AGAMA

Berita Harian 24 April 2001

Permohonan gugur nama Islam ditolak

Oleh Khairunnisa Hussin

KUALA LUMPUR, Isnin – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan seorang wanita untuk menggugurkan perkataan Islam dalam kad pengena-lannya dengan alasan sebagai seorang Melayu, dia tidak boleh meninggalkan agama Islam.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Faiza Tamby Chik, berkata mengikut artikel 160 Perlembagaan Persekutuan, Lina Joy (plaintif) atau nama asalnya Azlina Jailani adalah Melayu dan selagi dia didefinisikan sebagai Melayu, dia tidak boleh meninggalkan agama Islam sama sekali.

“Sebagai seorang Melayu, plaintif kekal dalam ajaran Islam sehingga beliau meninggal dunia. Dan untuk tujuan penjelasan, saya masih belum membuat keputusan mengenai pilihan plaintif untuk meninggalkan agama Islam kerana ini sepatutnya diputuskan oleh Mahkamah Syariah,” katanya.

Beliau berkata, mengikut klausa 1 A, Artikel 121 Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah Sivil tidak ada bidang kuasa untuk menentukan perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

“Mahkamah Sivil adalah untuk permohonan am, bidang kuasanya menyeluruh dan boleh digunakan untuk mereka yang beragama Islam dan bukan Islam, manakala Mahkamah Syariah adalah untuk Enakmen Negeri bagi penganut Islam di negeri itu,” katanya.

Faiza membuat keputusan itu dalam mahkamah terbuka yang mendengar kes saman Lina terhadap Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (defendan pertama) dan Kerajaan Malaysia (defendan kedua) yang didakwa enggan membuat deklarasi mengenai haknya untuk mengamalkan agama pilihannya.

Dalam afidavitnya, Lina menuntut deklarasi bahawa keputusannya untuk mengaku dan mengamalkan agama pilihannya adalah pilihannya sendiri dan bukan oleh pihak lain.

Lina, 37, juga menuntut peruntukan dalam mana-mana undang-undang Persekutuan atau enakmen negeri atau mana-mana peraturan adalah tidak sah dan tidak boleh dipakai kepada plaintif kerana dia mengaku mengamalkan agama Kristian.

Wanita itu, yang mengaku menganut Kristian pada 1998 turut memohon deklarasi supaya defendan pertama dan kedua tidak boleh mengenakan atau menentukan apa-apa syarat sebelum plaintif dapat atau dianggap terkeluar daripada agama Islam.

Plaintif juga memohon defendan memasukkan atau mencatatkan dalam rekod atau buku pendaftaran bahawa dia sudah meninggalkan agama Islam.

Katanya, walaupun dilahir dan dibesarkan dalam keluarga Islam sejak awal lagi, beliau tidak benar-benar mempercayai Islam.

“Sejak tahun 1990 saya sudah mengenali dan memahami agama Kristian. Kini saya mempunyai kepercayaan sepenuhnya terhadap agama Kristian dan sudah memeluk agama itu,” katanya.

Lina berkata, permohonannya menukar nama di Jabatan Pendaftaran Negara hanya diluluskan dengan alasan permohonan itu tidak menyebut alasan penukaran agama.

“Saya memohon sekali lagi untuk memperbetulkan butir dan agama Islam dalam kad pengenalan baru saya tetapi ditolak dengan alasan permohonan saya tidak lengkap dan saya perlu mendapatkan perintah Mahkamah Syariah,” katanya.

Plaintif berkata, selagi ada perkataan Islam dalam kad pengenalan atau sijil beranaknya, dia masih dianggap Islam dan tidak dapat melangsungkan perkahwinan mengikut Pembaharuan Undang-Undang (Akta Perkahwinan dan Penceraian 1976).

“Saya menderita kerana tidak dapat mendirikan rumah tangga dan mempunyai keluarga selama ini,” katanya.

Lina juga berkata, dia kini bimbang keselamatan diri dan kebebasan kerana ada laporan akhbar yang menyatakan beberapa golongan dalam masyarakat Islam berpendapat orang murtad patut dan boleh dihukum mati.

“Laporan akhbar menyebut ada badan berkuasa bercadang menubuhkan atau memulakan pusat pemulihan khas dan diberi kuasa untuk menahan individu yang menyimpang daripada ajaran Islam untuk dipulihkan,” katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi