AGAMA

Berita Harian 22 April 2001

Wajar haram majalah: Pak Lah


BENTONG: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan tindakan Bahagian Penerbitan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyekat pengedaran majalah Time keluaran 16 April lalu, memang wajar.

Beliau berkata, kerajaan tidak akan membenarkan pengedaran sebarang penerbitan yang boleh mengganggu dan menyentuh sensitiviti umat Islam negara ini.

“Tindakan ini adalah patut dan sewajarnya diambil kerana kita tidak boleh membenarkan penerbitan atau buku yang menggambarkan Rasulullah dalam bentuk karikatur,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Bentong di sini, petang semalam.

Beliau mengulas mengenai tindakan Bahagian Penerbitan KDN menyekat pengedaran majalah Time yang mengandungi rencana serta gambar Nabi Muhammad serta malaikat Jibril.

Abdullah yang juga Menteri Dalam Negeri berharap, tindakan seumpama itu dapat memberi mesej kepada penerbit majalah dan buku yang lain supaya tidak melakukan perkara yang sama.

“Mesejnya ialah jangan buat seperti itu dan jika buat juga, KDN tidak akan benarkan majalah atau buku berkenaan diedarkan sebab kita tidak boleh membenarkan perkara seperti ini,” katanya.

Ditanya mengapa majalah itu boleh terlepas daripada penelitian KDN, Abdullah berkata: Selalunya, bahagian itu akan melihat serta meneliti kandungan penerbitan (sebelum dibenarkan diedarkan), dan saya tidak tahu macam mana ia boleh terlepas.

“Bagaimanapun, yang penting ialah perkara itu sudah diketahui dan kita bertindak menarik balik pengedarannya,” katanya.

Abdullah berkata, kerajaan tidak boleh menyekat kandungan yang dimuatkan dalam akhbar yang diterbitkan di luar negara kerana mereka boleh menggunakan kebebasan untuk berbuat demikian.

Ditanya kemungkinan majalah yang sama diedarkan di negara jiran atau negara lain, kemudian dibawa masuk ke dalam negara, beliau berkata kerajaan tidak boleh menguatkuasakan undang-undang di negara lain.

“Undang-undang kita adalah untuk dilaksanakan di dalam negara,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Abdullah yang juga Timbalan Presiden Umno menekankan betapa pentingnya Umno mempunyai barisan kepimpinan yang berwibawa.

“Ini penting kerana kita (Umno) hari ini berperanan penting sebagai pemimpin dalam Barisan Nasional (BN) dan pemimpin kita menjadi pemimpin BN serta mempunyai tanggungjawab yang besar.

“Sehubungan itu, adalah menjadi tanggungjawab kita memastikan ahli memilih pemimpin yang bertanggungjawab.

“Jika tidak, bukan saja ahli Umno yang menyampah atau marah tetapi juga parti komponen BN juga berasa kecewa dan tidak mungkin dapat menghormati pemimpin kita,” katanya.

Tegasnya, memilih pemimpin yang salah akan mengakibatkan kesan yang buruk kepada masa depan bangsa dan negara.

Abdullah berkata Umno mahukan seorang pemimpin parti yang bukan memegang jawatan untuk kepentingan diri sendiri, sebaliknya mereka yang benar-benar ingin berkhidmat kepada parti serta mampu memberi sumbangan kepada parti.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob yang juga Ketua Bahagian Bentong dan Tan Sri Mohd Khalil Yaakob.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi