AGAMA

Utusan Malaysia 22 April 2001

Amanat Hadi diwartakan menyalahi ajaran Islam

MARANG 21 April - Jabatan Perdana Menteri telah menghantar pekeliling kepada semua kerajaan negeri termasuk Kelantan dan Terengganu supaya mewartakan serta-merta Amanat Haji Hadi adalah bercanggah dengan ajaran Islam.

Menterinya, Senator Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin berkata, lanjutan itu, kerajaan negeri terbabit perlu mematuhi arahan pekeliling tersebut dengan melanjutkan tindakan melalui jabatan agama masing-masing.

``Majlis Fatwa Kebangsaan bersidang pada 21 November 1984 berhubung Amanat Haji Hadi. Pada 3 Disember pula majlis itu membuat keputusan bahawa amanat tersebut bercanggah dengan ajaran Islam yang dibawa kepada Majlis Raja-Raja dan diluluskan.

``Berikutan itu juga, minggu lalu kita menghantar satu pekeliling kepada semua kerajaan negeri supaya mewartakan perkara tersebut dan ia perlulah diikuti,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Marang di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Wakaf Tapai, di sini hari ini.

Abdul Hamid mengulas dakwaan Naib Presiden Pas, Mustafa Ali baru-baru ini bahawa parti itu tidak pernah dimaklumkan mengenai keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa Amanat Haji Hadi bercanggah dengan Islam.

Dalam kenyataannya, Mustafa yang juga Exco kerajaan negeri turut meminta UMNO menunjukkan bukti mengenai keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan terhadap amanat itu, jika ia dikatakan bercanggah dengan Islam.

Mustafa mendakwa demikian setelah Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamed menyatakan UMNO akan mengkaji bentuk tindakan terhadap Timbalan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang kerana masih mempertahankan amanat yang dibuat sejak 20 tahun lalu.

Mengulas lanjut Abdul Hamid berkata, kementerian mengeluarkan pekeliling itu apabila mendapati masih ada kerajaan negeri yang tidak mewartakan fatwa berkenaan untuk pengetahuan masyarakat.

Ditanya mengenai cadangan muzakarah berhubung amanat itu, beliau berkata, perkara itu tidak perlu memandangkan Majlis Fatwa Kebangsaan telah membuat keputusan dan ia sememangnya bercanggah dengan Islam.

``Perbuatan (amanat) itu adalah menyeleweng dan ia mesti dihentikan serta merta, kalau tidak ia akan membawa kesan tidak baik kepada masyarakat terutamanya rakyat Terengganu sendiri,'' ujar beliau.

Abdul Hamid turut kesal di atas sikap kepura-puraan pemimpin Pas yang mendakwa bahawa mereka tidak mengetahui keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung amanat itu.

``Ini merupakan suatu perkara yang amat aneh kerana sebagai pemimpin mereka mesti tahu sebab isu ini telah lama berlaku iaitu sejak tahun 1981 lagi, jangan berpura-pura tak tahu kerana orang Terengganu amat merasai keburukannya,'' tegasnya.

Oleh: MOHD. LAZIM ENDUT

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi