AGAMA

Utusan Malaysia 07 April 2002

Palestin dan kesilapan umat Islam

Oleh: AZMAN CHE MAN
KEGANASAN rejim Tel Aviv ke atas rakyat Palestin amat jelas. Namun Amerika Syarikat (AS) yang menjadi polis dunia enggan untuk mengambil sebarang inisiatif tegas yang boleh menamatkan keganasan itu.

Keputusan untuk menghantar Setiausaha Negara Collin Powell ke Asia Barat dibuat oleh Presiden George W. Bush Khamis lalu dan ini merupakan perkembangan terbaru yang mendapat sokongan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dalam misi itu Powell akan mendesak Israel supaya mengundurkan tentera dari bandar-bandar Tebing Barat.

Namun misi Powell akan mengalami kegagalan seperti misi-misi AS yang lain. Ini kerana Israel tidak pernah tunduk kepada AS kerana Perdana Menteri Ariel Sharon percaya AS tidak ada kuasa di Israel.

Sebaliknya beliau mendakwa Israel yang ada kuasa ke atas AS kerana pengaruh lobi Yahudi di negara kuasa besar itu.

Rakyat Palestin tidak lagi percaya kepada sesiapa dan mana-mana negara untuk menyelesaikan masalah mereka. Dengan itu mereka terus- menerus berhadapan dengan Israel dengan melancarkan serangan berani mati.

Negara-negara Arab sudah habis ikhtiar. Mereka pernah menggunakan pendekatan perang dengan Israel, tetapi mereka kalah. Mereka pernah juga menggunakan pendekatan diplomasi dengan negara Yahudi itu, mereka tetap kalah.

Tokoh pembangkang terkemuka Mesir Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi cuba menghuraikan di manakah kesilapan negara-negara Arab berhubung kekalahannya dengan Israel.

Dr. al-Qaradawi dalam wawancara mingguan dengan televisyen al-Jazeera dalam rancangan as-Syariah Wal Hayat berkata apa yang disaksikan oleh bumi Palestin sekarang adalah disebabkan oleh lima kesalahan utama yang dilakukan oleh bangsa Arab dan umat Islam ketika `berurusan' dengan Israel.

* Kesalahan pertama, menurut Dr. Yusuf ialah apabila mereka beranggapan bahawa isu Palestin adalah `khusus' dan perlu ditangani oleh rakyat Palestin sendiri.

* Kesilapan kedua ialah apabila mereka percaya bahawa perdamaian dengan Israel adalah satu-satunya pilihan yang tidak ada galang gantinya serta beranggapan Israel adalah satu `kekuatan' yang tidak boleh ditewas mahupun dikalahkan.

* Kesalahan ketiga pula ialah apabila bangsa Arab berpegang bahawa AS adalah `penjaga' keamanan sedangkan pada hakikatnya, negara tersebut merupakan sekutu paling rapat Israel.

* Kesalahan keempat yang dilakukan oleh umat Islam, khususnya bangsa Arab, dapat dilihat pada siri-siri dan episod `mengalah' yang dilakukan oleh mereka dalam usaha mencari perdamaian dengan Israel.

* Kesilapan kelima pula ialah pandangan dan pendirian umat Islam yang berasa `memadai' perbuatan dan kezaliman bangsa Yahudi ke atas rakyat Palestin dibalas dengan hanya kata-kata dan ucapan.

Dr. Yusuf dalam rancangan itu juga menyeru bangsa Arab dan umat Islam seluruhnya supaya bangkit melakukan jihad dengan kefahaman dan pengertiannya yang sebenar bagi membantu rakyat Palestin.

Beliau juga meminta supaya kedutaan, syarikat dan pejabat-pejabat perniagaan milik Israel yang terdapat di sesetengah negara Arab ditutup dan dihentikan operasi mereka. Beliau turut menyeru kepada usaha menghidupkan kembali kempen memboikot barang-barang dan produk keluaran AS.

Dalam pada itu, Dr. Yusuf juga menjelaskan betapa perlunya bangsa Arab dan umat Islam bangkit kembali sambil menegaskan bahawa dunia Arab dan Islam sudah mulai `bergerak' berhubung isu Palestin.

Katanya, halatuju yang dibawa oleh negara-negara Islam dan Arab ini perlu diperkukuhkan sehingga para pemimpin dan ketua negara merasakan bahawa mereka `terpaksa' mendengar desakan rakyat dan memenuhi permintaan serta tuntutan mereka untuk membebaskan Palestin.

Selain itu, Dr. Yusuf menafikan pendapat mereka yang mengatakan bahawa jalan perdamaian adalah satu-satunya pilihan yang ada dalam berhadapan dengan Israel.

Menurutnya, dalam keadaan sekarang, ia bukan sahaja bertentangan dengan sifat sesuatu pilihan itu sendiri, bahkan ia boleh disifatkan sebagai sesuatu yang fardu (wajib), bukan lagi sebagai satu pilihan.

Dalam pada itu, Dr. Yusuf melahirkan rasa sedih dan terkilan dengan kelemahan media massa Arab memaparkan kesan-kesan daripada tindakan intifada ke atas pihak Israel sambil menyifatkannya sebagai senjata paling kuat.

Jelasnya, permasalahan sekarang bukan senjata semata-mata, malah ia berhubung dengan keimanan yang pernah `melakukan' sesuatu yang mustahil dalam peperangan Oktober 1773 dulu.

Seterusnya, Dr. Yusuf menegaskan bahawa AS dan Israel adalah daripada `acuan' yang sama sambil merujuk kepada kenyataan Presiden AS George W. Bush dan Setiausaha Negara Collin Powel yang menggambarkan seolah-olah Israel sedang mempertahankan dirinya dan rakyat Palestin sebagai penceroboh.

Sementara itu, dalam ucapannya semasa majlis pembukaan Yayasan al-Quds di Beirut, Dr. Yusuf berkata, sekiranya perbuatan mempertahankan negara dan kedaulatan ditakrifkan sebagai keganasan, maka beliau bangga untuk menjadi seorang `pengganas'.

Dr. Yusuf berkata, sekiranya membela kemerdekaan negara dan tempat-tempat suci itu dianggap sebagai keganasan, beliau berdoa kepada Allah subhanahu wa taala supaya menghidupkannya sebagai seorang pengganas, mematikannya sebagai pengganas serta membangkitkannya di padang Mahsyar bersama-sama dengan golongan `pengganas' tersebut.

 

agama | muka depan | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi