AGAMA

Berita Harian 24 April 2001

Permohonan maaf majalah Time diterima


KOTA BHARU, Selasa – Kerajaan menerima permohonan maaf majalah Time kepada umat Islam berikutan tindakan majalah itu menerbitkan artikel dan karikatur menghina agama Islam menerusi keluaran 16 April.

“Dia minta maaf, kita terimalah. Cuma kita ingatkan supaya perkara seperti itu jangan berlaku lagi,” kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Semalam, Pengarang Time Asia, Adi Ignatius, berkata pihaknya tidak berniat menyinggung perasaan umat Islam dengan menyiarkan rencana tulisan David Van Biema bertajuk Jerusalem At The Time of Jesus.

Rencana itu antara lain turut memuatkan karikatur yang menggambarkan ‘Nabi Muhammad sedang menemui malaikat untuk menerima wahyu’.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut mengarahkan pengedaran majalah Time edisi terbaru itu ditarik balik dari pasaran, berkuatkuasa serta-merta.

Abdullah juga berkata, tindakan disiplin wajar diambil terhadap seorang anggota polis berpangkat koperal yang dipercayai mabuk ketika tertembak kaki seorang suri rumah di Johor Bahru kelmarin.

Beliau berkata, tindakan anggota polis itu membawa senjata ketika mabuk adalah kesalahan besar dan tidak sepatutnya berlaku.

“Kes itu sedang disiasat dan kejadian itu memang tak sepatutnya berlaku kerana dia mabuk dan bawa senjata... orang yang bawa senjata ni tak boleh mabuk sebab kita tak tahu bila dia nak guna senjata itu.

“Tindakan mesti diambil terhadap anggota polis itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penutup Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2001 di Dewan Perbandaran Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB), di sini petang ini.

Hadir sama Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid; Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Hamad Kama Piah Che Othman dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

Dalam kejadian Ahad lalu, anggota polis yang bertugas di Balai Polis Sentral Johor Bahru dan berusia dalam lingkungan 40 tahun itu, dikatakan menembak K Gowery, 32, yang juga isteri seorang anggota polis pada kira-kira jam 12 tengah hari.

Bagaimanapun, Abdullah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, laporan siasatan tidak perlu dihantar kepadanya kerana kes itu masalah disiplin anggota polis.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi