AGAMA

Berita Harian 20 April 2001

Melayu wajar pikul tugas sambung tamadun Islam


TAMADUN Melayu Islam berupaya menjadi sebuah tamadun bertaraf dunia pada zaman kegemilangannya di Melaka (kurun ke-15) dan di Acheh, Indonesia (kurun ke-16 hingga 17).

Prinsip yang menunjanginya tidak lain daripada mutu manusianya; keteguhan hati budinya yang disepuh dengan Islam; iman dan ihsan; keberkesanan organisasinya; keteguhan ilmunya; kewibawaan norma dan perundangannya; ketinggian nilai dan ethosnya; kesungguhan serta keteguhan masyarakatnya serta kekuatan iltizam, kewibawaan dan wawasan pemimpin.

Mutu manusia demikian tidak syak lagi adalah hasil pancutan daripada percontohan, pendidikan dan pemupukan oleh Rasulullah sebagai uswatun hasanah (role model) yang melahirkan angkatan manusia terbaik (khairu ummah) dan menjadi peribadi misali kepada seluruh umat manusia sepanjang zaman hingga ke hari kiamat.

Mutu manusia demikianlah yang melahirkan tamadun Islam sebagai tamadun dunia pada zaman kegemilangannya dan yang dibawa bersamanya apabila Islam bertapak di dalam hati sanubari orang Melayu di wilayah alam Melayu ini.

Dan itulah matlamat bagi tamadun Islam iaitu pembentukan mutu manusia supaya terjelma insan Muslim, Mukmin dan Muhsin.

Namun, tamadun Melayu Islam dan tamadun Islam amnya merosot, berpecah-belah, dijajah dan ditindas. Kita, walaupun merdeka, masih ketinggalan, mundur, bergolak dan bersengketa sama ada secara dalaman atau luaran.

Di negara Islamlah jugalah kita dapati paling ramai diktator, di samping semuanya kini tergolong dalam dunia kelas ketiga.

Dengan berdasarkan teori naik-turun tamadun Islam, Prof Akbar Ahmad (1988) bekas profesor di Universiti Cambridge, Britain, iaitu kemuncak tamadun Islam adalah pada zaman awalnya kemudian turun, mendatar dan seterusnya naik sedikit tetapi turun kembali dan naik pula bergantung kepada mutu hati budi, akhlak dan etika manusianya.

Rencana ini cuba menggariskan beberapa detik genting dalam sejarah tamadun Islam. Juga dihuraikan konsep tamadun dan tipologi tamadun manusia berasaskan pandangan semestanya.

Seterusnya, dibincangkan detik-detik genting sejarah kebangkitan dan kemerosotan tamadun Melayu Islam dan gejala sosiobudaya Melayu yang buruk kini yang mencerminkan isi hati kalbu orang Melayu.

Seterusnya dikemukakan strategi menyusun semula tamadun Melayu iaitu khususnya pembaikan hati kalbu dan akal budinya sebagai tempat letaknya Islam, iman dan ihsan.

Namun, walaupun matlamat terakhir daripada tamadun Islam untuk melahirkan Muslim, Mukmin dan Muhsin, namun sebagai latar untuk melahirkan dan memupuk peribadi demikian, maka sebuah keluarga, masyarakat dan pemerintahan yang ditunjangi Islam diperlukan kerana Islam ialah agama berjamaah dan berorganisasi.

Antara elemen utama yang akan menjadi penggerak bagi pembinaan tamadun Islam demikian ialah pemerintahan yang ditunjangi oleh nilai dan prinsip Islam.

Oleh itu, digariskan juga prinsip asas pemerintahan Islam seperti yang dikemukakan oleh Prof Khurshid Ahmad dan Prof Ismail Al-Faruqi al-Syahid.

Dalam sejarah peradaban Melayu apabila dua golongan utama iaitu umara (pemerintah) dan ulama bekerjasama dengan erat dan saling memperkukuhkan seperti pada zaman Samudera-Pasai, Melaka, Acheh, Demak, Bantan, Mataram, dan Johor-Riau, maka peradaban Melayu-Islam memuncak ke taraf tamadun dunia, dan pusat kuasa itu juga menjadi pusat penyebaran agama Islam di seluruh alam Melayu.

Namun yang akan mengisi dan menggerakkan semua prasarana, peralatan, sistem dan organisasi itu ialah manusianya iaitu Muslim, Mukmin dan Muhsin.

Tanpa manusia demikian, segala prasarana, peralatan, sistem dan organisasi itu sia-sia belaka.

Strategi utama untuk mengisi hati kalbu dan akal budi manusia dengan Islam, iman dan ihsan ialah dengan berdasarkan kaedah yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah saw ke atas sahabatnya seperti yang digariskan oleh al-Quran dan hadis.

Strategi pertama ialah pelaksanaan amalan dan misi dakwah iaitu mengajak manusia kepada Islam, iman dan ihsan, sambil diri sendiri mempelajari dan mengamalkannya sepenuhnya.

Ada kira-kira 60 ayat al-Quran dan sejumlah hadis yang menyeru orang Islam supaya melaksanakan amalan dan misi dakwah kepada umat manusia.

Sekuat dan sebanyak mana seseorang itu melaksanakannya, maka sekuat dan sebanyak itulah hati kalbu dan akal budinya akan meresapi Islam, iman dan ihsan.

Namun, hati kalbu yang dibelenggu oleh kebesaran harta benda, pangkat, kuasa, kemewahan dan ego amat susah dimasuki Islam, iman dan ihsan.

Oleh itu, perlu dilepaskan dulu belenggunya melalui strategi yang kedua iaitu amalan mujahadah atau pembersihan hati melalui penggunaan dan pengorbanan perkara yang membelenggui hati itu dalam pelaksanaan misi dakwah, seperti juga digariskan dalam al-Quran.

Strategi ketiga ialah amalan penghadapan dan penghargaan sepenuhnya kepada Allah swt melalui amalan doa, tawakal dan tawajjuh kepada Allah, supaya dengan itu akan lahir keikhlasan dan ketulusan bahawa hidup ini hanya semata-mata untuk mendapat keredaan Allah.

Dalam sejarah kebangkitan tamadun Melayu Islam ada lima gelombang pergerakan dakwah ke alam Melayu.

Gelombang pertama ialah kedatangan misi pendakwah Islam dari Timur Tengah pada kurun ketujuh hingga 11 Masihi.

Gelombang kedua kedatangan misi pendakwah bermazhab Syafi’l kurun ke-12 hingga 16 Masihi.

Gelombang ketiga kegiatan dakwah kebanyakannya dilaksanakan oleh pendakwah kelahiran di alam Melayu sendiri dengan bantuan pendakwah dari Timur Tengah dan India.

Gelombang keempat ditandai oleh kebangkitan gerakan salafiah pada kurun ke-18 hingga pertengahan kurun ke-20 Masihi.

Gelombang kelima ditandai oleh reformis dan aktivis kontemporari berpendidikan dan berkedudukan dalam masyarakat melalui pelbagai program perjumpaan, seminar, ceramah, majlis ilmu dan juga proses Islamisasi dalam pentadbiran, perbankan, perundangan dan sebagainya, pada separuh akhir kurun ke-20 Masihi hingga sekarang.

Umat Melayu Islam adalah golongan Islam terbesar di dunia Timur iaitu hampir sesuku bilion. Dalam sejarah tamadun Islam, pusatnya berubah-ubah, daripada tanah Arab ke Turki, Afrika Utara, Andalusia dan Asia Tengah.

Kini ada tanda-tanda yang menunjukkan bahawa pusatnya mula bergerak ke Timur.

Apakah kita umat Melayu Islam sebagai golongan Islam terbesar di dunia Timur sedia memikul tanggungjawab dan amanah untuk menjadi penyambung dan penyumbang kepada pembentukan semula sebuah tamadun Islam bertaraf dunia pada alaf ketiga ini?

Ada tiga kekuatan Melayu asasi yang boleh membantunya untuk memenuhi amanah ini, iaitu kedinamikan budaya Melayu yang selama beribu-ribu tahun telah menyerap unsur positif daripada tamadun besar dunia. Kedua, hakikat Melayu sebagai entiti budaya yang secara terbuka menerima masuk sebarang kumpulan etnik dan ras, asalkan mereka tercerna dan terjelma dalam tiga ciri Melayu iaitu berbahasa dan berbudaya Melayu dan beragama Islam. Ketiga, kekuatan agama Islam anutannya yang diredai dan dijamin kejayaannya oleh Allah swt.

Oleh itu, menjadi misi dan visi manusia dan masyarakat Melayu kini untuk menyusun semula ciri, prinsip, sistem dan struktur, strategi dan operasi yang berupaya memperkasakan tamadun Melayu Islam ke taraf dunia pada abad dan alaf yang mendatang ini.



Profesor Hashim
adalah pensyarah Akademi Pengajian Melayu,
Universiti Malaya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi