AGAMA

Berita Harian 19 April 2001

Majlis Fatwa perlu waspada muslihat Hadi: Rais


KOTA BHARU, Khamis – Majlis Fatwa Kebangsaan tidak perlu bermuzakarah dengan Timbalan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang mengenai ‘Amanat Haji Hadi’ yang dikeluarkan pemimpin Pas itu, di Banggol Peradong, Terengganu, kira-kira 20 tahun lalu, sehingga memecahbelahkan umat Islam, di negara ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Rais Yatim, berkata amanat itu jelas menyimpang daripada ajaran Islam dan Majlis Fatwa perlu berhati-hati dengan kesediaan Abdul Hadi bermuzakarah mengenainya.

Katanya, Umno juga perlu melihat kesediaan beliau bermuzakarah dengan Majlis Fatwa secara penuh waspada agar tidak terperangkap dengan taktik Abdul Hadi.

“Apakah sukar dan sulit bagi Abdul Hadi menarik balik amanat itu sedangkan beliau melihat bagaimana umat Islam di Terengganu berpecah akibatnya (Amanat Haji Hadi).

“Tidak cukupkah solat dua imam di Besut dan banyak lagi kejadian yang amat memalukan Islam, berlaku di sana sini kerana berpegang kepada amanat itu,” katanya dalam akhbar Wawasan Merdeka, suara rasmi Umno edisi terbaru.

Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1986 pernah mengeluarkan keputusan bahawa Amanat Haji Hadi bercanggah dengan ajaran Islam dan difahamkan Majlis Fatwa juga sedia bermuzakarah dengan Abdul Hadi mengenai amanatnya itu.

Rais juga menyifatkan Abdul Hadi sengaja mencabar kewibawaan undang-undang berikutan keengganannya mengakui Amanat Haji Hadi penyebab perpecahan umat Islam.

Katanya, Abdul Hadi boleh didakwa mengikut seksyen 298A Kanun Keseksaan bersama Akta Hasutan 1948.

Beliau berkata, peruntukan mengikut seksyen itu boleh digunakan kerajaan untuk memerangi perbuatan pelampau agama.

“Terpulanglah kepada pendakwa untuk menentukan sama ada Menteri Besar Terengganu itu perlu didakwa atau sebaliknya.

“Bagaimanapun, selepas meneliti (Amanat Haji Hadi) saya rasa apa yang dinyatakan beliau itu (Abdul Hadi) adalah sesuatu yang serius kerana ia membabitkan perpecahan umat Islam dan masyarakat,” katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi