Make your own free website on Tripod.com

AGAMA

Utusan Malaysia 31 mac 2002

Kubur, hijab dan agama kita

Mazlan Nordin Menulis
APA hukumannya ke atas seseorang yang merompak orang yang telah dikuburkan? Pertanyaan itu diajukan setelah baru-baru ini seorang petugas tanah perkuburan di ibu kota mengadu mengenai tempat duduk di tepi kubur seorang hamba Allah dicabut dan dipindahkan ke tepi sebuah kubur lain.

Saudara-mara hamba Allah itu kemudian tertanya apakah orang yang merompak dan mencuri itu tidak mampu membeli kerusi kecil berharga tidak sampai sepuluh ringgit? Kenapa merompak daripada orang yang telah mati dan dikuburkan?

Kisah kedua juga dari tanah perkuburan di ibu kota. Papan tanda telah dipasang memberitahu semua pihak bahawa tapak kubur di situ telah penuh. Orang ramai yang hendak melakukan pengkebumian diberitahu tiada lagi tapak.

Anehnya orang yang dianggap kenamaan atau VIP diterima untuk dikebumikan di situ. Kesimpulannya: Bila mati pun tiada hak asasi yang sama. Pilih memilih berlaku. Yang ternama diterima dan yang nama biasa ditolak.

Sementara itu tanda tanya lain berbangkit bersabit reaksi segelintir orang kita mengenai pelbagai hal. Satu contoh ialah desakan supaya ``fatwa haram merokok'' segera diwartakan.

Pengharaman seperti itu tidak pula berlaku di negara-negara Arab, termasuk Arab Saudi. Juga di kota suci Mekah dan Madinah serta di negara-negara Islam lain yang terbesar seperti Indonesia, Pakistan dan Bangladesh.

Bahkan seperti kelihatan di sana sini ialah ulama dan mereka yang telah menunaikan haji pun merokok.

Sebelum ini ada yang meminta pihak berkuasa mengharamkan jualan VCD tarian gelek kerana ditakuti merosakkan imej Islam, iaitu menimbulkan pandangan serong oleh bukan Islam. Seperti diketahui sejak puluhan tahun pertunjukan tarian gelek diadakan di pelbagai kelab hiburan di Kaherah, tempat duduknya Universiti Al-Azhar.

Ia tidak menjadi ukuran, kerana ada Arab yang tidak beragama Islam, umpamanya, kaum Copts di Mesir dan sebilangan yang tinggal di Lebanon.

Menjadi ukuran bagi sesetengah orang bukan Islam kini ialah peristiwa 11 September.

Juga diminta diambil tindakan ialah saluran ART Astro kerana tarian dan nyanyian. Daripada segala-galanya timbul kesimpulan bahawa bagi segelintir orang kita penyelesaian mudah ialah haramkan.

(Pada suatu masa lalu akhbar-akhbar Melayu heboh mengenai pemuda-pemudi Melayu melepak di sana sini di Kuala Lumpur. Lalu cadangan dibuat supaya belia Melayu dilarang keluar lewat pukul 10 malam!)

Sementara itu pula beberapa hal lain mengejutkan masyarakat Melayu, iaitu mengenai apa yang disebut ``keserabutan dalam Tabung Haji''. Ia berkait dengan kehilangan RM80 juta dan sebelum itu ada kehilangan lain.

Di samping itu seperti telah didedahkan beberapa kali oleh akhbar-akhbar, ada syarikat yang menipu mereka yang hendak menunaikan haji dan umrah hingga terkandas di lapangan terbang. Di mana gerangan keislaman mereka yang menipu itu?

Tidak kurang mendapat perhatian dan dibincang berterusan ialah peristiwa Memali. Tiba-tiba cadangan dibuat supaya digali kubur Allahyarham Ibrahim Libya. Kiranya cadangan itu dilaksanakan mungkin Malaysia menjadi negara pertama di seluruh dunia yang melakukannya, hanya untuk manusia menentukan sama ada dia mati syahid atau tidak.

Peristiwa Memali berlaku 13 tahun lalu dan telah sekian lama Ibrahim Libya dikebumikan. Apakah wajar seseorang yang telah bersemadi begitu lama dikeluarkan semula untuk menegakkan kebenaran pihak lawan ataupun kawan yang berdebat?

Apakah kita rela perkara sebegitu dilakukan ke atas jenazah keluarga sendiri, nenek, ayah atau ibu, kakak atau abang dan adik serta anak, untuk menang dalam perdebatan?

Pada suatu masa lalu akhbar-akhbar Utusan menyiarkan laporan demi laporan mengenai kekurangan kawasan tanah perkuburan. Lalu ada yang mencadangkan jenazah ditanam di tingkat atas.

Ertinya dua mayat dalam satu liang lahad. Tiada yang menyambut syor itu kerana sebenarnya memang ada kawasan untuknya. Apakah ada kawasan untuk padang main golf yang sepuluh kali ganda lebih luas, tetapi tiada kawasan tanah kubur?

Seorang sahabat dari Bangladesh mengkisahkan suatu hal yang berlaku di negaranya sekarang. Pada suatu masa lampau, katanya, ramai murid perempuan pergi ke sekolah tanpa tudung atau hijab.

Keadaan telah berubah sejak beberapa bulan lalu, menurutnya. Kini kesemuanya memakai hijab. Sebabnya: Ada golongan fanatik mengugut bahawa mereka yang tidak memakai tudung akan disiram dengan air asid.

Seperti termaklum di Afghanistan dalam masa pemerintahan puak Taliban dulu persekolahan anak-anak gadis dihentikan saja. Di Malaysia hanya segelintir yang mahu mengharamkan itu, ini, sedangkan negara-negara Islam lain, termasuk di tanah Arab, tidak berbuat demikian.

Kita biasanya berdoa kepada Tuhan supaya diteguhkan iman hingga ke akhir hayat. Syahdan, kita membaca kisah Alimin, seorang pemimpin komunis dari Indonesia. Seperti diketahui mereka yang komunis tidak percayakan Tuhan. Lain halnya dengan Alimin.

Menurut yang empunya cerita ketika saat akhir hayatnya, Alimin yang berumur 78 tahun mengucap kalimah syahadah dan kemudian membaca al-Fatihah. Khabarnya juga beliau sering menggesa anak cucunya supaya memperteguhkan iman.

Cengkaman ideologi politik komunis tiada lagi kini, tetapi ancaman lain wujud daripada dunia kapitalisme seperti dilaporkan dalam media Indonesia mengenai pengedaran The True Furqan. Sedutan daripadanya:

``Bagi umat Islam Amerika Syarikat, The True Furqan merupakan salah satu cubaan terberat selain pelbagai pelecehan menyusul tragedi 11 September. Buku berbahasa dan bertulisan Arab (dengan terjemahan bahasa Inggeris) yang dijual bebas di pasar Amerika Syarikat dan Eropah sejak dua tahun lalu itu mirip bak kembar dengan al-Quran. Kitab setebal 368 halaman ini bersimpul hijau dengan sulaman huruf Arab berwarna emas yang elok.

``Selain itu, gaya penyajian dan pilihan bahasa Arab klasik yang dipakainya serupa benar dengan al-Quran apalagi bagi mereka yang tidak memahami selok-belok bahasa Arab secara mendalam. Gampang diduga The True Furqan mudah mengecoh mereka yang baru belajar Islam kerana menganggapnya sebagai al-Quran.

``The True Furqan dibuat oleh lembaga yang menyebut dirinya Projek Omega 2001. Menurut Al-Mahdi, anggota komite eksekutif lembaga tersebut, buku yang disusun selama tujuh tahun ini merupakan Bibel dalam bahasa Arab klasik. Pemilihan kata ``Furqan'' disengaja kerana kata ini merupakan sinonim al-Quran.'' Demikian sedutan laporan.

Dalam usaha bersama untuk menegakkan syiar Islam kita perlu waspada terhadap ancaman seperti ini. Dengan itu amal makruf, nahi mungkar dilaksanakan.

Semoga usaha kita diberkati Allah.

 

agama | muka depan | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi