AGAMA

Utusan Malaysia 27 April 2001

Jangan tergesa-gesa terima demokrasi liberal


DR. MAHATHIR Mohamad tiba di Amiriah Arab Bersatu (UAE) untuk lawatan kerja selama 2 hari. Ketibaan beliau disambut oleh Ketua Pengarah Penerangan UAE, Sheikh Hasher Al-Maktoum (kiri) dan Duta Besar Malaysia di UAE Syed Husien Al-Habshi (belakang).

DUBAI 26 April - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan negara-negara Islam tidak perlu tergesa-gesa menerima sistem demokrasi, terutama demokrasi liberal kerana ia boleh membawa kerosakan lebih besar daripada sistem pemerintahan yang mereka amalkan sekarang.

Perdana Menteri memberitahu satu forum antarabangsa di sini, apa yang penting ialah pentadbiran yang baik oleh pentadbir yang baik, bukannya sistem.

``Malah raja dan diktator yang baik, amanah kepada tugasnya dan mematuhi ajaran agama (Islam) boleh membawa pemerintahan yang lebih baik daripada Presiden dipilih yang melakukan apa sahaja untuk mengekalkan popularitinya.

``Di bawah pemimpin yang jujur, sama ada raja atau Perdana Menteri atau Presiden, dibantu oleh para penasihat dan pakar, sebuah negara boleh membangun ke peringkat maju,'' katanya.

Mahathir menjelaskan, selepas kemusnahan Blok Timur, demokrasi bersama hak asasi dan globalisasi kini dikelirukan dan disalah guna sebagai alat kapitalis Barat untuk menguasai dunia melalui pembolotan ekonomi.

Beliau membuat kesimpulan bahawa apa yang baik mengenai demokrasi, sekurang-kurangnya pada teori, hanyalah kerajaan boleh ditukar tanpa melibatkan keganasan.

Mahathir memberi peringatan ini dalam ucaputamanya berjudul `Menghadapi Cabaran Abad 21: Peranan Negara-Negara Islam' pada Forum Antarabangsa Amiriah di sini hari ini. Ini adalah kali kedua Perdana Menteri diberi penghormatan oleh Amiriah Arab Bersatu untuk menjadi pemidato utama pada forum ekonomi yang terkemuka di rantau Arab itu.

Penghormatan pertama ialah pada 1998.

Mahathir juga mengingatkan bahawa umat Islam akan terus dikuasai oleh Barat jika mereka tidak menguasai ilmu moden, menafikan realiti semasa dan menipu diri sendiri dengan anggapan bahawa mereka lebih baik daripada orang lain sedangkan pada hakikatnya tidak.

Menurut Perdana Menteri, umat Islam juga akan terus ditindas jika mereka bertindak ganas, tidak rasional dan mengabaikan ajaran sebenar agama.

``Kita ambil sebagai contoh bahawa persaudaraan sesama agama adalah ajaran penting dalam Islam, tetapi adakah kita bersikap seperti saudara sesama kita?

``Rasulullah s.a.w menyuruh kita menuntut ilmu sampai ke China, tetapi kita mentafsirkannya sebagai mencari ilmu agama sahaja. Apakah agama Islam boleh dipelajari di China di zaman baginda?'' katanya.

Dr. Mahathir menegaskan, umat Islam hanya boleh kembali ke zaman kegemilangan jika mereka memperbaiki diri dengan mentadbir negara masing-masing secara lebih baik bagi mewujudkan kestabilan dan kemajuan ekonomi.

``Gunakanlah kekayaan yang dihasilkan untuk membina infrastruktur dan melengkapkan diri kita dengan kemahiran Zaman Maklumat dan Industri kerana kita perlu ke depan dalam teknologi,'' tegasnya.

Dr. Mahathir juga mengingatkan umat Islam supaya berwaspada terhadap idea-idea baru yang diwujudkan oleh Barat bagi membolehkan mereka menguasai dunia.

``Selepas kita menerima Islam, idea-idea baru yang muncul hanyalah dari negara-negara Utara yang kaya. Kepercayaan kita telah diserang oleh idea dan ideologi seperti republikanisme, kapitalisme, sosialisme, komunisme dan pelbagai lagi,'' katanya.

Menurutnya, keupayaan umat Islam untuk menghadapi tentangan ideologi ini turut pincang lantaran penekanan agama berlebihan terhadap amalan kulitan, misalnya penafsiran yang keterlaluan dalam soal pakaian.

``Disebabkan kita tersilap tafsir atau tersalah penekanan tentang ajaran Islam, maka umat Islam gagal menghadapi Zaman Industri dan kini Zaman Maklumat.

``Kita sepatutnya belajar daripada kegagalan menghadapi Revolusi Industri dan bersedia menghadapi Revolusi Maklumat, tetapi kita tidak,'' tegasnya.

Dr. Mahathir berkata, ulama-ulama politik turut menjadi angkara kepincangan umat Islam hari ini kerana mereka menyeru kebencian dan `jihad' sesama Islam, serta tidak menggalakkan pengajian ilmu moden yang boleh memperkasa pertahanan dan memperkukuh ekonomi.

Menurut beliau, disebabkan kelemahan dalam ekonomi, kemahiran teknologi dan pertahanan, umat Islam ditindas dan akhirnya mereka menggunakan kekerasan apabila tuntutan keadilan tidak dihiraukan lagi oleh bukan Islam yang menindas.

Kekerasan terhadap bukan Islam itu tidak menamatkan penindasan terhadap umat Islam, malah memburukkan imej mereka dan meningkatkan lagi tindak balas.

Akhirnya, kata Dr. Mahathir, umat Islam melepaskan kemarahan terhadap pemimpin dan kerajaan mereka sendiri.

``Kita bukan sahaja tidak memperoleh apa-apa daripada keganasan itu, malah kita dan kerajaan serta negara kita semakin lemah,'' tegasnya.

Beliau mengakhiri ucapannya dengan menegaskan bahawa peranan negara-negara Islam pada abad 21 ialah membantu mewujudkan keamanan dunia melalui dasar yang rasional dalam hubungan sesama mereka dan dengan lain-lain negara.

``Kita negara-negara Islam mestilah mempunyai suara, suara yang besar, dalam membentuk dunia global ini.

``Peranan kita bukanlah untuk dikuasai atau menguasai, tetapi ialah untuk menjadi rakan yang setara dalam dunia yang kaya, adil dan lebih rasional. Insya-Allah.'' - Utusan

Daripada: HAMZAH SIDEK

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi