debat mengenai sekularisme

IPOH 12 Jun - Umat Islam tidak perlu berdebat tentang sekularisme yang memisahkan antara pentadbiran kerajaan dengan agama kerana Islam tidak menerima idea seperti itu, kata Mufti Negeri Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria.

Menurut beliau, sebaliknya Islam menyuruh penganutnya bekerja keras dalam semua bidang untuk mencapai kecemerlangan dan ketinggian dalam hidup kerana Allah dan agama Islam.

``Islam menolak sekularisme iaitu mengagungkan dunia semata-mata. Tetapi, kita disuruh mencari nikmat Allah seperti duit dan harta untuk kepentingan keluarga, bangsa, negara dan agama dengan niat kerana Allah...ia adalah (perbuatan) dunia yang diredhai,'' katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang mahu umat Islam menghentikan perdebatan mengenai sekularisme kerana istilah itu sebenarnya tidak wujud dalam agama Islam.

Menurut Dr. Mahathir, Islam sebagai satu cara hidup merangkumi semua aspek kehidupan termasuk bidang pentadbiran dan industri pengeluaran, malah sekular ialah idea yang digunakan oleh orang Kristian (Eropah) untuk memisahkan gereja dengan pentadbiran beraja.

Harussani berkata, sekiranya kekayaan yang dicari kerana tamak dan tidak digunakan ke arah kepentingan agama dan Tuhan, maka ia adalah seperti idea sekularisme yang dicipta oleh orang Kristian untuk memisahkan gereja dengan pentadbiran negara mereka.

``Misalnya, jika kita dinaikkan pangkat, pangkat itu adalah dunia dan kita gunakan ia untuk melakukan amanah sebagai khalifah Allah di dunia ini, ia adalah (perbuatan) baik, tetapi, jika kita gunakan pangkat itu untuk aniaya dan tekan orang, ia tidak boleh,'' katanya.

Beliau turut bersetuju dengan pandangan Perdana Menteri yang menyatakan bahawa Islam adalah cara hidup dan semuanya adalah sebahagian daripada Islam.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum