AGAMA

Utusan Malaysia 29 April 2001

Ilmuwan pembangkang kembali kepada idealisme

Oleh:ASTORA JABAT
Memperkatakan yang hak dan benar adalah jihad termasuk yang ditujukan kepada pemerintah terutama yang zalim. Cuma kita perlu mengetahui pendekatan yang sesuai untuk melaksanakan jihad itu.

Dalam konteks memperkatakan yang hak dan benar terhadap orang yang keliru dan salah faham berkaitan apa yang dilakukan kerajaan, pendekatan berhujah adalah di antara pendekatan yang sesuai digunakan.

Pendekatan ini disuarakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad di Kubang Pasu, Kedah pada 21 April lalu.

Dr. Mahathir menyarankan supaya orang UMNO berani berhujah dengan orang yang menentang kerajaan kerana ia merupakan cara terbaik untuk mengatasi kekeliruan dan salah faham yang dihadapi mereka.

``Ramai juga yang sebelum ini menentang termasuk guru-guru dan pensyarah-pensyarah, tetapi apabila dijelaskan tentang apa yang sedang kita buat, mereka akhirnya terima kembali UMNO. Sebab itu saya tidak berminat hantar mereka ini ke tempat lain,'' kata Dr. Mahathir sebagai menjelaskan kenapa guru dan kakitangan kerajaan yang menjadi penyokong parti pembangkang tidak akan ditukarkan ke tempat lain kerana beliau percaya pendirian mereka akhirnya akan berubah.

Itu merupakan pendekatan yang tepat dengan kehendak Islam kerana Allah menyeru kita supaya berhujah dan berbincang untuk memberi penjelasan tentang sesuatu perkara dengan hikmah dan lemah lembut seperti digariskan dalam kaedah umum dalam ayat ini:

Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat pengajaran yang baik. Dan berbincanglah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat daripada jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk - (an-Nahl: 125)

Apa yang dapat difahamkan daripada ayat di atas dan ayat-ayat lain yang berkaitan yang tidak disebutkan di sini, kecewa dan putus asa perlu dihindarkan walaupun penghujahan yang kita lakukan tidak diterima dengan mudah seperti dalam kes krisis besar yang melanda negara sebagai akibat penyingkiran seorang pemimpin politik yang moral rendah itu.

Ini kerana kita hanya berusaha dan Allah akan menunjukkan kebenarannya jika usaha kita dilakukan dengan jujur dan sungguh-sungguh.

Dengan itu meskipun krisis politik yang melanda negara ini kelihatan dengan jelas ada yang tidak kena dan tidak betul melibatkan ilmuwan-ilmuwan pembangkang tertentu, tetapi janganlah menganggap mereka akan menjadi begitu buat selama-lamanya.

Pada pandangan penulis para ilmuwan itu adalah manusia yang terikat dengan fitrah semula jadi, iaitu suka yang hak dan benar.

Fitrah semula jadi ini satu hari nanti akan menggerakkan mereka secara lumrah kepada yang hak dan benar kerana manusia itu secara fitrahnya adalah baik walaupun kadangkala sebagai makhluk mereka tidak sempurna dan lemah terpaksa melakukan perkara yang tidak baik.

Mungkin ada di kalangan orang awam yang kurang bijak dalam menggunakan akal kurniaan Allah boleh terjerumus dalam kekeliruan dan melakukan perkara-perkara yang tidak baik secara berpanjangan, serta fitrah semula jadi yang ada dalam diri tidak dapat menggerakkan mereka ke jalan yang hak dan benar dengan mudah.

Dari aspek ini para ilmuwan agak berbeza. Mereka mungkin menjadi seperti orang awam kerana walaupun banyak ilmu, tetapi jarang ada yang terjerumus dalam kekeliruan dan melakukan perkara-perkara yang tidak baik secara berpanjangan.

Cuma jika ada yang nampak masih berdegil berada di pihak yang salah, ia adalah kerana mereka ada agenda politik.

Dengan itu tidak patut kita pesimis terhadap apa jua pendirian tidak baik yang diambil orang-orang tertentu terutama golongan berilmu berhubung banyak isu tidak benar yang dibangkitkan oleh pembangkang termasuk isu pemecatan seorang pemimpin politik yang rendah moral daripada kerajaan.

Kerana yang hak tetap hak dan yang benar tetap benar. Fitrah semula jadi suka yang hak dan benar yang wujud dalam diri manusia itu akan tergerak juga akhirnya. Perkara ini lebih jelas berlaku ilmuwan pembangkang yang mempunyai idealisme yang tinggi.

Dengan itu penulis tidak pernah kecewa dan putus asa berhujah mengenai perkara-perkara yang hak dan benar walaupun dikecam dan diancam dengan bermacam-macam cara.

Kini ramai ilmuwan pembangkang yang sudah menerima cahaya kebenaran. Cuma ada sedikit masalah iaitu keterlanjuran sesetengah mereka adalah sangat besar dan sukar bagi mereka untuk berpaling tadah sekurang-kurang dalam masa terdekat ini. Lagipun sesetengah mereka ini mempunyai agenda politik yang terpaksa terus-menerus memperjuangkan gagasan-gagasan yang telah disetujui di kalangan puak pembangkang. Jadi komitmen inilah menyebabkan mereka tetap berada di pihak yang salah atau mempertahankan perkara yang tidak hak dan tidak benar itu.

Namun begitu, penjelasan Timbalan Presiden Parti Keadilan Nasional (Keadilan), Dr. Chandra Muzaffar dalam wawancara dengan akhbar ini minggu lalu adalah satu contoh ilmuwan yang digerakkan oleh fitrah semula jadi dan sekali gus menyebabkan beliau kembali kepada idealisme perjuangan asalnya.

Kenapa Dr. Chandra kembali kepada idealisme perjuangan asalnya?

Jawapannya kerana beliau menolak di antara lainnya demonstrasi jalanan dan politik perseteruan sebagaimana dinyatakan secara tersurat dalam wawancara berkenaan.

Bagaimanapun, lebih banyak lagi dapat dikesan secara tersirat di sebalik wawancara terus terang beliau itu, apatah lagi jika dikaitkan dengan Dr. Chandra sebagai pemikir dan bukan Dr. Chandra sebagai ahli politik.

Penulis percaya bahawa sesiapa saja yang sentiasa mengikuti tulisan atau pemikiran Dr. Chandra sebelum beliau aktif dalam politik parti secara terang-terang akan dapat memahami perbandingan dua personaliti beliau.

Sebenarnya pemikiran Dr. Chandra ada banyak persamaan dengan pemikiran Dr. Mahathir.

Masih ramai ilmuwan barisan pembangkang, sama ada Pas mahupun Keadilan mempunyai idealisme perjuangan seperti Dr. Chandra.

Sebagai contoh ahli Parlimen Pas kawasan Tumpat, Kelantan, Datuk Kamaruddin Jaafar yang merupakan pemikir itu tidak mungkin menerima kenyataan-kenyataan naif sesetengah pemimpin Pas yang bergelar ulama.

Kamaruddin yang pernah menjadi Pengerusi Institut Kajian Dasar (IKD) sepatutnya berada dalam Keadilan dan bukan dalam Pas. Dia sentiasa meletakkan dirinya jauh daripada isu-isu kontroversi yang melibatkan beberapa pemimpin Pas yang bergelar ulama. Malah tindakan beliau memilih Pas dan bukan Keadilan ada hikmah sendiri dan orang yang berakal sudah tentu mengetahui mesej yang mahu disampaikan oleh beliau.

Begitu juga pemikir dan ilmuwan agama seperti bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Dr. Muhammad Manuty. Beliau yang banyak menghabiskan masa dalam kedai buku jika sempat membuat kunjungan ke mana-mana negara Arab itu akan mampu berenang membawa diri ke pantai walaupun dipukul taufan yang lebih besar daripada ribut politik yang melanda pada tahun 1998.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Abdul Halim Abdul Rahman yang merupakan cendekiawan agama berfikiran terbuka itu tidak berbeza daripada mereka yang tersebut di atas.

Ahli dewan undangan negeri Pas kawasan Gaal, Kelantan Dr. Nik Mazian bin Nik Mohamad yang terbilang lulusan perubatan Universiti al-Azhar itu pun tidak berkecuali. Beliau terkenal sebagai ahli politik Pas yang rasional.

Yang disebut di sini hanya beberapa nama ilmuwan pembangkang yang penulis yakin mereka mempunyai idealisme perjuangan yang tidak mudah luntur dan ia akan terserlah dengan lebih jelas suatu hari nanti.

Mereka ini pada pandangan penulis tidak mungkin sama sekali setuju dengan kekerasan, meminta pertolongan luar termasuk Yahudi, mencarut dan memaki, menghukum lawan dengan hukum agama yang berat dan mengkafirkan mereka dan macam-macam perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam, undang-undang negara, patriotisme bangsa dan kepentingan ummah.

Walaupun nampaknya mereka masih tidak dapat melawan ikon agama yang tercipta sekian lama ekoran meletusnya kebangkitan agama sejak tahun 1979 di mana tertampilnya orang tertentu sebagai pemimpin pergerakan Islam, ulama dan tok guru, tetapi satu hari nanti mereka akan dapat memecah ikon agama yang boleh membawa kepada kesyirikan yang ditegah dalam Islam itu.

Mereka inilah yang akan merasionalkan parti-parti pembangkang supaya menjadi parti yang berwibawa pada masa akan datang.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi