Make your own free website on Tripod.com

AGAMA

Utusan Malaysia 13 April 2001

Penggunaan Ilmu Kalam menghadapi kemodenan

Oleh: MOHD. ZAIDI ABDULLAH
SekularISme terzahir apabila golongan gereja tidak bersetuju dengan pengaruh fahaman falsafah sains pada masa itu.

Justeru, ramai tokoh dipenjara. Dengan berlakunya keadaan ini, maka pemisahan antara agama dengan sains mula terjadi dan kini sekularisme menghantui umat Islam.

Dalam hal ini, mampukah ilmu Kalam menangani kepesatan sains yang semakin hilang punca ? Jawabnya, mampu. Ilmu kalam Sunni sebenarnya mengambil jalan tengah antara pemaknaan wahyu dengan bantuan hujahan akal.

Inilah prinsip yang dapat diambil daripada pengalaman Ilmu Kalam Sunni. Sebagai penjituan, kitab seperti Asas al-Taqdis karya al-Imam Fakhrurrazi dan Iidhah ul-Dalil oleh Ibnu Jamaah boleh dijadikan contoh prinsip yang saya ketengahkan.

Manakala penjelajahan wahyu terhadap alam semesta dapat ditinjau daripada pengalaman hujahan gabungan akal dengan syariah atau yang lebih dikenali dengan pendekatan falsafah Isyraqi.

Sebenarnya kepesatan sains mencabar minda umat Islam dari segi penganalisisan maklumat serta pengkreatifan daripadanya. Memandangkan dunia mengalami globalisasi maka untuk menyekat pengaruhnya sama sekali semakin sukar.

Oleh itu, tiada jalan lain cuma pakar-pakar Muslim wajar menggemblengkan tenaga untuk memberitahu kepalsuan sebahagian konsep sains.

Dalam era kemajuan teknologi maklumat, pascamodenisme sedang mengisi ruang minda sebahagian penduduk bumi dengan pelbagai pendekatan skeptisisme.

Racunnya boleh merentap segala konsep, prinsip serta kaedah yang diakui oleh umat Islam berabad-abad lamanya. Akhirnya, umat Islam kehilangan tempat pergantungan pegangan. Sebagai contoh, kalau kita dihanyutkan air maka sudah tentu sesiapa yang mengalami situasi demikian akan mencari tempat bergantung sama ada dahan kayu atau tali yang dicampakkan oleh penyelamat atau juga berharap sesiapa yang menolongnya.

Begitu juga, andainya pascamodenisme tidak diterangkan kepalsuannya maka sudah tentu umat Islam akan sentiasa tiada tempat untuk umat Islam berpaut.

Al-Quran sudah tentu menyatakan bahawa ia adalah Kalamullah yang menjadi petunjuk, rahmat dan mengandungi semua perkara. Memang al-Quran tidak akan diubah sama sekali kerana Allah akan memelihara.

Namun rakaman kebahasaan sudah semakin dikelirukan. Syaikh Muhammad al-Ghazali sendiri mengakui bahasa Arab kini sedangkan mengalami proses serangan budaya luar. Sebagai contoh, perkataan akhlak dulunya merangkumi seluruh kegiatan manusia termasuk persoalan iman, Islam dan ihsan seperti tajuk kitab Makarim al-Akhlaq karya al-Khara'iti yang mana zamannya masih hampir dengan zaman Rasulullah s.a.w. tetapi kini ia telah disempitkan hanya meliputi adab-adab dan etika dan moral sahaja.

Begitu juga, perkataan iktisad dahulunya dimaksudkan dengan kesederhanaan kini bermakna ekonomi. Al-Quran sering menggunakan nilai estetika seperti kiasan, tamsil ibarat dan sebagainya sudah tidak dipraktikkan dalam teks-teks tesis cuma digunakan sebagai penyeri sahaja.

Tetapi al-Quran menggunakannya untuk diambil perhatian.

(Kesusasteraan Bangsa-Bangsa Islam: Sebuah Bunga Rampai oleh Dr. M. Bukhari Lubis, terbitan Karisma Publications Sdn. Bhd.)

Sebagai contoh, kalimah yang baik ibarat pokok yang kukuh akarnya. Ulama salaf dan khalaf menyatakan kalimah yang baik ialah tauhid.

Maka ulama balaghah pula menggunakan akal yang waras untuk mengambil dari sudut mana ayat berkenaan mengajar dan mendidik kita. Maka diambil dari sudut asas yang kukuh kerana akar penting untuk merealitikan agar pokok tetap teguh sekalipun ditiup angin yang kencang. Dalam balaghah, ini dinamakan aspek wajh syabah.

Secara tidak langsung ayat ini menerangkan dari sudut akidah dan dari sudut sains malah estetika.

Masyarakat kini lebih cenderung untuk menggunakan gaya bahasa yang bermakna langsung. Sepanjang penelitian saya, didapati kecenderungan untuk bersains telah menyebabkan penggunaan bahasa pun menyajikan bentuk makna langsung dan semakin kurang menyemangati rentak atau lenggok al-Quran.

Akibatnya, umat Islam semakin kurang mengetahui rentak al-Quran dalam menangani persoalan semasa sama ada yang melibatkan soal abstrak atau tidak.

Sekalipun ramai yang mengagumi Dr. Maurice Bucaille tentang penyelidikan antara al-Quran dan sains tetapi beliau tidak mampu mengambil maklumat secara teguh daripada kesusasteraan al-Quran, cuma diperhatikan ayat yang memberi makna langsung.

* MOHD. ZAIDI ABDULLAH ialah Penyelidik di Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas, Kelantan. (mzaid_saf@hotmail.com)

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi