AGAMA

Utusan Malaysia 22 April 2001

Jangan jadi `Islam baka' - Abdullah

PEKAN 21 April - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak mahu umat Islam negara ini menjadi `Islam baka' semata-mata yang tidak ada kemajuan dalam apa juga bidang.

Beliau berkata, orang Melayu di negara ini yang bernaung di bawah agama Islam sebaliknya mesti berusaha untuk mencapai kemajuan dalam segenap bidang kehidupan supaya setanding kaum lain.

``Kita tidak mahu yang kita ini jadi Islam (kerana) baka semata-mata. Kita mahu jadi Islam yang maju dan berjaya dalam semua bidang. Kita jangan lupa tugas ini,'' tegasnya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat UMNO bahagian Pekan di Dewan Majlis Daerah Pekan di sini hari ini.

Abdullah menjelaskan, umat Islam mesti berusaha untuk mendapatkan kemajuan hidup dalam segala bidang supaya tidak ditindas oleh orang lain pada masa depan.

Untuk itu katanya, UMNO akan meneruskan tradisinya membantu orang Melayu di negara ini dan juga kaum-kaum lain supaya turut mengejar kemajuan.

``Kita tahu, umat Islam belum tentu mencapai kemajuan jika tidak berusaha bersungguh-sungguh malah sebaliknya akan tergolong sebagai golongan miskin,'' jelasnya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO melahirkan rasa kesal dengan sikap Pas yang menuduh parti Melayu ini sebagai assabiyah apabila memperjuangkan perpaduan di kalangan orang Melayu.

Katanya, tuduhan Pas itu yang melihat UMNO memperjuangkan semangat perkauman yang sempit adalah tidak benar sama sekali.

``Ini kerana mereka tidak tahu perjuangan kita dalam semangat Barisan Nasional, kalau tidak ada ini semua, kita tidak akan dapat sampai macam hari ini,'' jelasnya.

Menurutnya, UMNO mengajak Pas membincangkan perpaduan Melayu kerana ia membabitkan hak bersama dalam perlembagaan negara antaranya bahasa Melayu, Islam agama rasmi dan hak-hak istimewa.

Mengenai perhimpunan veteran UMNO yang akan diadakan secara besar-besaran pada 11 Mei ini, Abdullah berkata, ia bertujuan untuk menghargai golongan veteran parti yang telah berjasa selama ini.

Oleh: SAMSOR JUNET

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi