AGAMA

Berita Harian 22 April 2001

Kelantan, Terengganu diarah warta fatwa


MARANG: Majlis Fatwa Kebangsaan mengarahkan semua pihak berkuasa agama negeri, termasuk Kelantan dan Terengganu mewartakan keputusan yang dibuat pada 3 Disember 1984 bahawa Amanat Haji Hadi bercanggah dengan Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Brig Jen (B) Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin, berkata adalah tidak munasabah jika Pas mendakwa tidak mengetahui keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan itu.

Beliau berkata, selepas keputusan itu, Majlis Fatwa Kebangsaan dengan persetujuan Majlis Raja-Raja, dua bulan lalu, sekali lagi meminta semua kerajaan negeri, termasuk negeri yang diperintah Pas, mewartakan bahawa mengkafirkan orang Umno yang beragama Islam adalah bercanggah dengan Islam.

Bagaimanapun, beliau kesal kerana masih ada negeri tidak menghiraukan arahan itu dan sengaja membiarkan keadaan itu berterusan demi kepentingan politik mereka.

“Walaupun Pas menafikan perkara itu, Amanat Haji Hadi yang dikeluarkan dalam ceramah di Kampung Banggul Peradong pada April 1981, masih menjadi pegangan sebilangan pengikut Pas,” katanya selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno bahagian Marang, di Wakaf Tapai di sini, semalam.

Mengenai cadangan membincangkan semula Amanat Haji Hadi, Abdul Hamid berkata, Kerajaan Pusat tidak perlu membincangkan lagi perkara itu kerana keputusan sudah dibuat sebelum ini.

Pas, katanya, perlu akur sebagaimana mereka menerima keputusan yang dibuat Majlis Raja-Raja berhubung penggunaan perkataan Islam dan pertubuhan, termasuk parti politik.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi