AGAMA

Utusan Malaysia 20 April 2001

Masjid untuk masyarakat, bukannya individu

Wacana Islam
Masjid selalu dikaitkan dengan konsep ibadat dan juga ritual solat atau sembahyang. Kali ini, saya akan memberi satu perspektif alternatif tentang tafsiran makna dan implikasinya terhadap peranan masjid dan konsep ibadat dalam Islam masa kini.

Masjid, seperti juga tugas dan tanggungjawab mukmin sejati, mempunyai peranan penting dalam perjuangan membangunkan Islam di peringkat komuniti setempat.

Berkenaan dengan solat pula, ia bukanlah suatu ritual meditasi individu tetapi memainkan peranan besar dalam interaksi masyarakat.

Pada peringkat masyarakat, solat dan masjid berperanan mengumpulkan jemaah Muslim bagi mengingatkan mereka terhadap tanggungjawab pembangunan masyarakat.

Solat individu lebih digalakkan di rumah daripada di masjid kerana ia berperanan memberi kekuatan semangat perjuangan melalui meditasi bersendirian secara beruzlah.

Masjid sering diperkatakan sebagai Rumah Ibadat atau dalam bahasa Inggerisnya a house of worship. Fahaman perkataan `ibadat' dan worship yang biasa difahami adalah sebagai suatu set ritual tertentu seperti sembahyang dan menunaikan haji yang dibuat khusus bagi menyembah Tuhan.

Daripada ayat-ayat al-Qur'an dan hadis tersebut di atas bahawa tanggungjawab seorang Muslim adalah amat luas dan makna ibadat di dalam Islam jauh berbeza dengan pandangan yang sempit sebagai kegiatan ritualistik semata-mata.

Implikasi utama konsep ibadat sedemikian adalah masjid perlu berperanan lebih daripada hanya sebagai sebuah bangunan dan institusi ritual.

Masjid perlu berperanan proaktif dalam pembangunan masyarakat setempat. Maka itu perancangan ruang dan bahasa seni bina masjid perlu dibuat sebagai pusat komuniti yang aktif dan bukan bagaikan kuil atau biara yang sunyi sepi tempat orang beruzlah.

Peranan solat dan implikasinya terhadap konsep masjid.

Perkara pertama berkaitan solat dan masjid bahawa ada suatu anggapan bahawa masjid sebagai `rumah suci' atau ikon yang mesti wujud kerana kepentingan atau kesuciannya sendiri.

Konsep `rumah suci' atau objek suci wujud pada hampir semua agama. Konsep ini berlandaskan bahawa setiap penganut akan berasa lebih dekat dengan Tuhan jika sesuatu objek atau bangunan yang dibina untuk kegunaan Tuhan atau sebagai `wakil Tuhan' wujud di kalangan mereka.

Bangunan atau objek suci juga wujud kerana perkaitan kedua-duanya dengan personaliti-personaliti agama tertentu. Biasanya tempat pertapaan atau makam seseorang `wali' itu dijadikan tempat suci.

Umat Islam mempunyai tiga objek dan bangunan yang dianggap suci. Pertamanya, Ka'abah, kedua tapak Masjid-al-Aqsa dan ketiga Masjid Nabi Muhammad (s.a.w).

Itulah sebabnya beberapa pemikir Islam berpendapat bahawa masjid bukan tempat semata-mata untuk bersembahyang kerana ritual itu boleh dilakukan di mana-mana jua.

Hanya umat Islam membina masjid sebagai kemudahan berkumpul setempat untuk berinteraksi dan menunaikan sembahyang fardu berjemaah apabila masuk waktunya.

Ada juga anggapan bahawa masjid ialah tempat yang paling afdal untuk mengerjakan kesemua jenis sembahyang.

Sembahyang boleh bahagikan kepada dua jenis iaitu sembahyang berjemaah dan sembahyang individu. Sembahyang yang baik dilakukan berjemaah ialah sembahyang fardu lima waktu sehari, sembahyang Jumaat, sembahyang jenazah, sembahyang sunat Hari Raya, sembahyang sunat gerhana dan sembahyang sunat memohon meminta hujan. Contoh sembahyang individu adalah seperti sembahyang tahajud, sembahyang tasbih dan sembahyang sunat rawatib.

Sembahyang berjemaah lebih afdal dilakukan di masjid. Tetapi sembahyang sunat individu lebih afdal dilakukan di rumah-rumah seperti yang disebutkan Rasulullah dalam hadis-hadis berikut:

Rasulullah telah berkunjung ke Masjid Bani Abd al-Ashhal. Baginda bersolat maghrib di sana dan apabila baginda selesai sembahyang baginda melihat ramai para jemaah menunaikan solat Sunnat Rawatib. Baginda bersabda, Solat-solat ini sepatutnya dibuat di rumah kalian. (Sunan Abu Dawud)

Lakukan juga sembahyang-sembahyang kamu di rumah dan jangan dijadikan rumah kamu sebagai kubur. (Sahih Muslim)

Umat Islam digalakkan `memasjidkan' rumah mereka dengan bersembahyang sunat agar ia tidak dianggap `mati' dengan kejiwaan Islam. Rumah juga adalah tempat yang terasing daripada pandangan ramai. Dengan itu sembahyang sunat yang tidak menimbulkan perasaan menunjuk-nunjuk dapat menyucikan riak di hati.

Dapat difahami bahawa masjid bukan tempatnya Muslim bermunajat bersendirian tetapi tempat pertemuan masyarakat Islam melalui sembahyang berjemaah ataupun untuk aktiviti sosial yang lain.

Ciri-ciri pembinaan yang membuatkan seolah-olah masjid menjadi sebuah gereja atau `biara' sunyi semestinya dielakkan.

Prof. Madya Dr. Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi ialah pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi