AGAMA

Utusan Malaysia 31 mac 2002

Salah ulama bermentaliti menghukum - Kefahaman Islam terbantut

Bicara Agama oleh Astora Jabat
PARA ulama perlu menjadi pendakwah dalam kehidupan harian mereka di kalangan masyarakat dan bukan menjadi penghukum (kadi atau hakim). Di antara ciri ulama pendakwah seperti yang disebut dalam al-Quran ialah menyeru ke jalan Allah dengan menggunakan kebijaksanaan (al-hikmah) dan pengajaran yang baik (al-mau'izhah al-hassanah) serta berdialog dan berbincang dengan pendekatan yang terbaik (billati hial ahsan).

Bagaimanapun, kebanyakan cerdik pandai agama yang dikenali sebagai ulama di negara ini lebih mengutamakan pendekatan menghukum berbanding pendekatan dakwah.

Dengan itu tidak hairan jika penghayatan agama kebanyakan masyarakat Islam di negara ini tidak menggambarkan hakikat keimanan, tetapi hakikat ketakutan.

Sebagai hasilnya muncullah orang Islam berkategori beku dan jumud dalam penghayatan agama di mana mereka mengerjakan segala ibadat seperti sembahyang, puasa, zakat, haji dan lain-lain yang lebih bersifat kepada takut kepada Allah daripada beriman dengan-Nya.

Kepincangan ini jarang disedari oleh kebanyakan orang awam kerana pendekatan pendidikan agama yang dilaksanakan dalam masyarakat sejak Islam bertapak di negara ini dan seluruh dunia Melayu adalah pendekatan yang mengasingkan agama daripada dunia.

Gejala pengasingan agama daripada dunia ini berlaku ekoran munculnya sebahagian ulama yang mengasingkan diri daripada kerajaan atau politik selepas runtuhnya kerajaan Khulafa Rasyidun di Madinah dan terbentuknya Kerajaan Umaiyah di Damsyik.

Para ulama yang kecewa dengan beberapa konflik dan perang sesama Islam pada zaman itu mengasingkan diri daripada arus perdana politik negara dan menyebabkan terbentuk beberapa mazhab agama termasuk empat mazhab terkenal dalam kelompok Ahli Sunah Waljamaah iaitu mazhab Maliki, Hambali, Syafii dan Hanafi.

Kini ramai cerdik pandai Islam amat petah membincangkan tentang ketiadaan pemisahan agama daripada dunia dalam Islam. Mereka mengutuk habis-habisan pemisahan tersebut walaupun Islam sebenarnya tidak melarangnya secara mutlak kerana Rasulullah s.a.w. pernah melakukan pemisahan dalam hal-hal pembahagian kerja dan tugas.

Tetapi mereka tidak menerima sunah Rasulullah itu dan mendakwa amalan pemisahan agama daripada dunia itu berasal daripada sekularisme Barat.

Padahal jika mereka melakukan pembacaan dan penyelidikan yang menyeluruh terhadap warisan ilmu Islam, mereka akan mendapati bahawa pengasingan agama daripada dunia dalam bentuk yang tidak baik atau negatif pernah dilakukan oleh ulama-ulama mazhab yang menolak untuk terlibat dalam kerajaan atau mengasingkan diri daripadanya.

Ini bermaksud pemisahan agama daripada dunia dalam bentuk yang tidak baik itu bukan bermula dengan zaman renaissance atau Revolusi Perancis, tetapi bermula dengan ulama-ulama mazhab lagi berdasarkan sebab-sebab yang telah disebutkan di atas.

Ulama-ulama mazhab itu berijtihad secara berasingan dengan kerajaan atau ulama-ulamanya dan menghasilkan hukum yang tidak menepati realiti masyarakat dalam negara Islam pada zaman itu.

Dengan itu tidak hairan jika semua ulama mazhab tersebut membincangkan tentang fikah ibadat (fiqhul `ibadah) secara panjang lebar dan dicatatkan perbincangan mereka dalam berjilid-jilid kitab. Tetapi mereka tidak melakukan perkara yang sama terhadap fikah politik (fiqhus siasah) dan fikah tamadun (fiqhul hadarah).

Sebagai contoh, ada ulama yang mengarang kitab sebanyak 20 jilid hanya untuk membincangkan mengenai ibadat sembahyang saja.

Fikah atau ajaran agama yang menjadi produk para ulama yang mengasingkan diri daripada kerajaan atau politik inilah yang sampai ke negara ini dan seluruh Dunia Melayu.

Memberi pengertian amal (al-'amal) yang disebut dalam al-Quran dan hadis sebagai mengerjakan ibadat semata-mata merupakan fikah atau ajaran agama yang merupakan produk ulama-ulama mazhab itu.

Padahal amal dalam al-Quran dan hadis adalah kerja dan pelaksanaan yang tidak bersifat khusus kepada ibadat. Ia sebaliknya lebih merupakan kerja dan pelaksanaan mengenai pentadbiran dan pembangunan.

Inilah yang menjadi antara punca yang menyebabkan kebanyakan ulama negara ini bermentaliti fikah yang lebih suka menggunakan pendekatan menghukum daripada pendekatan dakwah.

Maksud fikah di sini ialah bukan fikah asal yang bermaksud kefahaman (at-tafaqquh) yang boleh berbeza pandangan mengenainya, tetapi fikah jumud (fiqhul jumud) yang dijadikan oleh sesetengah ulama tanah air sebagai hukum-hakam yang tidak boleh berbeza pandangan mengenainya seolah-olah ia merupakan hukum yang dimuktamadkan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Segelintir ulama yang cuba menghalang beberapa penulis membincangkan mengenai Islam adalah tergolong daripada ulama yang bermentaliti fikah yang lebih suka menggunakan pendekatan menghukum daripada pendekatan berdakwah itu.

Penulis tidak berkata para penulis itu tidak melakukan kesilapan, tetapi kesilapan yang dilakukan oleh ulama-ulama itu lebih besar dan penulis telah pun membincangkan perkara itu dalam beberapa tulisan yang telah disiarkan dalam ruangan ini.

Selain itu, menurut pandangan Islam, pendekatan yang perlu digunakan dalam menyelesaikan masalah kesilapan pemikiran itu bukan menghukum, tetapi pendekatan yang disebut `pemikiran tidak diperangi melainkan dengan pemikiran' (al-fikr la yuharibu illa bil fikr).

Sesiapa yang meneliti sejarah dakwah Rasulullah akan mengetahui bahawa baginda menggunakan pendekatan dakwah atau pendekatan `pemikiran tidak diperangi kecuali dengan pemikiran'. Baginda tidak menggunakan pendekatan perang kecuali ketika diperangi oleh pihak lain. Itupun baginda hanya melakukan perkara itu ke atas orang bukan Islam yang melancarkan perang ke atas orang Islam.

Sedangkan para penulis yang mahu dihukum dan diperangi oleh segelintir ulama itu adalah orang Islam yang tidak memerangi orang Islam atau agama mereka, tetapi mereka hanya melakukan kesilapan dalam mencedok fakta, maklumat dan pandangan saja. Kebanyakan mereka pula sudahpun mengaku salah.

Dalam pada itu ada juga orang yang bergelar ulama di kalangan para ulama tersebut sukar untuk dipanggil mereka ulama yang sebenar.

Kenapa?

Kerana salah seorang daripada mereka tidak nampak langsung mempunyai perwatakan ulama disebabkan tidak intelektual (ghaira muthaqqaf), tidak tinggi ilmu agama dan rasional. Membaca pandangan beliau yang disiarkan dalam akhbar ini dan Utusan Melayu serta sebuah risalah yang ada di pasaran kini menyebabkan penulis menganggap beliau setaraf dengan budak-budak nakal yang menulis dalam Internet.

Tidak ada gambaran lain dalam semua pandangan beliau kecuali emosi dan prejudis.

Untuk membuat penilaian yang lebih tepat lagi penulis mengajak pembaca bandingkan pandangan beliau dengan pandangan Dr. Chandra Muzaffar yang juga disiarkan dalam akhbar ini dan Utusan Malaysia serta akhbar-akhbar lain.

Tidakkah Dr. Muzaffar yang bukan seorang ulama dan tidak pernah belajar agama secara formal jauh lebih intelektual, tinggi ilmu agama dan rasional berbanding beliau?

Dengan itu secara terus terang penulis jelaskan di sini bahawa penulis berasa malu untuk memanggil beliau sebagai ulama.

Itulah antara logik yang menyebabkan penulis menganggap Islam bukan milik ulama dan siapa saja boleh membincangkan mengenainya asalkan mempunyai pengetahuan agama yang berpatutan, dan apa yang dibincangkan tidak merupakan akidah, ibadat dan perkara-perkara yang sudah muktamad hukumnya.

Tindakan mengutamakan pendekatan menghukum daripada pendekatan berdakwah boleh menjejaskan perkembangan kefahaman Islam di kalangan orang Islam dan sekali gus tidak dapat menghapuskan salah faham bukan Islam terhadap Islam.

Ramai cerdik pandai Islam di negara ini tidak mendapat pendidikan agama secara formal tetapi mereka yang merupakan penyelidik rajin mempunyai komitmen yang tinggi terhadap Islam. Mereka pula bukan tidak mempunyai syeikh atau guru kerana syeikh dan guru mereka adalah pemikir Islam terbilang di dalam dan luar negara.

Mereka tidak patut disekat daripada berkarya dengan apa cara pun.

 

agama | muka depan | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi