AGAMA

Berita Harian 24 April 2001

Dewan Rakyat: Amanat Haji Hadi - Banyak negeri tidak laksana arahan Majlis Fatwa


KUALA LUMPUR, Isnin – Kebanyakan negeri masih tidak melaksanakan arahan Majlis Fatwa Kebangsaan supaya pihak agama negeri mewartakan keputusan yang dibuat pada Disember 1984 bahawa Amanat Haji Hadi bercanggah dengan Islam.

Ketika kebanyakan kerajaan negeri menyerahkan kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri masing-masing untuk bertindak, hanya kerajaan Melaka dan Majlis Agama Pulau Pinang memberi iltizam untuk mematuhi arahan itu.

Di MELAKA, Ketua Menteri, Datuk Wira Mohd Ali Rustam, berkata kerajaan negeri akan melaksanakan arahan Majlis Fatwa Kebangsaan itu secepat mungkin dan untuk tujuan itu beliau akan mengadakan perbincangan dengan Mufti Melaka, Datuk Rashid Redza Md Salleh.

Katanya, kerajaan negeri memandang serius kesan Amanat Haji Hadi kerana disebabkan amanat itu perpecahan yang besar berlaku di kalangan orang Melayu.

Beliau berkata, kejadian solat dua imam, tidak memakan hasil sembelihan orang Umno serta tindakan mengkafirkan orang Umno oleh penyokong Pas, masih berlaku hingga sekarang.

“Bagi menangani masalah ini, kerajaan negeri akan mewartakan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan secepat mungkin dan mereka yang mengingkari keputusan itu akan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya selepas merasmikan perkhemahan kadet polis kontinjen Melaka di Bukit Katil, Melaka hari ini.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin, mengarahkan semua pihak berkuasa agama negeri termasuk di Kelantan dan Terengganu, mewartakan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan itu yang dibuat pada Disember 1984.

Katanya, Majlis Fatwa Kebangsaan dengan persetujuan Majlis Raja-Raja, dua bulan lalu, sudah meminta semua kerajaan negeri, mewartakan bahawa mengkafirkan orang Umno yang beragama Islam, bercanggah dengan Islam.

Bagaimanapun, beliau kesal kerana masih ada negeri tidak menghiraukan arahan berkenaan dan sengaja membiarkan keadaan itu berterusan demi kepentingan politik mereka.

Semalam, Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Paduka Dr Abdul Hamid Othman, pula menyatakan kerajaan akan menubuhkan panel khas untuk memanggil beberapa individu secara suka rela menjadi saksi berhubung kesan ‘Amanat Haji Hadi’.

Di PULAU PINANG, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp), Datuk Dr Hilmi Yahaya, berkata majlis itu akan membincang dan menetapkan tindakan berhubung pengharaman Amanat Haji Hadi pada mesyuaratnya bulan depan.

Beliau berkata, Maipp akan mengambil langkah selanjutnya bagi memastikan akidah umat Islam tidak terpesong.

Tambahan pula, katanya, Majlis Raja-Raja sudah memutuskan bahawa amanat itu menyalahi garis panduan yang ditetapkan Majlis Fatwa Kebangsaan.

“Besar kemungkinan mesyuarat itu akan memutuskan berhubung sesi penjelasan yang akan diberikan kepada semua kariah masjid supaya mereka tidak mudah terpengaruh dengan amanat itu.

“Sesi penjelasan itu juga akan memberikan maklumat sejelasnya kepada semua pihak termasuk pegawai masjid serta ahli Jawatankuasa Kemajuan dan keselamatan Kampung (JKKK) beragama Islam,” katanya.

Di ALOR STAR, Mufti Kedah, Datuk Sheikh Abdul Majid Mohd Noor, berkata Jawatankuasa Fatwa Negeri belum mewartakan fatwa itu kerana ia tidak terikat untuk mewartakan sebarang keputusan yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Sebaliknya, pihak berkuasa agama negeri menggunakan pendekatan ceramah, khutbah Jumaat dan rancangan agama menerusi radio untuk memberi penerangan mengenai isu itu kepada umat Islam.

Rabu lalu, sekumpulan masyarakat Islam di Baling menyatakan hasrat untuk tampil memberi bukti bahawa amanat yang dikeluarkan 20 tahun lalu itu boleh memesongkan akidah.

Mengulas kesediaan penduduk terbabit, Sheikh Abdul Majid berkata, mereka bebas berbuat demikian.

Di KOTA BHARU, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata pihaknya menyerahkan kepada Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan (Maik) sama ada untuk mewartakan atau tidak fatwa berhubung Amanat Haji Haji.

Beliau berkata, apa pun tindakan yang akan diambil, ia tidak membawa makna yang besar kerana masyarakat sudah memahami politik tidak menghiraukan isu amanat itu.

“Sekarang ini orang tak bercakap mengenainya...orang Pas sendiri...saya sendiripun tak bercakap... orang semua sudah tahu Amanat Haji Hadi dibuat zaman dulu, zaman orang baru kenal `alif, ba, ta politik.

“Sekarang ini `alif ba ta’ sudah habis dan orang boleh membacanya sendiri,” katanya.

Ditanya mengenai cadangan penubuhan panel khas bagi memanggil beberapa saksi berhubung Amanat Haji Hadi, beliau berkata: “Kenapa tidak menubuhkan satu tribunal untuk menyiasat mengenai orang yang pernah mengatakan Islam tidak boleh pakai, Islam menimbulkan huru-hara dan Islam hanya layak di zaman unta?”

Nik Abdul Aziz turut mengakui mengenai pekeliling Maik seperti disiarkan pada 19 April lalu yang antara lain menyebut amalan orang tertentu yang memulaukan kenduri orang Umno dan mayat orang Umno bercanggah dengan Islam.

“Saya akui pekeliling itu betul dan sesuatu pekeliling atau fatwa tidak akan keluar begitu sahaja dengan tidak ada sebab munasabah,” katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi