Make your own free website on Tripod.com

AGAMA

Utusan Malaysia 31 mac 2002

Fitnah ulama dan alamat kiamat

Oleh DUSUKI AHMAD
SULIT sekali untuk menjawab soalan orang yang bertanya siapa ulama sebenar, kerana ulama tidak mempunyai identiti zahir yang boleh dikesan oleh pancaindera seperti paderi bagi agama Kristian dan sami bagi kepercayaan Buddha atau Hindu. Tidak ada lambang tertentu atau pakaian khusus yang membezakan antara ulama dengan golongan yang bukan ulama. Juga tidak ada tanda-tanda istimewa yang meletakkan mereka maksum, suci atau kudus.

Kesulitan ini timbul kerana akhir-akhir ini ada orang yang tidak lagi menilai ulama berteraskan kepada ilmunya yang mendalam dalam agama Islam, akhlaknya, kesolehannya, kewarakannya dan ketakwaannya. Tetapi lebih cenderung menamakan ulama itu semata-mata kepada mereka yang berkelulusan dari pusat-pusat pengajian tinggi Islam, atau mereka yang bekerja di jabatan-jabatan yang berhubungan dengan urusan pentadbiran agama.

Paling anehnya ramai juga mereka yang melabelkan ulama itu pada mereka yang dapat mencipta imejnya dengan serban, jubah dan janggut. Atau mereka yang dapat berpidato dengan baik dan dapat membaca dalam ucapannya ayat-ayat al-Quran dan hadis dengan fasih. Atau mereka yang menjadi ahli kepada pertubuhan yang diberi nama ulama atau sebagainya.

Kecenderungan seumpama inilah yang menyebabkan timbulnya kekeliruan dan kecelaruan tentang pengertian dan konsep ulama sebenar, sehingga madlul ulama menjadi kabur. Lebih-lebih lagi apabila ada pihak-pihak tertentu yang gigih memperalatkan institusi ulama bagi kepentingan diri dan golongan untuk maksud duniawi.

Sebelum ini tidaklah sepayah hari ini untuk mengenali ulama di Malaysia. Walaupun tidak ada seorang pun di kalangan mereka yang mendakwa sebagai ulama, tetapi mereka dikenali dan diiktiraf umum sebagai ulama.

Pengiktirafan yang diberi adalah kerana ilmunya yang memberi manfaat, tutur katanya meninggalkan kesan yang segar, buku-buku dan hasil penulisannya tersebar luas dan akhlaknya menarik. Mereka adalah penegak perkara-perkara baik (makruf) dan penghalang segala keburukan (mungkar) yang meliputi mungkar kejahilan, kemiskinan, kemunduran dan segala bentuk kelemahan.

Mereka adalah golongan yang selaras dengan apa yang disebutkan dalam al-Quran surah Fatir: 28 sebagai golongan yang paling takut kepada Allah.

Ertinya ulama itu adalah golongan yang gemar kepada apa yang diredai Allah dan jauh daripada apa yang dimurkai-Nya. Mereka adalah contoh teladan atau obor masyarakat. Tetapi tidak demikian bagi kebanyakan mereka yang bergelar ulama hari ini.

Syeikh Mustapha Masyhur dalam bukunya Al-Qiadah Wal-Jundiyah telah mencatatkan beberapa ciri yang patut ada pada seorang yang bergelar ulama. Antara lainnya: Sentiasa mengharapkan keredaan Allah. Jauh daripada penyakit hati yang dapat menghancurkan amal usahanya seperti riak, gila kuasa, kejar pangkat, cari pengaruh dan sebagainya. Berperangai penyantun, kasih sayang, lembut dan ramah. Suka bersahabat dengan semua orang tanpa memilih orangnya. Benar dalam kata-kata, perbuatan dan sikap. Pemaaf dan mampu menahan marah.

Di samping itu ada pula golongan yang membuat ukuran ulama dari sudut kepentingan diri dan puak. Ulama yang tidak daripada golongan mereka dikatakan jahil dan orang jahil daripada golongan mereka didakwa sebagai ulama.

Mungkin si A itu benar-benar alim orangnya, dapat memahami kitab-kitab tradisi Islam, dapat membaca tuntutan masa dan kehendak tempat serta ramai pula murid yang berguru dengannya. Tetapi pandangan dan fikirannya tidak sealiran dengan golongan tertentu, maka alimnya si A itu tidak diberi pengiktirafan oleh golongan berkenaan.

Jika si A ini tidak alim orangnya, tidak pernah belajar agama, tetapi berimej agama, petah berbicara agama dengan sebutan istilah-istilah agama dengan fasih, kemudian dia menjadi ahli kepada persatuan ulama atau organisasi yang bernama agama, maka dialah ulama.

Walaupun orang yang didakwa sebagai ulama itu kerjanya menyulitkan orang ramai, menghalang kerja-kerja pembangunan dan kebajikan dan sering membangkitkan kebencian dan kemarahan.

Menjelang pilihan raya umum 1999 dahulu ada seorang yang mendakwa dirinya ulama. Dia membawa cerita kononnya di Damansara, Petaling Jaya Selangor, ada seorang kaya yang mati. Jenazahnya bertukar menjadi khinzir. Katanya, dia sendiri bertanggungjawab menyempurnakan jenazah itu. Ceritanya ini disebarkan melalui pidatonya yang dirakam dan dijual dengan larisnya ke seluruh negara.

Orang ramai percaya dengan cerita bohong itu kerana penceritanya adalah seorang yang didakwa sebagai ulama.

Menjelang pilihan raya itu juga Profesor Datuk Shahnon Ahmad ada menulis dan mengedarkan novel tulisannya berjudul Shit. Buku ini menjadi debat hangat di kalangan orang ramai kerana ia sarat dengan maki hamun dan caci-cerca.

Buku ini amat laris di pasaran dan menjadi bahan debat di warung-warung kerana ada ulama yang menghalalkan maki hamun dan carut mencarut yang menjadi tema kepada buku tersebut.

Masyarakat amat terpengaruh dengan mereka yang bernama ulama sehingga yang mungkar pun menjadi makruf dan makruf bertukar menjadi mungkar apabila ada ulama yang berkata begitu.

Mereka tidak tahu membezakan di antara ulama sebenar yang dikatakan sebagai pewaris Nabi dengan orang yang berlakon sebagai ulama atau ulama politik atau ulama yang mencari habuan dunia dengan cara menjual agama.

Mereka adalah pelakon yang hebat. Mereka pandai berwatak sebagai orang yang bertakwa, warak, zuhud dan sebagainya. Pada episod yang lain mereka bertukar warna kepada keadaan yang biasa. Mereka ini adalah pelakon yang berjaya.

Mereka juga ahli perniagaan bermodalkan agama. Perniagaan mereka laris dan menguntungkan, kerana ia mudah dibeli oleh pengguna. Mereka lupa kepada amaran Allah bahawa kerja-kerja seumpama ini adalah dikutuk.

Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh sebuah hadis yang memberi erti: Akan tiba kepada manusia suatu zaman. Tidak ada lagi Islam melainkan pada namanya. Tidak ada ad-din melainkan pada tulisannya. Tidak ada al-Quran melainkan untuk belajar cuma. Mereka memakmurkan masjid, tetapi sunyi daripada sebutan nama Allah. Orang paling jahat pada zaman itu ialah ulama mereka. Dari mulut ulama jugalah keluar fitnah dan fitnah itu kembali kepada ulama. Dan itulah salah satu daripada alamat kiamat.

 

agama | muka depan | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi