AGAMA

Utusan Malaysia 27 April 2001

Kepentingan dialog Islam dan Kristian

Wacana Islam
MANUSIA merupakan makhluk yang sering kali dihubungi dengan persoalan intelektual dan keagamaan. Oleh sebab tradisi intelektual manusia masing-masing berbeza, proses pemahaman agama juga kadangkala mengundang masalah dan konflik. Masalah yang dihadapi bukan hanya mencakupi isu sosial atau masyarakat tetapi lebih berpihak kepada masalah teologi, yang turut disempitkan oleh fahaman tradisi dan ikatan primordial.

Skema pemikiran inilah menyebabkan banyak pihak cuba mencari penyelesaian, sekurang-kurangnya dengan mengkaji bagaimana titik temu antara agama boleh dilakukan, bagi membendung permusuhan dan peperangan yang berpanjangan. Dalam sejarah manusia, berbagai-bagai peradaban, kebudayaan dan masyarakat, mahu tidak mahu terpaksa menjalin hubungan antara satu sama lain secara berterusan dan berpanjangan.

Khususnya dalam konteks hubungan Islam dan Kristian dalam abad ke-21 ini, akibat kejahilan yang disertai dengan rasa sangsi dan sikap permusuhan terhadap satu sama lain telah menghalang mereka daripada menjalinkan hubungan yang berkekalan dan berkembang maju.

Kadangkala permusuhan meledak sehingga menjadi pertikaian berdarah seperti yang dapat disaksikan dalam beberapa pergolakan tragis di beberapa buah negara sejak beberapa tahun lalu. Permusuhan antara agama dapat diperhatikan melalui konflik pembasmian etnik dan wilayah sebagaimana yang berlaku di Timor Timur dalam tahun (1999), Lampong (1995), Jakarta (1997) semasa reformasi kepimpinan Habibie dan Suharto, di mana kumpulan etnik Tionghua menjadi mangsa.

Demikian juga isu pembinaan kuil Hindu di atas tapak Masjid Babri di Ayudya, Uttar Pradesh pada tahun 1992 di India, yang menyebabkan masyarakat Islam melancarkan tindakan balas ke atas penganut Hindu. Malah keganasan perkauman sudah menjadi punca utama penderitaan umat manusia pada penghujung abad kedua puluh yang lalu. Pergaduhan yang melibat dua agama juga turut berlaku di negara Malaysia sepertimana yang berlaku di Kampung Medan baru-baru ini.

Memandangkan keganasan kaum semakin memuncak dalam keadaan masyarakat pelbagai kaum dan di merata-rata tempat, maka perlu ditekankan betapa pentingnya dialog antara kaum, agama, antara budaya atau peradaban diadakan pada masa kini. Dialog dan persefahaman antara satu sama lain merupakan prasyarat untuk membina hubungan yang adil dan saksama antara pelbagai budaya dan peradaban.

Hubungan antara umat Islam dan Kristian bukanlah satu fenomena baru. Ia sudah setua umur Islam itu sendiri. Islam memandang Kristian sebagai ahli kitab yang harus dihormati. Tetapi sepanjang perjalanan sejarah, hubungan yang telah menjadi sumber kebaikan bagi kedua-duanya ini juga telah menjadi sumber berbagai salah faham, ketidakpercayaan dan konflik. Inilah antara lain faktor penghalang kepada dialog, peradaban antara Barat yang Kristian dan Asia yang diwakili oleh umat Islam dewasa ini.

Penyebab utama ketegangan ini berakar daripada interaksi yang berasaskan sikap yang beranggapan pihak masing-masinglah yang paling benar. Masing-masing menganggap merekalah pengikut agama yang paling unggul. Mereka bersaing untuk menyebarkan dakwah. Saingan ini kadang-kadang membawa ketegangan dan keupayaan untuk mencipta situasi yang saling memahami dan menghormati antara Islam dan Kristian menjadi lebih sukar. Kadang-kadang kesukaran semakin bertambah kerana didorong oleh kepentingan politik, mahupun teologi. Keadaan ini berlaku pada kedua-dua pihak, Muslim atau Kristian.

Oleh itu dalam rangka menyambut abad ke-21, antara Muslim dan Kristian hendaklah bergerak dengan masing-masing mengikat diri dalam satu usaha bersama untuk mengumandangkan nilai-nilai keagamaan luhur yang di atasnya dapat berdiri kukuh kedua-dua tradisi. Kedua-dua pihak ini sepatutnya bersatu mengajak manusia memusatkan perhatian terhadap perintah Tuhan yakni tentang kesedaran betapa pentingnya menyelesaikan persoalan keadilan sosial, kehormatan manusia, kebebasan dan nilai-nilai etnik yang dihadapi oleh dunia ketika ini. Contohnya dalam peperangan agama yang mengorbankan sejumlah manusia yang tidak berdosa.

Sejarah telah mencatat bahawa kerjasama konstruktif pernah mewarnai hubungan kedua agama ini. Untuk mencapai pengertian lebih luas, dialog difokuskan kepada titik-titik persamaan antara kedua-dua agama. Sebaliknya perkara-perkara perbezaan yang boleh menimbulkan perselisihan harus dihindari. Antara titik persamaan tersebut adalah penciptaan suatu kehidupan bermoral yang menjunjung tinggi nilai-nilai keagamaan dalam segala aspek kehidupan dan peradaban manusia.

Setiap pemeluk agama bertanggungjawab untuk membudayakan sikap keterbukaan, menerima perbezaan dan menghormati kemajmukan, disertai ketaatan dan komitmen terhadap agama masing-masing. Islam bukan hanya bertujuan mempertahankan kewujudannya sebagai agama, tetapi juga mengakui kewujudan agama-agama lain dan memberinya hak untuk hidup berdampingan sambil menghormati penganut agama lain.

MOHD. SHAUKI ABD. MAJID ialah Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (Yadim).

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi