AGAMA

Berita Harian 20 April 2001

Perpaduan asas negara Islam maju


KUALA LUMPUR, Khamis – Perpaduan masyarakat Islam seluruh dunia adalah perkara utama dalam membentuk negara Islam maju dan menjadi asas kepada pembangunan negara Islam secara keseluruhan.

Presiden Universiti Islam Antarabangsa Islam Malaysia (UIAM), Tan Sri Sanusi Junid, berkata bagi mencapai matlamat itu, penekanan perlu diberi kepada generasi muda yang bakal memimpin masa depan kerana mereka adalah pewaris yang perlu dibekalkan dengan ilmu secukupnya.

“Pelajar sekarang juga dilatih untuk menjadi pemimpin masa depan dan mendapat pendidikan serta pendedahan yang sepatutnya diterima dalam usaha meningkatkan keupayaan mereka pada masa akan datang.

“Ketika ini berleluasa konflik yang banyak berlaku akibat perselisihan pemikiran termasuk masalah antara pemerintah dan rakyat.

“Justeru, langkah segera perlu diambil bagi mengelak perkara sama berterusan sekali gus mendorong kepada perpaduan,” katanya ketika ditemui pada majlis penutup Persidangan Agung Kedua Kesatuan Universiti Negara Islam (FIUW), di sini hari ini. Persidangan yang berlangsung selama tiga hari itu diadakan bersempena perasmian Kampus UIAM Gombak, kelmarin dan dihadiri kira-kira 100 wakil universiti dari seluruh dunia terdiri daripada naib canselor, rektor dan dekan.

UIAM yang ditubuhkan pada 10 Mei 1983, kini mempunyai 15,949 penuntut, termasuk 15 peratus daripadanya datang dari 96 negara lain.

Sanusi berkata, pelajar masa kini berbeza dengan pelajar masa lalu dan banyak perubahan diperlukan bagi membentuk mereka supaya menerima sistem pembelajaran terkini.

Justeru, beliau berkata, perubahan adalah perlu dalam meningkatkan taraf seseorang Muslim menjadi lebih baik dan meninggalkan perkara yang hanya akan merosakkan identiti Islam mereka.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi