AGAMA

Utusan Malaysia 07 April 2002

Polemik penghayatan agama-Orang bukan Islam berhak bincangkan Islam

ORANG bukan Islam juga patut diberi hak membincangkan tentang Islam dalam perkara-perkara bukan akidah, ibadat dan hukum-hakam yang telah ditetapkan hukumnya secara muktamad oleh Allah.

Ini kerana orang bukan Islam juga berhak untuk mengenali Islam. Perbincangan, terutama dalam bentuk penulisan, adalah salah satu cara yang paling baik untuk mengenali Islam. Kerana membincangkan sesuatu dalam bentuk penulisan tidak akan berlaku kecuali pengamalnya telah membaca dan mengkaji segala perkara yang dibincangkan.

Selain itu, kini orang bukan Islam yang membincangkan tentang Islam bukan calang-calang orang, tetapi mereka tergolong daripada sarjana yang pernah mendapat pendidikan tinggi dalam pengajian Islam.

Di negara ini baru terdapat seorang sarjana bukan Islam yang tergolong dalam kategori itu iaitu Dr. Patricia A. Martinez yang mempunyai ijazah Ph.D. dalam Pengajian Islam dari Universiti Temple, Amerika Syarikat.

Dalam pada itu orang bukan Islam juga berhak mengamalkan ajaran Islam atau cara hidup Islam yang berkaitan dengan kebaikan dunia yang disebut dalam istilah Islam sebagai al-'adaat (kebiasaan) dan al-mu'amalaat (perilaku/tindak-tanduk).

Dari segi perspektif dakwah, orang Islam tidak harus menyekat orang bukan Islam, yang dipanggil dalam istilah Islam sebagai ummah dakwah, daripada membincangkan tentang Islam dalam perkara-perkara yang telah disebut di atas.

Begitu juga mereka tidak berhak menyekat orang bukan Islam supaya tidak mengamalkan ajaran Islam kerana Allah menegaskan bahawa ajaran Islam adalah juga untuk kebaikan ummah dakwah.

Allah berfirman: Kami tidak mengutuskankau melainkan untuk menjadi rahmat kepada sekalian alam (al-Anbia': 107).

Maksudnya Allah mengutuskan Rasul-Nya dengan membawa ajaran yang menjadi rahmat kepada semua makhluk termasuk orang bukan Islam.

Sebenarnya kita perlu membezakan antara penghayatan agama dan penghayatan Islam.

Penghayatan agama adalah penghayatan akidah dan ibadat adalah khusus bagi orang Islam. Orang bukan Islam tidak dituntut menghayati ajaran-ajaran khusus ini. Namun, Islam tidak melarang jika mereka mahu mengamalkannya.

Bagaimanapun, penghayatan Islam bukan menjadi hak orang Islam saja, tetapi menjadi hak orang bukan Islam berdasarkan kepada ayat di atas dan ayat-ayat lain serta beberapa hadis Rasulullah.

Penulis ingin memetik kata-kata ulama mode-nis Islam Mesir terkenal, Syeikh Muhammad Abduh (1849-1905) tentang penghayatan orang bukan Islam terhadap ajaran Islam itu.

Muhammad Abduh menyimpulkan penghayatan Islam orang bukan Islam dalam kata-katanya yang berbunyi: ``Aku melihat Islam tanpa orang Islam di Barat dan aku melihat orang Islam tanpa Islam di Timur.''

Mesej yang ingin disampaikan oleh Muhammad Abduh dalam kesimpulannya itu ialah tamadun yang dibina di Barat kini adalah tepat dengan Islam jika diukur dari sudut penghayatan Islam dan bukan diukur dengan penghayatan agama.

Malah dalam kesimpulan berkenaan beliau juga mahu menyampaikan mesej bahawa tamadun itu juga yang pernah dibina oleh umat Islam pada masa lalu. Pada waktu yang sama beliau menganggap penghayatan Islam orang Islam zamannya iaitu pada abad 19 dulu sebagai penghayatan tanpa Islam.

Apa yang digambarkan oleh Muhammad Abduh dua abad lalu masih relevan dengan suasana umat Islam pada zaman ini. Ini kerana suasana orang Islam tanpa Islam dalam erti kata penghayatan Islam yang menyeluruh dan bukan penghayatan agama saja masih berleluasa dalam semua masyarakat Islam kini termasuk di negara ini.

Sebagai hasilnya lahirlah orang Islam yang tidak seimbang (asl-sawi) antara dunia dan akhirat dalam semua bidang kehidupan.

Itulah yang menyebabkan kita melihat kadangkala orang Islam tertentu terlalu keduniaan sehingga mahu bersembahyang lima waktu pun tidak sempat kerana terlalu sibuk urusan keduniaannya.

Sebaliknya kita juga kerap bersua dengan orang tertentu yang terlalu ghairah kepada keakhiratan sehingga hubungan dengan orang lain tidak dipedulikan.

Ini sudah bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenarnya kerana Allah dan Rasul-Nya menuntut supaya kita menjadi orang Islam yang seimbang antara dunia dan akhirat.

Sebagai contoh Allah menuntut supaya kita tidak melupakan habuan di dunia (al-Qasas: 77) dan melarang kita melampau dalam agama (an-Nisa': 171/al-Maidah: 77).

Rasulullah pula melarang orang Islam berpuasa dan mengerjakan sembahyang sepanjang masa sehingga melupakan hak dan kewajiban terhadap anak-anak dan isteri. Baginda juga tidak mengaku orang Islam yang mengabaikan kehidupan itu sebagai umatnya seperti mana disebut dalam beberapa buah hadis.

Para sahabat yang menjadikan Rasulullah sebagai iktibar dalam kehidupan juga mengamalkan ajaran Islam secara seimbang antara dunia dan akhirat.

Contohnya Umar al-Khattab yang mengungkap kata-kata hikmah yang bermaksud: ``Kerjalah untuk dunia kamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya dan kerjalah untuk akhirat kamu seolah kamu akan mati esok.''

Beliau juga mengambil tindakan menghalang orang Islam yang mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak dan isteri dengan menghabiskan masa sepanjang hari mengerjakan ibadat dalam masjid.

Para ulama pula menganggap dunia sebagai ladang akhirat dan sesiapa yang ingin pergi ke akhirat dengan mendapat habuan syurga, dia mesti mengusahakan ladang itu.

Orang bukan Islam yang melaksanakan penghayatan Islam dipanggil menurut istilah Islam moden sebagai al-Islami (jamaknya al-Islamiyyiin). Orang bukan Islam ini dipanggil dalam bahasa Melayu dan Inggeris masing-masing Islamis dan Islamist di mana mereka termasuk golongan yang menyokong orang Islam di negara ini.

Bagaimanapun, istilah ini tidak popular di negara ini dan mungkin tiada seorang pun di kalangan cerdik pandai agama kita termasuk yang dikenali sebagai ulama berani untuk memanggil orang bukan Islam yang melaksanakan penghayatan Islam dan menyokong orang Islam itu sebagai Islamis.

Malah mungkin juga orang bukan Islam yang melaksanakan penghayatan Islam dan menyokong orang Islam tidak mahupun dilabelkan mereka sebagai Islamis.

Contoh orang bukan Islam yang melaksanakan penghayatan Islam dan menyokong orang Islam di luar negara ialah pemikir Perancis keturunan Yahudi, Maurice Bucaille. Bucaille adalah pengarang buku yang sangat tersohor La Bible, Le Coran et La Science (Injil, al-Quran dan Sains).

Beliau tidak memeluk Islam setakat pengetahuan penulis, tetapi memperjuangkan nilai-nilai Islam termasuk mengenai saintifiknya seperti dijelaskan dalam buku La Bible, Le Coran dan La Science dan buku-buku lain.

Kawan Buccaille, seorang pensyarah Maghribi di Universiti Mohamed V di Rabat, Ahmad bin Bachir memberitahu penulis pada akhir tahun 80-an bahawa Bucaille adalah orang Islam yang tidak mengisytiharkan dirinya sebagai Islam. Beliau berkata, anggaplah Bucaille sebagai orang Islam.

Menurutnya, Bucaille tidak mengisytiharkan dirinya sebagai Islam kerana beliau mahu menjadi pengantara untuk menyampaikan mesej Islam di Barat.

Sebelum Bucaille, muncul seorang pemikir terbilang komunis abad lalu, Roger Garaudy sebagai seorang Islamis progresif. Beliau yang merupakan rakyat Perancis menjadi Islamis yang memperjuangkan hak bangsa Palestin secara khas dan hak orang Islam secara amnya.

Perbincangan beliau mengenai Islam lebih hebat daripada ramai sarjana beragama Islam.

Pada tahun 1983, Garaudy mendapat hidayat dan memeluk Islam. Beliau menjadi musuh yang paling ketat kepada Yahudi dan pernah dihadapkan ke mahkamah di Perancis beberapa tahun lalu kerana dituduh anti-Yahudi.

 

agama | muka depan | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi