AGAMA

Utusan Malaysia 13 April 2001

Muzakarah penghakiman terunik Haji Hadi

Oleh: ASTORA JABAT
Muzakarah Amanat Haji Hadi nampaknya akan menjadi seperti perjumpaan antara UMNO dan Pas untuk membincang tentang perpaduan Melayu iaitu hanya menjadi gimik politik para pemimpin Pas saja.

Muzakarah Amanat Haji Hadi sebenarnya tidak perlu diadakan kerana Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan pada tahun 1986.

Selain itu perjumpaan UMNO dan Pas jika dapat diadakan boleh membincangkan isu itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pernah berkata bahawa Amanat Haji Hadi pun boleh dibincang dalam perjumpaan antara UMNO dan Pas itu.

Tetapi Pas tidak jujur dalam usaha untuk menjayakan perjumpaan tersebut kerana ia meletakkan halangan demi halangan untuk menggagalkannya.

Pemimpin-pemimpin kanan Pas tidak berani menolak perjumpaan berkenaan secara terang-terang, tetapi sebaliknya pemimpin muda parti itu.

Bagaimanapun, dengan meletakkan berbagai syarat untuk diadakan perjumpaan adalah jelas para pemimpin kanan Pas sebenarnya menolak perjumpaan.

Muzakarah Amanat Haji Hadi akan menghadapi perkara yang sama.

Pas sentiasa mendakwa bahawa tiada pihak mahu bermuzakarah dengan Timbalan Presidennya Abdul Hadi Awang berhubung amanatnya itu terpaksa berdalih apabila ia mempertikaikan kewibawaan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Datuk Dr. Ismail Ibrahim.

Naib Presiden Pas Hassan Shukri, menurut akhbar Star semalam mendakwa Dr. Ismail tidak layak untuk berbincang dengan Abdul Hadi mengenai amanatnya itu.

Ini kerana Abdul Hadi lulusan sarjana undang-undang Islam (Islamic Law), tetapi Dr. Ismail lulusan pengajian Islam, kata Hassan.

Sebaliknya Hassan mendakwa ulama UMNO yang paling layak untuk bermuzakarah dengan Abdul Hadi ialah Penasihat Agama Perdana Menteri Datuk Paduka Abdul Hamid Othman dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin.

Masalahnya dua tokoh agama UMNO yang Hassan menganggap merupakan orang yang layak untuk bermuzakarah dengan Abdul Hadi ditolak siang-siang oleh Presiden Pas Datuk Fadzil Noor kerana menganggap mereka ahli politik.

Fadzil berkata biarlah dia (Datuk Paduka Abdul Hamid) menjadi pemerhati saja.

Fadzil menolak ulama-ulama UMNO kerana mereka merupakan ahli politik, tetapi tidakkah Abdul Hadi itu juga ahli politik?

Lebih daripada itu Hassan juga mendakwa Ismail juga tidak layak pun dilantik menjadi pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan kerana sebab yang sama.

Malah beliau juga mendakwa isu berkenaan akan dibawa untuk dibincang dalam muktamar Pas yang akan diadakan pada Mei ini.

Itulah perangai sebenarnya orang Pas. Apabila tersepit kerana ada orang menyahut cabaran, mereka mencari jalan membuat dalih dengan pelbagai cara. Melekeh dan menghinakan orang-orang yang menyahut cabaran mereka seolah-olah mereka sajalah yang mempunyai kelayakan dalam bidang agama.

Sesungguhnya untuk bermuzakarah dengan Abdul Hadi tidak perlukan melibatkan ulama-ulama besar, tetapi setakat ustaz-ustaz yang mendapat pendidikan daripada mana-mana fakulti Islam dalam negeri pun memadai. Ini kerana kesilapan pemikiran beliau amat jelas.

Abdul Hadi pun bukan hebat sangat dalam ilmu agama, tetapi beliau hanya hebat dalam menghentam orang dengan pelbagai hukum agama yang tidak betul.

Kebanyakan hukuman agama yang beliau lontar kepada orang pun terkena pada batang hidung beliau sendiri.

Sebagai contoh hukum haram bekerjasama dengan orang bukan Islam yang dinyatakan oleh beliau dalam ceramah tahun 1982, kini terkena ke atas diri sendiri kerana Pas juga kini mengadakan kerjasama dengan DAP.

Yang pelik Abdul Hadi marah kepada Dr. Mahathir kerana mengkritik Pas bekerjasama dengan DAP.

Abdul Hadi menuntut IKIM tolong mengajar agama semula kepada Dr. Mahathir kerana negarawan agung itu dianggap jahil dan tidak mengetahui bahawa Rasulullah pernah bekerjasama dengan Yahudi.

Yang sebenarnya bukan Perdana Menteri yang patut dicap begitu, tetapi beliau kerana beliau sendiri seolah-olah baru bertemu dengan fakta daripada al-Quran, sunah dan sejarah yang membuktikan bahawa orang Islam boleh bekerjasama dengan orang bukan Islam.

Dalam pada itu Pas tidak patut langsung berdalih dengan mendakwa mana-mana ulama tidak mempunyai kelulusan seperti Abdul Hadi tidak layak untuk bermuzakarah dengannya. Ini kerana semua ulama lulusan Universiti Al-Azhar, dalam bidang Pengajian Islam, Usuluddin, Bahasa Arab dan apa jua bidang pun adalah berkelayakan.

Ini kerana semua jabatan pengajian yang tersebut itu dari segi penamaan saja nampak berlainan, tetapi pengajian adalah sama kerana ada hubung kait dengan agama belaka.

Cuma perbezaan yang ada antara jabatan-jabatan itu Pengajian Islam memberi tumpuan yang lebih kepada pemikiran Islam, Usuluddin memberi tumpuan yang lebih kepada ketuhanan, Bahasa Arab memberi tumpuan yang lebih bahasa al-Quran dan begitu seterusnya.

Sebagai contoh penulis sendiri yang bidang pengkhususan adalah Syariah dan Ilmu al-Quran dan Ilmu Hadis turut mempelajari semua ilmu asas yang dipelajari di semua jabatan di Univeristi al-Azhar itu.

Selain itu Dr. Ismail hanya menjadi pengatur muzakarah Amanat Haji Hadi. Ini bermaksud jika beliau terlibat dalam muzakarah pun sebagai pengerusi atau tuan rumah kerana IKIM akan menjadi tempat pertarungan pemikiran itu. Fadzil sendiri yang mencadangkan supaya diadakan muzakarah di IKIM.

Dalam strategi untuk menjayakan muzakarah yang bersejarah ini Dr. Ismail sedang mengenal pasti ulama-ulama yang berwibawa untuk bermuzakarah dengan Abdul Hadi.

Penulis difahamkan semua ulama yang akan terlibat adalah ulama yang merupakan ahli akademik.

Bagaimanapun, penulis ingin mencadangkan di sini supaya tidak mengetepikan ulama yang merukan ahli politik yang terkenal hebat dalam berhujah dalam isu agama. Salah seorang ulama yang penulis ingin mencadangkan ialah Dr. Abdul Hamid Othman. Dr. Abdul Hamid memberitahu penulis minggu lalu bahawa beliau setuju untuk menjadi salah seorang pendebat dalam muzakarah dengan Abdul Hadi itu.

Begitu juga penulis juga ingin mencadangkan beberapa nama ustaz dan ulama yang merupakan bekas pemimpin Pas yang kenal baik dengan Abdul Hadi dan sama-sama turut terlibat dalam mengkafirkan ahli UMNO dulu.

Kini semua ustaz dan ulama bekas pemimpin Pas itu sudah bertaubat dan menjadi orang Islam yang betul akidah seperti orang-orang Islam lain.

Penulis akan turut menjadi penyumbang membekalkan para pendebat Amanat Hadi Hadi dengan pelbagai bukti dalam bentuk rakaman kaset dan tulisan.

Begitu juga perlu memberi peluang kepada orang-orang Islam yang pernah menjadi mangsa Amanat Haji Hadi tampil ikut serta dalam muzakarah.

Pokoknya muzakarah jika dapat diadakan akan menjadi seperti satu sesi penghakiman satu lawan berpuluh-puluh tokoh agama yang berwibawa.

Tidak dapat dibayangkan macam mana akan berlaku penghakiman itu, tetapi sudah pasti ia akan menjadi penghakiman terunik.

Semua kita perlu berdoa agar muzakarah seperti itu dapat menjadi kenyataan. Amin.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi