AGAMA

Utusan Malaysia 20 April 2001

Kemuliaan akal menurut Islam

Rencana Pilihan
Oleh Mohd Radhi Ibrahim
Akal fikiran merupakan anugerah Allah s.w.t yang paling utama kepada manusia, kriteria terpenting yang membezakan mereka daripada makhluk selainnya.

Akal adalah neraca dalam menentukan kebaikan dan keburukan. Keistimewaan inilah yang menyebabkan manusia dipertanggungjawabkan untuk memikul amanah Allah s.w.t yang tidak mampu dipikul oleh langit, bumi dan gunung-ganang. Dengan panduan wahyu daripada Allah s.w.t, manusia telah diamanahkan untuk menjadi khalifah di muka bumi ini.

Kebahagiaan dan kesengsaraan abadi manusia di hari akhirat turut ditentukan oleh penilaian dan kebijaksanaan akalnya. Pengakuan yang dikemukakan oleh penghuni neraka begitu jelas menggambarkan realiti ini. (Mereka berkata; Jika kami mendengar dan berfikir nescaya kami tidak akan tergolong bersama ahli neraka, surah al-Mulk, ayat 10.

Demikian juga konsep taklif (tanggungjawab) dalam Islam yang menitikberatkan tentang akal apabila hanya golongan yang berakal sahaja yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan sesuatu ibadah kepada Allah s.w.t, sedangkan mereka yang tidak berakal dikecualikan.

Menerusi akal, manusia berpeluang meningkatkan pencapaian dirinya sama ada untuk kehidupan dunia ataupun bekalan di hari akhirat.

Merujuk kepada perantara langsung di antara Allah s.w.t dan hamba-Nya iaitu al-Quran, kita dapati akal merupakan asas kepada penghujahan Allah s.w.t ke atas makhluk-Nya. Jika diteliti terdapat begitu banyak ayat al-Quran yang memperkatakan tentang penggunaan akal seperti ta'qilun, tafakkarun dan tadabbarun.

Pujian diberikan kepada mereka yang menggunakan akal yang membawa kepada keimanan dan ketakwaan terhadap Allah s.w.t, manakala celaan pula ditujukan kepada mereka yang mengabaikan proses penggunaan akal tersebut menuju kebenaran dan keimanan.

Al-Quran memberikan kedudukan yang istimewa kepada akal. Islam menjadikan berfikir sebagai satu kemestian ke atas semua manusia. Berfikir dianggap sebagai bentuk ibadah yang tertinggi. Perkara ini dapat dilihat melalui firman Allah s.w.t yang bermaksud: Mereka yang mengingati Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan tidur serta berfikir pada kejadian langit dan bumi (lalu berkata) Tuhan kami sesungguhnya Engkau tidak jadikan semua ini sebagai satu kebatilan, maha suci Engkau. Maka lindungilah kami daripada azab neraka, surah al-Imran, ayat 190.

Demikian juga kita dapat melihat pandangan Islam yang begitu tinggi terhadap penggunaan akal fikiran yang membawa kepada perkembangan sains dan teknologi. Pemikiran ini seterusnya membawa kepada keyakinan tentang kewujudan dan keagungan Allah s.w.t.

Perkara ini dapat dilihat dengan jelas melalui firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 164, bermaksud: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, perubahan malam dan siang serta kapal yang belayar di lautan membawa perkara yang memberi faedah kepada manusia, dan apa yang diturunkan Allah s.w.t dari langit dari air lalu dihidupkan dengannya bumi yang gersang dan menyebarkan padanya setiap kehidupan, melalukan angin dan awan yang ditundukkan di antara langit dan bumi, itu semua merupakan tanda (kekuasaan Allah s.w.t) bagi mereka yang berfikir.

Ayat ini menunjukkan hubungan yang rapat di antara kandungan alam maya dengan Allah s.w.t. Setelah menceritakan tentang realiti yang dapat dilihat di sekitar manusia dari langit, bumi, siang, malam dan perjalanan kapal di tengah lautan bergelora, kejadian hujan dan sebagainya yang perlu dikaji dan diselidiki oleh umat Islam untuk mencapai kecemerlangan hidup di dunia, Allah s.w.t mengakhiri ayat tersebut dengan menyatakan semua perkara itu adalah tanda bagi orang yang menggunakan fikirannya. Dengan kata lain, sebagai perantara untuk manusia mengakui kewujudan Allah s.w.t dan keagungan-Nya sebagai pencipta dan pentadbir alam ini.

Dari perspektif yang lebih jelas, ia memberitahu kita bahawa semua kejadian yang berlaku di dunia ini akan membawa kita kepada mengingati tentang kewujudan, kekuasaan, kebijaksanaan dan keagungan Allah s.w.t, dengan satu syarat iaitu melalui perantaraan akal yang sememangnya dianugerahkan kepada semua manusia.

Oleh itu, Allah s.w.t memandang rendah mereka yang tidak menggunakan anugerah akal fikiran yang diberikan untuk mengenal dan mendekatkan diri kepada-Nya. Mereka dihumbankan kepada kedudukan yang lebih hina daripada haiwan ternakan. Ini kerana mereka hanya menggunakan segala anugerah Allah s.w.t untuk kesenangan dan kemewahan duniawi semata-mata, seterusnya lalai daripada tujuan asal mereka dijadikan iaitu untuk mengenal dan mengabdikan diri kepada Allah s.w.t.

Dari sini kita dapat melihat perbezaan antara golongan ilmuwan yang beriman dengan Allah s.w.t dengan yang tidak beriman.

Golongan pertama akan menjadikan ilmu yang diperoleh untuk menambahkan lagi keimanan dan keyakinan kepada Allah s.w.t, manakala golongan kedua pula hanya memusatkan ilmu mereka demi mencapai kesenangan dan kemewahan di dunia semata-mata.

Maka benarlah firman Allah s.w.t yang bermaksud Sesungguhnya orang yang takut kepada Allah s.w.t adalah para alim ulama.

Yang pasti, gabungan antara akal dan wahyu akan memberikan manusia jalan kebenaran yang bersinar sebagaimana yang diajarkan oleh para rasul. Pengabaian terhadap salah satu daripada kedua sumber tersebut akan menjadikan perjalanan hidup manusia pincang, seterusnya membawa kepada kekecewaan dan kegagalan.

Menerusi wahyu yang disampaikan oleh para rasul, kita mengetahui di penghujung sana adanya hari kiamat. Pada hari tersebut manusia akan diperlihatkan setiap perbuatannya di dunia ini, daripada amalan kebaikan mahupun kejahatan biarpun sebesar zarah. Seterusnya mereka akan dibalas dengan pembalasan yang setimpal dengan perbuatannya.

Sebagai seorang yang mempunyai akal yang rasional kita sewajarnya membuat persediaan untuk menghadapi hari tersebut. Kejayaan pada hari tersebut dapat dicapai apabila kita dicurahi rahmat Allah s.w.t. Kerahmatan ini pula dapat diperoleh dengan melaksanakan segala perintah Allah s.w.t dan dalam masa yang sama menjauhi segala larangan-Nya.

Kesimpulannya, tugas akal yang paling mulia ialah apabila ia digunakan untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Apabila melihat kepada kejadian alam yang begitu hebat, tersusun dan indah ini, sewajarnyalah terdetik di hati kita ingatan terhadap Allah s.w.t yang Maha Agong yang mencipta alam ini.

Hasil daripada ingatan yang berterusan inilah manusia akan sentiasa hidup dalam lindungan rahmat Allah s.w.t, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Maka ingatilah Aku nescaya Aku akan mengingati kamu dan bersyukurlah kepada-Ku dan janganlah kamu ingkar kepada-Ku.

Oleh itu lihatlah kepada manusia, langit, bumi, kereta, komputer dan semuanya dan jadikanlah ia sebagai perantara untuk kita mengingati Allah s.w.t.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi