AGAMA

Utusan Malaysia 27 April 2001

Membangun negara bukan seperti membaca doa

Rencana Pilihan
Oleh HANAN ALAWIYYAH
(hananalawiyyah@hotmail.com)
Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad semasa berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Gua Musang pada 7 April lalu bertanya apakah kejayaan Pas dalam membangunkan Kelantan.

``Kita akui mereka pemimpin-pemimpin Pas boleh membaca doa dan sebagainya, tetapi dalam pentadbiran mereka tidak ada pengetahuan,'' jelas Dr. Mahathir.

Sebenarnya itulah realiti politik yang ada di Kelantan di mana kemajuannya diukur dari segi siapa yang boleh baca doa panjang-panjang, siapa boleh membaca talkin, siapa boleh sembahyang mayat, siapa boleh sembahyang hajat beramai-ramai di padang dan siapa boleh mencukur rambut bayi yang baru lahir, kemudian gambarnya disiarkan dalam akhbar rasmi Pas.

Politik untuk tunjuk ``aku orang alim'' dan sembahyang hajat anjuran aku boleh memenuhkan satu Stadium Sultan Mohamed ke-IV telah lebih sepuluh tahun melenakan sebahagian rakyat Kelantan tanpa mereka sedari anak watan negeri Kelantan terpaksa berhijrah beramai-ramai ke Kuala Lumpur dan lain-lain bandar besar untuk mencari nafkah menyara diri dan keluarga.

Kelantan bernasib baik kerana berada di dalam Malaysia.

Andainya ditakdirkan Kelantan berada di luar Malaysia tentunya ramai rakyat Kelantan akan dikenali sebagai pendatang sama ada dengan izin atau tanpa izin membanjiri bandar-bandar besar di Malaysia bekerja samada di sektor pembinaan, perladangan atau perindustrian.

Sungguhpun begitu dengan lagak tidak sedar diri pemimpin Pas mendabik dada bahawa Kelantan membangun bersama Islam. Mereka bersuara di majlis-majlis ceramah kononnya di bawah kepimpinan ulama, Kelantan tidak ada masalah. Ia digambarkan di majlis-majlis ceramah umpama syurga yang tersedia segala kemudahan dan tenang daripada segala kejahatan. Hikayat yang diceritakan di majlis-majlis ceramah tersebut mudah menusuk kalbu pendengar yang juga buta erti kemajuan berasaskan Islam.

Suatu contoh kecil bahawa orang yang pandai membaca doa tidak mempunyai pengetahuan dalam pentadbiran ialah kegagalan mereka menyelesaikan masalah kekurangan air di Kelantan walhal sudah lebih 10 tahun diberi kuasa. Bekalan air di Kelantan yang tidak menentu, tidak mencukupi, berkeladak melambangkan suatu kegagalan di sebalik rasa gah dan syok sendiri pemimpin dan pengikut yang tidak tahu mana hulu dan mana hilir dan tenggelam punca dalam lautan pujian.

Pengikut memuji pemimpin kononnya pemimpin adalah ulama yang muktabar dan boleh dijadikan contoh dalam serba- serbi kehidupan. Si pengikut pula tenggelam dalam pujian pemimpin kononnya tahan diuji dan boleh menjadi contoh kepada mereka yang berada di negeri-negeri lain.

Apa yang mereka tahu lakukan ialah menyalahkan Kerajaan Pusat kononnya tidak mahu memberi pinjaman untuk kerajaan Kelantan menyelesaikan masalah air.

Sikap hanya tahu menyalahkan pihak lain ialah sikap orang yang bankrap dalam politik. Mereka sudah muflis khasnya dari segi moral. Apakah mereka yang mengharapkan bantuan Kerajaan Pusat itu sedar bahawa Kerajaan Pusat itu ialah kerajaan yang dimaki siang malam, dicerca siang malam dan dikutuk siang malam oleh pemimpin dan penceramah Pas.

Apabila gagal menyelesaikan masalah air ertinya kerajaan membiarkan rakyat hidup dalam kesusahan. Susah untuk memasak, susah untuk mandi manda, susah untuk membasuh. Peniaga susah dalam perniagaan dan pelabur enggan membina kilang di Kelantan. Ini telah terbukti apabila tiada kemudahan prasana baru seperti lebuh raya, pusat pengajian tinggi yang canggih dan pelabuhan besar di Kelantan. Kawasan industri hanya wujud di atas kertas dan menjadi indah khabar dari rupa. Kewujudan di atas bumi tidaklah seberapa. Ada juga yang merepek apa guna ada kilang jika rakyat hanya sekadar menjadi pekerja kilang. Mereka tidak berfikir untuk melahirkan jurutera dan pekerja mahir yang bekerja di kilang dan barangan yang dikilangkan itu dapat dieksport ke luar negara.

Apabila prasarana utama yang ada hanyalah tinggalan kerajaan Barisan Nasional yang memerintah dari 12 Mac 1978 hingga 21 Oktober 1990, ertinya peluang pekerjaan dan peluang mencari ilmu untuk rakyat Kelantan di dalam negeri sendiri amat terbatas. Apabila peluang -peluang itu amat terbatas rakyat Kelantan yang mencari ilmu dan mencari rezeki untuk menyara keluarga terpaksa meninggalkan Kelantan. Apabila tiada prasarana besar yang wujud di Kelantan, maka di mana makmurnya Kelantan yang digembar-gemburkan sebagai sebuah negeri yang amat berkat dan amat menyenangkan oleh kaki-kaki syarah yang ada dalam Pas?

Tidakkah yang membawa nikmat kepada Kelantan ialah Kerajaan Pusat yang menyediakan pelbagai prasarana dan kemudahan untuk rakyat Kelantan mendapat rezeki. Memanglah rezeki rakyat Kelantan di tangan Allah bukan di tangan Dr. Mahathir tetapi tidakkah Allah menyalurkan rezekinya kepada rakyat Kelantan melalui kepintaran dan kerja kuat Dr. Mahathir membangunkan Malaysia. Apa akan jadi jika golongan syok sendiri ini memerintah Malaysia?

Sebelum pilihan raya lalu kita ingatkan agenda utama Pas Terengganu tentunya hukum hudud. Ini kerana berpuluh-puluh tahun mereka menjadikan hukum hudud sebagai agenda utama dalam menentang kerajaan Barisan Nasional. Kita ingatkan apabila memerintah Terengganu, undang-undang yang pertama yang dibawa masuk ke dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu ialah undang-undang yang berkaitan dengan hukum hudud. Apabila hukum tersebut diluluskan oleh DUN Terengganu dan pelaksanaannya ditentang oleh Kerajaan Pusat tentunya kita ingat Kerajaan pusat akan dicabar di mahkamah kerana melarang kerajaan Terengganu melaksanakan hudud. Rupa-rupanya itulah adalah khayalan semata-mata.

Hukum hudud entah ke mana, apa yang diperjuangkan siang dan malam, pagi dan petang ialah wang ihsan Petronas. Rupa-rupanya kerajaan Malaysia dibawa ke mahkamah oleh kerajaan Terengganu atas isu wang ihsan bukannya hukum hudud.

Rupa-rupanya wang ihsan lebih utama daripada hukum hudud. Barulah kita sedar Tok Guru tidak sedap duduk kerana tidak dapat wang ihsan yang mahu dikenali wang royalti bukannya kerana tidak melaksanakan hukum hudud yang dicanang berpuluh-puluh tahun lalu.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi