AGAMA

Utusan Malaysia 29 April 2001

1,001 KEMUSYKILAN

Oleh: DR. ABDUL HAYEI BIN ABDUL SUKOR
(Akademi Pengajian Islam

Andartu: Salah siapa?
SOALAN: Saya seorang gadis berusia 32 tahun, memiliki ijazah sarjana dalam pengajian kemasyarakatan, kini bertugas sebagai pegawai di sebuah kementerian. Saya selalu disindir keluarga dan rakan-rakan sepejabat kerana masih belum berpasangan. Kadang-kadang saya terfikir untuk menjauhkan diri daripada keluarga kerana saya difahamkan ibu bapa saya tertekan apabila masyarakat bertanya keadaan saya.

Persoalan saya, mengapa saya tidak bertemu jodoh? Adakah kerana saya berbadan tinggi dan mungkin kurang bergaya menyebabkan lelaki tidak menyukai saya atau kerana saya mempunyai tahap pencapaian akademik yang agak tinggi.

Sebagai seorang insan, saya juga ingin mendirikan rumah tangga dan berkeluarga, tetapi tanda-tanda positif belum kelihatan. Ditakdirkan tuan berada di tempat saya, apa yang harus tuan lakukan? - SITI, Alor Setar, Kedah.

Jawapan: Ruangan ini kerap menerima soalan tentang kelewatan gadis mendapat jodoh. Beberapa maklum balas telah diberi dan disiarkan dalam ruangan ini beberapa bulan yang lalu, antaranya bertajuk jodoh di tangan Tuhan, bercinta sebelum kahwin bawa padah dan agama tidak menyekat wanita mencari sendiri jodohnya. Tulisan ini mungkin ada relevan dengan kemusykilan anda.

Kali ini saya ingin perkukuhkan lagi apa yang saya bicarakan beberapa bulan yang lalu. Saya juga tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada anda kerana menghubungi ruangan ini untuk mendapatkan penyelesaian dan maklum balas yang agak munasabah.

Anda telah mengambil langkah yang boleh dianggap bijak apabila bertanya dan meminta pandangan secara terus terang untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Sila bertanya dan kemukakan masalah anda, ruangan ini sedia membantu dan mencari jawapan dan penyelesaian.

Merujuk kepada soalan anda, saya ingin menarik perhatian kepada beberapa aspek berikut: Usia 32 tahun sebenarnya tidak begitu lanjut terutama bagi gadis-gadis yang berpendidikan tinggi dan memegang ijazah sarjana. Bagi seorang wanita, usia ini belum boleh disifatkan sebagai ketinggalan kereta api sepenuhnya. Kelewatan bertemu jodoh hingga menjangkau usia 32 tahun tentu ada sebab-sebabnya yang tersembunyi dan yang diketahui. Allah juga yang sebenarnya Mengetahui.

Teringat saya kepada peristiwa yang berlaku kepada Hafsah binti Umar yang kelewatan mendapat jodoh setelah kematian suaminya walaupun bapanya telah menawarkan kepada Abu Bakar dan Uthman untuk dikahwinkan tetapi mereka hanya diam membisu seribu bahasa tanpa menyatakan sama ada menolak atau menerima. Rupa-rupanya kelewatan itu ada hikmah di sebaliknya apabila Rasulullah s.a.w. sendiri datang bertanya untuk mengahwininya. Mungkinkah anda juga seperti Hafsah. Belum tentu tidak!

Peristiwa itu juga memberi suatu iktibar bahawa Umar sebagai bapa kepada Hafsah berusaha sendiri mencari suami anaknya. Ia tidak menunggu dan menerima sahaja siapa yang datang, sebaliknya menawarkan anaknya kepada siapa yang berminat. Jika masyarakat Islam di negara ini tidak menerima cara itu kerana aib dan memalukan, maka cara menunggu buah yang tidak diketahui bila akan gugur adalah suatu kelemahan.

Mencari jodoh seperti juga mencari harta, kedua-duanya rezeki yang ditentukan Allah, tiada siapa pun dibenar mencampuri urusan-Nya. Pengalaman menunjukkan kejayaan bertemu jodoh tidak berkaitan sangat dengan kecantikan tubuh badan dan rupa paras seseorang gadis. Bentuk badan yang berbeza seperti gemuk, kurus, tinggi, rendah, warna kulit gelap atau cerah pasti ada peminatnya. Teringat saya kepada pepatah Arab yang mengatakan likulli saqitah laqitah (ertinya, di mana ada bunga di sana ada kumbangnya).

Perhatikan sahaja kepada pasangan yang ada sekitar kediaman dan tempat kerja anda, adakah orang yang berkahwin itu semuanya cantik atau yang ketinggalan kereta api itu semuanya buruk rupanya. Sebenarnya tidak, bahkan ada yang rupanya kurang cantik tetapi lebih dahulu bertemu jodoh, sedangkan yang cantik rupawan pula terpaksa menunggu hingga hampir-hampir ditinggalkan kereta api ataupun terus ketinggalan.

Anggapan bahawa masalah anda boleh diselesaikan hanya dengan berkahwin, sementara jalan-jalan alternatif yang lain semuanya ditutup atau sengaja diabaikan, adalah salah dan tidak benar. Kadang-kadang jalan alternatif itu lebih baik dan memuaskan pengguna, kerana seperti yang diketahui umum, bukan semua perkahwinan itu baik dan bukan semuanya buruk. Perkahwinan pada hakikatnya adalah suatu ujian Allah untuk melihat siapa yang berjaya dalam ujian itu dan siapa pula yang gagal, siapa yang sanggup menjalani tanggungjawab sebagai ibu dan bapa dan siapa pula sebaliknya.

Saya berpendapat, kahwin dan seterusnya memperoleh anak-anak dan keturunan, sama kedudukannya dengan seorang pemimpin yang memegang kuasa memerintah dan mentadbirkan negara. Kuasa mentadbir memang suatu penghormatan yang membanggakan, tetapi tanggungjawab yang dipikulnya lebih besar daripada penghormatan yang diperoleh daripadanya. Hakikat ini disedari semua pemimpin yang berpandangan jauh.

Dari aspek yang lain pula, anda perlu sedar bahawa tanggungjawab memakmurkan bumi dan negara menjadi tujuan utama semua insan. Tanggungjawab ini boleh disempurnakan melalui pelbagai cara seperti belajar dan mengajar, mendidik dan membantu manusia yang kurang upaya, memelihara warisan tamadun Islam supaya sentiasa kekal dan berguna serta melaksanakan kerja-kerja sosial. Semua ini adalah bidang yang tidak pernah luput masanya.

Penglibatan dalam bidang sosial ini merupakan jalan-jalan alternatif yang boleh menyampaikan seseorang kepada matlamat yang sama dengan pengguna laluan perdana. Tatkala Rasulullah s.a.w. membilang amalan yang berkekalan pahalanya kepada manusia selepas mati, dibilangnya tiga perkara iaitu sumbangan derma yang faedahnya berterusan, ilmu yang berguna dan anak soleh yang berdoa kepada ibu bapanya.

Anda sebagai seorang pegawai profesional dalam bidang kemasyarakatan dan pemegang ijazah sarjana, tentunya tidak keberatan untuk menabur khidmat kepada masyarakat. Nasihat saya sebagai seorang yang mempunyai sedikit sebanyak pengalaman di bidang kaunseling ini ialah anda tidak terburu-buru mendapatkan suami, bertenang dan sedia menerima calon suami yang munasabah. Ketika hidup bersendirian, jadikan diri sebagai burung yang kempis perutnya ketika keluar waktu pagi tetapi sarat dengan ilmu ketika pulang waktu petang.

Bersuami ada baik dan buruknya, demikian juga membujang sepanjang hayat. Anda boleh menimbang dengan fikiran terbuka jika saya katakan hidup membujang juga kadang-kadang membahagiakan, bahkan hidup berpasangan juga sering mencelakakan. Tokoh-tokoh besar dalam Islam seperti Jalal al-Din al-Suyuti reformis Islam abad ke-10 Hijrah dan Imam al-Nawawi ahli hadis yang terkenal abad ke-7 Hijrah adalah antara ilmuwan Islam yang tidak memilih perkahwinan sebagai jalan membahagiakan hidup mereka. Selain mereka, ramai lagi ilmuwan yang membujang sepanjang usia.

Saya tidak pasti apakah aktiviti yang anda lakukan di luar waktu pejabat dan pada hari-hari minggu. Saya berpendapat, sangat baik jika anda penuhkan masa kosong dengan aktiviti kemasyarakatan. Anda yang berkelulusan sarjana dalam bidang kemasyarakatan tentu lebih tahu bidang dan bentuk aktiviti yang perlu disumbangkan.

Kepala yang selalu dibiar kosong lebih merupakan tempayan yang tidak berisi. Jika ia tidak dipenuhi segera dengan barang-barang bermutu, kekosongannya akan diisi dengan sampah sarap. Oleh itu, pemikiran anda jangan sekali-kali dibiar mengelamun dengan permasalahan kahwin yang tidak diketahui di mana noktahnya. Saya berpendapat, anda yang mempunyai tugas dan jawatan dalam kerajaan tidak mempunyai masalah untuk mengisi masa lapang dengan pekerjaan yang sesuai dan mendatangkan manfaat.

Perlu dinyatakan juga, mungkin ramai wanita yang tidak faham psikologi pemuda dan belia di negara ini, khususnya orang Melayu. Mereka takut dan bimbang kepada gadis dan keluarganya yang mudah menolak calon yang sedia melamar, mereka malu jika nanti hasrat tidak kesampaian atau lamaran tidak bersambut. Gadis dan keluarganya pula ada yang mencagarkan rupa paras yang cantik untuk menentukan bakal suami.

Gadis-gadis harus mengambil iktibar bahawa mereka jangan terlalu memilih calon suami. Rupa paras yang cantik dan bergaya belum menjamin kehadiran calon pada waktu yang dikehendaki, kadang-kadang gadis yang rupawan lebih dibimbangi daripada yang sederhana rupanya.

Walaupun artikel ini lebih banyak menumpukan masalah andartu kepada faktor-faktor dalaman dan keluarga, ia tidak bermakna bahawa faktor luaran tidak mempunyai hubungan untuk menyelesaikan masalahnya. Andartu merupakan satu penyakit wanita yang tidak boleh dirawat sendiri, kecuali doktor yang simpati dengannya. Al-Quran pernah mengarahkan pihak-pihak yang bertanggungjawab supaya mencari jalan untuk memberi pasangan kepada anak-anak mereka yang berpasangan (maksud surah al-Nur, ayat 32).

Institusi masyarakat dan badan-badan kerajaan juga harus dipersalahkan atas kealpaan mereka, untuk menjadi mata dan telinga kepada anak-anak yang belum kahwin sehingga ketinggalan kereta api. Bukankah mereka mempunyai suara dan pengaruh dalam masyarakat dan mengapa pengaruh itu tidak digunakan bagi menyelamatkan penghidap penyakit hidup membujang secara paksa.

Fenomena suka berbelanja besar untuk melangsungkan sesuatu perkahwinan seperti mengadakannya di hotel-hotel bertaraf lima bintang dan menyewa hotel mewah yang hanya mampu dilakukan oleh golongan atasan, patut dihentikan segera kerana pembaziran seumpama itu tidak mampu dituruti rakyat yang bertaraf sederhana, lagipun ia tidak sesuai lagi dalam suasana kemerosotan ekonomi yang melanda negara.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi