Make your own free website on Tripod.com

AGAMA

Mingguan Malaysia 15 April 2001

Hukum belajar ilmu isim

SOALAN: Saya ada mempelajari ilmu isim. Ia menyeru nama syeikh-syeikh tertentu yang digabungkan dengan ayat-ayat al-Quran. Setelah diamalkan memang ada sesuatu yang menggerakkan badan, menyebabkan saya boleh bersilat dan sebagainya. Saya juga boleh mengubati orang sakit.

Ilmu ini mengandungi pantang-pantang tertentu yang tidak boleh dilanggar. Ada kawan yang melanggar pantang dan menjadi gila. Saya juga ada melanggar, tetapi tidak ada apa-apa terjadi. Saya menjadi celaru dan begitu bimbang dengan amalan ini. - SALLEH NOR, Negeri Sembilan.

Jawapan: Islam menyuruh umatnya agar sentiasa mengingati Allah dalam keadaan apa keadaan sekalipun. Ketika berdiri, duduk dan sebagainya. Di antara tanda-tanda kebahagiaan ialah apabila seseorang itu berupaya mengingati Allah ketika dalam keadaan senang, juga dalam keadaan susah. Kerana itulah zikir itu dianggap penting dalam usaha mengingati Allah s.w.t .

Atas keyakinan dan ajaran seumpama inilah maka masyarakat Melayu pada umumnya menganggap bahawa sesuatu amalan yang terangkum dalamnya zikir sama ada yang terdiri daripada ayat-ayat al-Quran, doa-doa dan sebagainya adalah amalan yang baik. Keyakinan seumpama ini dipergunakan atau diperalatkan oleh iblis dan syaitan yang jelas tidak dapat dilihat mata, ataupun oleh manusia yang bersifat jahat seperti iblis dan syaitan untuk menipu manusia, iaitu dengan cara menggunakan kalimah-kalimah yang mengandungi nama-nama Allah, nama-nama rasul atau nabi, nama-nama malaikat, ataupun nama-nama pahlawan Islam terbilang dalam usaha atau amalan yang menyesatkan.

Pada hakikatnya, zikir-zikir yang tersebut dalam amalan kebatinan termasuk ilmu isim seperti yang saudara pelajari tidak membuktikan atau memastikan bahawa amalan yang dilakukan itu benar tidak menyalahi ajaran Islam. Hal seumpama inilah ada kalanya melahirkan kekeliruan mereka yang mengamalkan, juga mereka yang cuba membanteras amalan ajaran sesat.

Dalam masa yang sama, tidak semua mereka yang menurunkan atau memberi ijazah amalan kebatinan tersebut, yang terdiri daripada guru-guru itu sendiri menyedari bahawa amalan yang diperturunkan itu melibatkan makhluk-makhluk halus, yang terdiri daripada jin-jin.

Terdapat pelbagai nama yang diberi, kaedah-kaedah pembelajaran yang dilalui yang melibatkan ilmu kebatinan, tetapi hakikat amalannya adalah sama.

Seorang pemuda yang saya temui telah menerima ijazah ilmu kebatinan mempertahankan diri daripada sepupunya yang berasal dari tanah seberang.

Setelah diijazahkan, dia diminta membaca syahadah seberapa banyak mungkin. Tidak lama selepas itu, iaitu dalam masa lebih kurang empat atau lima minit, ia merasakan tangannya bergerak ke hadapan dengan sendiri. Rasa denyutan berlaku di hujung-hujung jari, lalu ia dengan sendirinya mendepa ke kanan dan mengangkatnya ke atas. Begitu juga yang dialaminya pada kakinya, menyebabkannya menjadi kaku menegak.

Ketika mula beramal, gurunya berpesan agar menurut apa yang berlaku pada dirinya. Dia hendaklah membisikkannya dalam hati agar menurut sahaja apa yang terjadi, jangan gunakan akal. Ketika menghadapi masalah ataupun didatangi oleh seseorang yang sakit, jari-jari tangan kanannya akan tergenggam sendiri.

Seorang pelajar di sebuah pusat pengajian tinggi di Kuala Lumpur yang mempelajari satu jenis silat ketika di kampung telah disuruh membaca al-Fatihah dan selawat oleh gurunya. Setelah belakangnya ditepuk, yang disertakan dengan bacaan-bacaan yang tidak kedengaran jelas olehnya, ia merasakan kaki dan tangannya bergerak dengan sendiri, seolah-olah ada satu tenaga luar masuk bergerak perlahan mengalir dalam anggota menyebabkan berlakunya demikian.

Pesan daripada gurunya ialah supaya membiarkan segala pergerakan yang berlaku dalam tubuh, jangan ditahan.

Masalah yang dihadapi oleh pelajar ini setelah mempelajari ilmu tadi ialah berlakunya pergerakan yang terus-menerus terjadi pada tangannya biarpun ketika sedang tidur. Ia merasakan seolah-olah bangun dan bersilat tanpa berhenti. Ketika membuka mata, ia mendapati badannya tidak bergerak, hanya perasaannya sahaja yang mengalami pergerakan tadi.

Tidak lama selepas itu ia mengalami mimpi-mimpi ngeri, mimpi dikejar oleh makhluk-makhluk yang menakutkan, menyebabkannya terasa gementar. Terasa seolah-olah nyawa sentiasa dalam bahaya. Di waktu siang ia terasa mengantuk dan terpaksa tidur antara tiga hingga empat jam tetapi badannya tetap letih.

Satu perkara yang paling membimbangkan ialah kesukaran hendak tidur malam. Kerana itu badannya sentiasa terasa letih, mengantuk dalam kuliah, menyebabkannya tertidur, dan tidak terjaga kecuali setelah habis kuliah. Ia juga sering menguap ketika bermain bola sepak dengan kawan-kawan di padang.

Pelajar ini merasa hairan bagaimana peristiwa buruk yang sama sekali tidak disangka boleh terjadi, pada hal zikir-zikir yang diamalkan dirasakan tidak bertentangan dengan ajaran Islam, yang terdiri daripada syahadah, subhanallah, alhamdulillah, Allahu Akbar.

Punca penyakit ataupun masalah yang dihadapi olehnya sukar dipastikan. Tidak ada tanda-tanda menunjukkan yang ia mengalami gangguan fizikal, kerana doktor-doktor pakar mengesahkan yang dia tidak menghadapi apa-apa masalah. Mereka yang terlibat dengan rawatan tradisional memberi pendapat yang berlainan, ada yang menyatakan kerana gangguan saka, kena santau dan sebagainya.

Seorang pemuda yang tinggal di Keramat mengakui mengamalkan satu jenis zikir tertentu. Semenjak mengamalkan ilmu yang telah diijazahkan itu, beliau mengalami kesukaran yang teruk untuk mendirikan sembahyang. Beliau bukan sahaja merasa sukar untuk melafazkan kalimah ``Allahu Akbar'' tetapi juga sukar untuk membaca al-Fatihah, juga lain-lain bacaan. Terasa seolah-olah ada sesuatu yang menekan hatinya manakala lidah terasa keras untuk melafazkannya.

Dalam hatinya sentiasa wujud bisikan-bisikan yang membimbangkan sama ada ketika sembahyang atau di luar sembahyang. Sejak berlakunya peristiwa-peristiwa tersebut, beliau semakin jauh daripada masjid, kecuali untuk sembahyang Jumaat, tetapi ia tidak berdaya mendirikan sembahyang sunat. Ibadat-ibadat lain, seperti membaca al-Quran dan zikir terus ditinggalkan.

Pemuda ini menyatakan amalan yang pernah diamalkan terdiri daripada zikir-zikir dan amalan seperti istighfar, dua kalimah syahadah, selawat, al-Fatihah kepada Nabi s.a.w, ibu bapa, semua wali Allah, rijalul ghaib, syeikh-syeikh, guru-guru juga kaum muslimin dan muslimat.

Ketika beramal pelajar perlu bertafakur. Ingat dalam hati dan mengaku dosa yang dilakukan (ikrar), takut kepada Allah akan azab-Nya (khauf), mengharap rahmat-Nya di dunia dan akhirat (raja') dan mengetahui ilmu Allah terlalu luas (ilm). Banyak lagi bacaan yang perlu diamalkan. Akhir sekali baru memberi salam dengan memalingkan muka ke kanan dan ke kiri dan berdoa dengan apa-apa doa yang disukai, yang diakhiri dengan bacaan al-Fatihah sekali dan diakhiri dengan doa Fatihah sebagai penutup doa.

Niat seseorang itu mempelajari ilmu seperti ini mungkin benar untuk menghampirkan diri kepada Allah atau menuntut ilmu kebatinan, yang termasuk dalamnya ilmu isim iaitu untuk rawatan, mempertahankan diri dan sebagainya, manakala bacaan iaitu wirid-wirid yang diamalkan itu benar tidak salah dan tidak menyeleweng, tetapi apabila amalan seperti ini digabungkan dalamnya dengan penglibatan makhluk-makhluk halus, akhirnya berlakulah pelbagai masalah yang di luar dugaan.

Tidak mudah akal berfikir bagaimana orang yang tidak pernah mempelajari ilmu persilatan, boleh bersilat hebat, menumbuk kanan kiri, lompat sana sini hanya dengan berzikir dan ``ijazah'' daripada guru semata-mata, pada hal pada masa yang lain, sekiranya ``objek'' luaran itu tidak meresap dalam badan, orang yang berkenaan langsung tidak boleh bersilat, juga tidak boleh melakukan rawatan.

Allah s.w.t menjelaskan seperti yang tersebut jelas dalam ayat-ayat al-Quran bahawa syaitan itu musuh yang nyata. Allah menyuruh setiap orang itu menjauhinya.

Orang yang mengamalkan amalan seperti yang dijelaskan hakikatnya telah memanggil, membiarkan makhluk ini masuk meresap dalam tubuhnya. Makhluk ini sentiasa menunggu manusia memanggil dan memujanya agar manusia itu sesat. Apabila ini berlaku, dipanggil tanpa disedari supaya meresap dalam tubuh, makhluk ini akan menjadi mudah masuk meresap dalam tubuh manusia.

Sasaran utama makhluk ini ialah pada otak mukh, dan apabila ini berlaku, ia boleh menyebabkan kehilangan fungsi normal otak yang boleh menyebabkan apa yang dikenali sebagai ``gila isim'' oleh masyarakat Melayu. Apabila ia mengganggu hati, seseorang itu akan merasa bimbang, risau, waswas, rasa terlalu gembira dan murung silih berganti tanpa sebab yang jelas.

Mengenai resapan makhluk-makhluk halus dalam tubuh manusia, Rasulullah s.a.w. ada bersabda seperti yang tersebut dalam sebuah hadis daripada Safiyyah binti Huyai r.a. yang bermaksud: Sesungguhnya syaitan itu boleh berjalan dalam tubuh anak Adam menurut pembuluh darah.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi