AGAMA

Utusan Malaysia 27 April 2001

Jampi Siam lawan jampi Melayu

Debat
Oleh ASTORA JABAT
(astora@utusan.com.m)
JAMPI adalah ubat orang awam yang tergolong di kalangan mereka yang tidak mempunyai kesedaran agama dan ilmu yang tinggi. Ia wujud di semua negara.

Topik ini dibangkit kerana seorang tokoh jampi Buddha paling terkenal di Thailand, Luang Phor Khoon Parisuttho mengadakan lawatan selama empat Malaysia ke Malaysia mulai Isnin lalu.

Apa yang menarik ialah Luang Phor Khoon, 77, dianggap oleh para pengikutnya di Thailand sebagai tokca (sami Buddha) keramat, mempunyai kuasa magis dan jampinya mampu menyelesaikan pelbagai masalah hidup dan berupaya mengubati pelbagai penyakit.

Luang Phor Khoon yang tiba di Langkawi Isnin lalu untuk membantu memungut derma bagi Wat Koh Wannaram di Kelibang itu, bagaimanapun, tidak menganggap diri mempunyai segala keistimewaan yang dipercayai para pengikutnya.

Selain itu topik ini juga dibangkit bagi melayan kehendak sesetengah masyarakat Siam di Malaysia yang menuntut penulis membincang mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan mereka.

Semasa berdialog dengan masyarakat Siam dalam majlis ceramah UMNO di Wat Thepsuwannaram, Kampung Padang Peliang, Pendang, Kedah pada 15 April lalu penulis ada berjanji dengan mereka berhubung perkara tersebut.

Penulis percaya pembaca Islam yang sentiasa mengikuti tulisan penulis boleh mendapat faedah daripada perbincangan ini. Sekurang-kurangnya ia boleh membantu mereka untuk memahami secara lebih baik tentang masyarakat Siam dari segi agama dan budaya.

Sebenarnya masyarakat Siam di Malaysia yang berjumlah 500,000 orang adalah terbilang daripada golongan bumiputera itu mempunyai banyak perkara menarik yang belum dibincang dalam mana-mana media kecuali secara mendatar.

Dalam tulisan pertama ini penulis ingin membincang mengenai amalan keagamaan di kalangan orang Siam di Malaysia terutama yang berkaitan jampi serapah.

Sebenarnya masyarakat Siam di Malaysia tidak begitu berbeza daripada masyarakat Melayu di negara ini dari segi amalan jampi serapah.

Cuma ada perbezaan sedikit dari segi penghormatan terhadap penjampi.

Sebagai contoh penjampi di kalangan orang Siam di Malaysia sama seperti di Thailand di mana biasanya adalah tokca (sami), tetapi di kalangan orang Melayu adalah bomoh, ustaz, ulama dan tok guru.

Penghormatan orang Siam kepada tokca, bagaimanapun, melebihi penghormatan orang Islam terhadap bomoh, ustaz, ulama dan tok guru jampi.

Ini kerana penghormatan orang Siam tidak dilihat pada kebolehan ilmu, tahap kewarakan dan kedudukan sangha (kesamian) seseorang tokca itu, tetapi pada pakaian kuningnya itu.

Bagaimanapun, penghormat yang tidak terbatas kepada tokca ini menimbulkan banyak masalah di Thailand.

Penulis ingin memperinci sedikit tentang perkara yang tidak wujud di kalangan orang Siam di Malaysia ini.

Kerana wujud penghormatan sebegitu rupa menyebabkan ramai orang Siam yang malas bekerja di Thailand menyamari diri menjadi tokca dengan mudah. Selepas itu tokca-tokca palsu dapat melakukan perkara-perkara tidak baik termasuk memungut derma secara tipu.

Tetapi masyarakat Thai kurang mengambil pusing terhadap apa yang dilakukan oleh tokca-tokca palsu itu kerana siapa saja yang memakai pakaian kuning yang menjadi simbol Buddha akan dihormati.

Fenomena ini telah merebak ke Malaysia dan Singapura di mana ramai tokca palsu dari Thailand menjadikan tempat cari makan mereka yang baru sepertimana sering dilaporkan akhbar Thai.

Di Thailand kini terdapat polis tokca yang diberi tugas khas untuk menangkap tokca palsu dan mengawal tokca hakiki daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah dalam agama Buddha seperti minum arak, melakukan hubungan seks dan lain-lain.

Polis tokca Thai selalu membuat penangkapan-penangkapan yang menggemparkan seluruh masyarakat Thailand termasuk penangkapan terhadap beberapa ketua tokca terkemuka yang didapati terlibat dalam melakukan hubungan seks dan rogol.

Berbanding tokca dan ketua tokca yang merosakkan imej dunia sangha (sami) itu terdapat pula tokca dan ketua tokca berwibawa yang namanya sangat harum di seluruh Thailand seperti mendiang Phra Buddhadasa Bhikku (bekas ketua Wat Suan Mok di Suratthani), Phra Phayom Kallyano (ketua Wat Suan Kaew di Bangkok), Luang Phor Khoon Parisuttho (ketua Wat Ban Rai, Nakhonratchasima) dan lain-lain.

Mendiang Phra Buddhasa yang tergolong daripada pembaharu ajaran Buddha di Thailand itu mempunyai pandangan yang sangat positif terhadap agama Islam. Begitu Phra Phayom Kallyano yang pernah juga dijemput mengadakan ceramah bersama dengan ulama Islam di Thailand.

Manakala Luang Phor Khoon pula merupakan tokca konservatif yang hampir sama pemikirannya dengan sesetengah tok guru pondok kampung di kalangan orang Melayu kerana sama-sama mengamal jampi dan lain-lain amalan yang bukan ajaran pokok agama.

Bagaimanapun, Luang Phor Khoon mempunyai keistimewaan yang jarang terdapat pada kebanyakan pengamal jampi lain termasuk di kalangan orang Melayu kerana beliau mengembalikan harta benda yang diperoleh melalui amalan jampinya kepada rakyat.

Beliau menggunakan hasil jampi itu untuk membina prasarana negara seperti sekolah, hospital, rumah orang tua, jalan raya dan jambatan.

``Dia ikhlas dan orang baik, `` kata Sulak Sivaraksa, seorang sarjana Buddha dari golongan pembaharuan yang tidak sealiran dengan Luang Phor Khoon.

Untuk mengetahui betapa hebatnya pengaruh Luang Phor Khoon memadai disebut di sini bahawa beliau dikunjungi beribu-ribu orang setiap hari dan adakala jumlah mereka melebihi 10,000 orang.

Bagaimanapun, perkara itu berlaku sebelum negara Thailand dilanda krisis ekonomi tahun 1997.

Kini jumlah pengunjungnya menurun mendadak kerana keperitan hidup yang dialami rakyat Thai selepas dilandai krisis ekonomi menyebabkan mereka berasa susah untuk membuat khairat.

Kerana sebab itu, lapor akhbar The Nation, Luang Hor Khoon kini ada lebih banyak masa untuk berehat, beriktikaf dan mentelaah buku agama Buddha terutama Tripitaka.

Dulu beliau kerap duduk selama lebih 10 jam pada satu tempat tanpa sebarang selangan untuk menjampi para pengikutnya.

Orang ramai membanjiri Wat Suan Rai akan bermula sejak waktu subuh lagi dan berterusan begitu sehingga ke pukul 10 malam.

Kebanyakan penziarah Luang Phor Khoon pula memikul bermacam-macam hajat seperti orang sakit mahu sembuh daripada penyakit, gadis yang belum kahwin mahu berkahwin, orang tidak mendapat anak mahu mendapatkan anak dan macam-macam. Malah ada juga yang mahu minta nombor ekor.

Tidak kurang juga yang meminta sedikit daripada air liur atau air kencingnya untuk dijadikan ubat, lapor akhbar yang sama.

Luang Phor Khoon menjampikan para pengikutnya dengan memukul mereka beramai-ramai dengan gulungan kertas.

Bagaimanapun, Luang Phor Khoon nafi bahawa beliau ada sebarang kuasa magis untuk menyembuh orang.

``Saya tiada magis, tiada kuasa seperti itu walau sedikit pun,''jelasnya.

Dalam wawancara dengan ITV beberapa tahun lalu, Luang Phor Khoon berkata, beliau tidak tahu perbuatan beliau memukul orang dengan gulungan kertas boleh menyembuhkan mereka atau tidak.

Beliau mendakwa, beliau terpaksa berbuat begitu kerana desakan dan permintaan orang ramai. Sedangkan beliau sendiri bila sakit, beliau pergi ke hospital. Malah beliau pernah melakukan pembedahan jantung pada tahun 1998.

Bagi orang-orang yang minta beliau menjampikan mereka supaya menjadi kaya, Luang Phor Khoon dalam wawancara sebuah akhbar berkata: ``Saya memberitahu mereka jika mahu menjadi kaya, maka mereka harus belajar memberi terlebih dahulu kepada orang lain. Jangan sama menjadi seperti ahli politik yang hanya tahu mengambil dan tidak memberi kecuali cakap politik.''

Apa yang dapat disimpulkan di sini ialah jampi yang diamal di kalangan orang awam Buddha adalah sama seperti jampi yang diamalkan di kalangan orang awam Islam ini.

Penjampi-penjampi Thai dan Islam pun tidak berbeza juga.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi