AGAMA

Utusan Malaysia 15 Jun 2001

Wajib bersikap positif terhadap dunia

Oleh: MOHD. SHAUKI ABD. MAJID
Islam menegaskan, bahawa dunia ini wujud dengan sebenarnya (haq). Malah al-Quran mengkafirkan fahaman yang menganggap dunia ini hanya sekadar impian sebagaimana difahamkan oleh penganut falsafah idealisme.

Allah telah menegaskan dengan kalimat yang sangat jelas, bagaimana kita sebagai orang Islam semestinya melihat dunia, dan bagaimana sikap kita terhadapnya.

Dalam Surah Saad ayat 27 Allah menegaskan dalam firmannya yang bermaksud:

Dan tiadalah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara kedua-duanya sebagai ciptaan yang tidak mengandungi hikmah dan keadilan; yang demikian adalah sangkaan orang-orang yang kafir! Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang kafir itu daripada azab neraka.

Jelas daripada maksud ayat tersebut, Allah dengan tegas mengkafirkan faham yang menafikan hakikat dan fungsi dunia terhadap pembentukan umat dalam merebut peluang di dunia. Impak daripada fahaman penolakan kepentingan pengisian duniawi tersebut menyebabkan wujudnya aliran tasawuf yang sesat dan telah berjaya menerapkan kefahaman tauhidnya yang sempit. Di samping itu, mereka berjaya mempengaruhi sebahagian umat terhadap fahaman yang menjauhkan diri dari dunia.

Malah yang lebih berbahaya apabila terdapat sebahagian daripada para intelektual kita bersikap prejudis, pengecut dan enggan untuk terlibat dalam kancah politik dunia bagi tujuan memperbetulkan situasi buruk tersebut dengan memilih politik uzlah atau mengisolasi diri daripada terlibat dalam masalah duniawi. Sebagai contoh, mereka memilih untuk melibatkan diri dalam kegiatan Tabligh, Al-Arqam, ajaran-ajaran tasawuf yang menolak duniawi dengan alasan kononnya untuk mendekatkan diri kepada Allah sebagaimana salah faham terhadap fahaman wahdatul wujud.

Maka lahirlah apa yang diutarakan oleh golongan mereka melalui hadis-hadis lemah (daif) dan palsu yang bertemakan penolakan hidup duniawi. Salah satu contoh hadis palsu yang mereka popularkan ialah dunia ini adalah bangkai dan mereka yang mencari dan menuntutnya adalah anjing.

Sedangkan manusia diciptakan Allah, justeru untuk memakmurkan dunia ini demi kepentingan manusia sendiri. Dia telah menjadikan kamu daripada bumi agar kamu memakmurkannya. (Surah Hud ayat 61)

Ayat ini tegas menyatakan, bahawa tujuan penciptaan manusia di muka bumi ialah agar manusia memakmurkan kehidupan ini. Kemakmuran ini tiada lain demi kepentingan manusia sendiri.

Oleh kerana itu manusia diharamkan Allah merendahkan diri terhadap alam raya ini, sebab dengan demikian itu manusia telah melecehkan rencana dan ketentuan Allah yang telah memuliakan dan melebihkan manusia terhadap semua makhluk-Nya yang lain.

Dan Dia telah menyediakan untuk melayani kamu segala sesuatu yang ada di langit dan yang ada di bumi seluruhnya daripada-Nya, sesungguhnya dalam hal ini terdapat beberapa tanda bagi kaum yang mahu berfikir. (Surah al-Jathiyah ayat 13)

Daripada kedua-dua ayat tersebut jelaslah, bahawa setiap Muslim wajib memandang dunia ini dengan sikap yang positif. Maka penilaian Allah ke atas setiap manusia pun berdasarkan kepada bagaimana sikap dan perilaku manusia yang bersangkutan terhadap dunia ini. Jika manusia pandai bersyukur dengan beramal salih, maka dia akan mendapatkan hasil yang baik; sebaliknya jika manusia berlaku kufur (tidak bersyukur) dengan beramal tidak sesuai dengan sunah Allah, maka ia akan merasakan akibat kekufuran dan kesalahannya itu. Setiap manusia akan dinilai oleh Allah akhirnya jika mereka telah kembali kepada-Nya.

Sikap yang merasa diri kecil atau tak berdaya menghadapi dunia adalah tercela, konon pula sikap pasrah kepada dunia. Sikap pasrah dan tawaduk (merendahkan diri) hanya ditujukan kepada Allah s.w.t. yang telah menciptakan seluruh isi alam ini untuk manusia. Dengan sikap sebagai khalifah atau pengurus alam ini, manusia akan mampu menakluki alam dengan mengembangkan ilmu pengetahuan mereka tentang sunah Allah yang mengatur alam ini. Sikap inilah yang telah membuat para tabiin dan tabialtabiiin di zaman antara abad pertama sampai dengan abad ke enam Hijriah sebagai pelopor dalam memajukan sains dan teknologi.

Firman Allah yang bermaksud: Tidakkah kamu perhatikan, bahawa Allah telah menciptakan segala sesuatu yang ada di langit dan di bumi, dan telah melengkapkan segala nikmat-Nya bagi kamu, baik yang zahir mahupun yang batin? Namun sebahagian manusia ada yang membantah tentang Allah tanpa pengetahuan dan tanpa petunjuk serta bukti (kitab) yang nyata. (Surah Luqman ayat 20).

Pandangan ajaran Islam terhadap dunia ini sangatlah positif dan baik, maka wajiblah bagi setiap Muslim bersikap demikian terhadap dunia ini. Kita wajib mempunyai sikap positif terhadap dunia.

- * MOHD. SHAUKI ABD. MAJID ialah Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (Yadim).

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum