AGAMA

Utusan Malaysia 20 April 2001

Menentang tidak laksana syariah

DEBAT
Oleh ASTORA JABAT
Apakah boleh orang Islam menentang kerajaan yang tidak memerintah dengan syariah Islam sepenuhnya?

Apakah pula hukum mereka yang menentang kerajaan itu?

Penulis percaya ramai mempersoalkan perkara itu?

Persoalan ini amat berbahaya memandangkan keadaan sebilangan besar negara Islam yang tidak melaksanakan pemerintahan berlandaskan syariah secara sempurna, sama ada dari segi corak pengurusan pemerintahan atau dari segi perlembagaan yang diguna pakai untuk memerintah.

Pas yang menghukum kerajaan Malaysia tidak Islam, sekular dan kafir juga bertitik tolak daripada persoalan tersebut.

Sebenarnya teori-teori politik dahulu dan sekarang mempunyai kesan yang jelas dalam mentafsirkan nas-nas agama yang menyokong gagasan politik puak-puak tertentu. Malah ia juga mempunyai kesan tersendiri dalam mereka cipta hadis-hadis serta membuat pembohongan ke atas Rasulullah s.a.w.

Puak-puak politik yang bertelagah itu turut mengingkari hadis-hadis sahih daripada Rasulullah s.a.w kerana ia bertentangan dengan agenda politik mereka.

Pada masa yang sama, mereka menerima mana-mana hadis yang menyokong puak mereka tanpa menghiraukan kesahihan nisbahnya kepada Rasulullah.

Berikut dibentangkan sesetengah nas-nas daripada al-Quran dan hadis yang pegangan Ahli Sunah waljamaah mengenai isu yang amat berbahaya itu. Turut dibentang ialah pandangan para ulama mengenai isu berkenaan.

1. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Nisaa', ayat 59, maksudnya: Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul dan ulil amri (pemerintah) di kalangan kamu.

2. Daripada Ubadah bin Somit berkata; Kami telah membai'ahkan (menyatakan kesetiaan) kepada Nabi s.a.w untuk mendengar dan taat dalam kecergasan kami dan kelemahan kami, dalam kesusahan kami dan kesenangan kami, dan kami tidak bertelingkah atas sesuatu perkara dengan ahlinya, melainkan jika kelihatan kekufuran yang nyata di sisi kamu yang ada dalil jelas berkaitannya daripada Allah. (Hadis riwayat al-Bukhari)

Kekufuran yang nyata ialah gambaran jelas yang disaksikan oleh nas-nas dan tidak boleh dipertikaikan.

3. Imam Muslim meriwayatkan daripada Huzaifah bin Yaman, sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya : Akan ada selepas ku pemimpin-pemimpin yang tidak berpandukan hidayatku, yang tidak bersunnahkan sunnahku, dan akan muncul di kalangan kamu lelaki-lelaki yang hati mereka adalah hati-hati syaitan di dalam tubuh badan manusia. Aku bertanya; Apa yang perlu aku buat jika aku menyedari perkara itu?. Sabda baginda : Dengarlah dan taatlah dan sekiranya mereka memukul belakangmu dan merampas harta mu, maka dengarlah dan taatlah (kepada mereka).

Hadis ini mengandungi isyarat atau petunjuk kepada pemberontakan untuk kepentingan peribadi, bukannya untuk kepentingan awam. Ia turut mengandungi arahan supaya tidak terlibat di dalam pemberontakan sedemikian.

4. Diriwayatkan oleh Muslim daripada Arafjah al-Asyjai'e, sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya: Sesiapa yang mendatangi kamu dan menyuruh kamu berhimpun di atas seorang lelaki dengan tujuan untuk memecahkan kekuatan kamu atau memisahkan jemaah kamu, maka hendaklah kamu bunuh dia, iaitu bunuhlah orang yang memberontak terhadap pemerintah.

Inilah dia sesetengah nas-nas yang mengandungi kenyataan-kenyataan yang susah diterima oleh mereka yang cenderung kepada pemberontakan.

Para ulama mengambil pengajaran daripada hadis-hadis ini bahawa tidak harus menentang dan memberontak terhadap pemimpin-pemimpin selagi mereka mengerjakan solat. Solat di sini bukan maksudnya mereka mengimamkan solat seperti yang dilakukan oleh ulama salaf, tapi apa yang dimaksudkan ialah mereka iaitu para pemimpin tadi membenarkan orang mendirikan solat serta tidak menghalangnya.

Manakala hadis Ubadah bin Samit pula menunjukkan bahawa tidak harus memberontak ke atas pemimpin kecuali jika lahir daripadanya kekufuran yang nyata, yang tidak ada keraguan.

Misalnya, mengingkari ketuhanan Allah s.w.t atau mencaci cela al-Quran bahawa ia tidak sesuai untuk dijadikan sumber hukum atau berpegang bahawa sesuatu yang haram secara ijmak itu halal seperti riba. Semua ini menjadikan seseorang itu kafir.

Manakala, perbuatan melakukan sesuatu yang haram tanpa beriktikad bahawa ianya halal maka ia dikira sebagai derhaka, tidak sampai ke tahap kafir, bahkan seorang yang fasik. Maka, alasan utama untuk keluar menentang pemerintah ialah kekufuran, bukannya hanya sekadar melakukan maksiat.

Ibn Hajar berkata; Sesungguhnya kefasikan seorang pemerintah, yang tidak melakukan kekufuran, wajib dinasihati dengan cara-cara yang diharapkan daripadanya kebaikan serta tidak membawa kepada fitnah selaras dengan firman Allah s.w.t, maksudnya: Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.

Yang pasti, bagi orang-orang terdahulu, mereka mempunyai cara dalam mengingkari sesuatu sesuai dengan keadaan dan situasi semasa waktu itu, di samping menjaga roh dan semangat beragama yang wujud kukuh di kalangan pemerintah dan mereka yang diperintah.

Kebaikan pasti akan muncul apabila mereka yang menggunakan lidah dan pena itu ikhlas kerana Allah. Selain itu, wakil masyarakat itu perlu dipilih atas asas agama yang betul serta menunaikan amanah sebagaimana yang dituntut.

Mengenai penentangan terhadap kerajaan menggunakan senjata (kekerasan) dengan alasan untuk mengubah kemungkaran adalah suatu perbuatan atau tindakan yang tidak berfaedah di kebanyakan negara-negara Islam sekarang.

Ini kerana, negara-negara Islam terbabit meletakkan tugas atau peranan untuk melakukan perubahan dan pemulihan di atas tengkuk wakil-wakil rakyat, golongan yang mengharamkan penggunaan senjata, menolak unsur-unsur ganas serta mengenakan hukuman yang berat terhadap sesiapa yang melakukan perbuatan tersebut.

Walaupun mereka mempunyai peralatan senjata yang mencukupi sekalipun, jalan yang terbaik masih menerusi meja perundingan dan perbincangan.

Semuanya bertujuan untuk mengelakkan fitnah atau perang saudara ekoran pertembungan bersenjata serta pertumpahan darah yang mungkin mengorbankan nyawa-nyawa yang tidak berdosa.

Maka, syarat utama bagi mengubah kemungkaran - sebagaimana kata ulama - ialah tidak melakukan sesuatu yang membawa kepada kemungkaran yang lebih dahsyat.

Sekiranya penyelesaian masih gagal dicari menerusi perbincangan dan perundingan, hadis-hadis di atas masih tidak mengharuskan penentangan bersenjata. Kewajipan yang harus dilakukan ialah mengingkari dengan lidah, semampu mungkin. Jika tidak, pengingkaran dengan hati dan berijtihad (berusaha) mendidik rakyat untuk memilih wakil-wakil mereka yang mampu `menangani perlembagaan' bagi mengubah kemungkaran.

Inilah dia jalan mazhab Ahli Sunah waljamaah, dalam keadaan kebanyakan puak Mu'tazilah dan Rawafid mengharuskan penentangan terhadap pemerintah dan pemimpin negara.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi