AGAMA

Utusan Malaysia 29 April 2001

Rasa kecewa dalam kehidupan

Oleh: DR. AMRAN KASIMIN
SOALAN: Saya dibela oleh nenek sehingga tingkatan lima. Ibu bercerai dan hidup sendirian. Dia sering meluahkan perasaan dan tidak suka saya lebih-lebih lagi apabila saya gagal ke universiti, tidak seperti adik-beradik lain. Ayah hidup dengan isteri baru, bekerja dengan kerajaan dan memberi belanja sekolah saya.

Saya ke Kuala Lumpur dan akhirnya berkahwin tetapi hanya bertahan 13 tahun dan mendapat tiga orang anak. Akhirnya saya menemui seorang lelaki ternama, alim, mempunyai isteri dan dia berjanji akan mengahwini saya.

Dunia saya terasa cerah, tetapi setelah tiga tahun, dia masih berdolak-dalik. Isterinya masih tidak setuju. Gaji tidak cukup, anak-anak sedang membesar perlu belanja yang banyak, pada hal gajinya lebih daripada sepuluh ribu ringgit.

Dia selalu bercakap tentang agama menyebabkan orang begitu tertarik, begitu juga saya. Saya sedar yang saya hanya menjadi tempat dia meluahkan perasaan kecewa dalam rumah tangganya. Saya sedar siapa saya yang sebenar. Kalau tidak kerana Allah s.w.t, saya sudah tidak ada lagi. Hanya Allah yang saya ada. Salahkah saya inginkan mati? Salahkah apa yang saya lakukan selama ini. - RUNSING, Perak.

JAWAPAN: Saudari adalah salah seorang insan mangsa perceraian suami isteri, dibela oleh nenek, yang menganggap apa yang ditanggung olehnya sebagai beban. Setelah bercerai, si bapa berkahwin lain. Anak-anak yang lain dibela oleh ibu yang serba kekurangan dan dalam keadaan tertekan. Tekanan yang terus-menerus mengasak diluahkan kepada saudari setiap kali mengunjunginya.

Jelas, biarpun wang dan belanja sekolah diberi, tanpa kasih sayang daripada ibu bapa, hidup hakikatnya tidak sempurna. Manusia normal perlukan perbelanjaan untuk hidup dan dalam masa yang sama perlukan kasih sayang.

Laluan saudari memedihkan, biarpun peristiwa seperti ini sebenarnya banyak berlaku malah tidak kurang mereka yang mengalami penderitaan yang lebih teruk. Sepatutnya, peristiwa seperti ini perlu dijadikan iktibar bagi membolehkan seseorang itu lebih berhati-hati bertindak sama ada ketika memilih pasangan baru atau dalam urusan kehidupan seharian.

Lelaki yang benar-benar hendak berkahwin lagi, biarpun telah sedia mempunyai isteri yang taat, dia akan berusaha untuk mencapai cita-citanya. Dengan cara memujuk, mengancam dan sebagainya.

Meminta si isteri menurunkan tandatangan biarpun dengan menipu, lari bersama perempuan kahwin di sempadan dan sebagainya. Ada kes yang melibatkan perkahwinan melalui sindiket palsu, kahwin hanya dinikahkan oleh abang kepada si perempuan yang dihadiri oleh saksi-saksi yang dirancang dan sebagainya.

Begitu juga dengan orang yang tidak mahu berkahwin. Bagi orang yang masih bujang, faktor umur boleh dijadikan alasan, masih terlalu muda, belum matang, duit tidak cukup dan yang paling teruk sekali ialah alasan emak tidak setuju.

Persoalan timbul, kenapa alasan yang emak tidak setuju diberi hanya setelah empat, lima tahun dilamun cinta. Kenapa tidak diberitahu lebih awal, supaya si perempuan boleh cepat-cepat cari pasangan lain. Tidak jelas sama ada alasan yang diberi itu betul atau hanya alasan semata-mata setelah puas dan jemu bercinta dan jumpa orang lain yang dirasakan lebih baik.

Begitu juga halnya bagi orang tua-tua atau dewasa yang telah beristeri dan mempunyai deretan anak. Nafsu hendak berkahwin lagi ada tetapi masih banyak yang perlu difikiri termasuk prestij diri. Biarpun Islam mengharuskan poligami namun pandangan orang ramai terhadap lelaki yang berkahwin lebih daripada satu masih tetap sebagai sesuatu yang agak luar biasa. Kerana itu sebahagian orang akan merahsiakan perkahwinannya yang terbaru.

Apabila pemahaman mengenai poligami menjadi sedemikian rupa, mereka yang hendak berpoligami perlu berfikir banyak kali, lebih-lebih lagi apabila si suami sedar apa yang akan dilakukan oleh si isterinya yang akan menimbulkan kekecohan rumah tangga. Apabila ini berlaku, prestasi diri di mata masyarakat, di mata pekerja dan pegawai-pegawai di bawah pengawasannya, akan terjejas.

Bercinta tidak ubah seperti bermain api. Kecil jadi kawan, besar menjadi lawan. Bagi orang yang berada dalam keadaan seperti saudari, bermasalah sejak kecil, sejak dibela oleh nenek, tanpa kasih sayang sewajarnya daripada ayah dan ibu, berkahwin, berpisah setelah 13 tahun berkahwin, andainya saudari mempunyai daya fikir normal apa yang berlaku bukan lagi sesuatu yang luar biasa.

Saudari memerlukan tempat berlindung. Tempat mengadu susah dan senang. Tempat berkasih sayang dan sebagainya apatah lagi ketika usia sedang menapak mencari hari tua. Apabila ada lelaki yang mengambil berat, saudari merasakan hidup yang penuh dengan pelbagai rintangan itu terasa cerah kembali, tidak kira sama ada orang yang ditemui itu jujur atau setakat bermain lidah.

Inilah yang dikatakan ``bermain api'' tadi. Apabila dirasakan yang saudari begitu serius, dia menyedari hakikat dirinya. Sedar setakat mana api yang sedang membara itu sedia menyambar mana-mana bahagian badan. Dari sinilah timbulnya pelbagai helah. Mula-mula sekali dia akan menjauhkan diri, menyebabkan pertemuan atau telefon berdering tidak sekerap dahulu. Izin isteri dikatakan mesti diberi, apatah lagi di sesetengah negeri di Semenanjung mensyaratkan keizinan isteri sebagai kepastian untuk berpoligami.

Berturutan dari sini maka timbullah alasan duit tidak cukup, anak sedang membesar dan sedang belajar luar negara dan sebagainya. Ketika itu perihal ketidakharmonian dengan isteri masih tetap dicurahkan semata-mata untuk meraih simpati yang tersembunyi juga untuk memperlihatkan bahawa cita-citanya untuk mengahwini saudari tetap utuh tidak luntur sedikit pun.

Helah seperti ini memberi implikasi besar bagi mangsanya iaitu saudari. Walaupun demikian saudari terpaksa menerimanya dengan cekal seperti biasa, natijah daripada penderitaan ataupun tekanan diri yang berterusan selama ini. Apa yang berlaku dianggap sebagai salah satu daripada penderitaan yang sedia ada.

Walaupun demikian, sebagai manusia biasa akan timbul rasa tidak percaya kepada lelaki biarpun tidak kesemua. Tidak mudah untuk mencari manusia yang ikhlas. Dari sinilah lahirnya manusia yang kembali kepada Allah s.w.t. Menyesali kesilapan lalu, memohon pertolongan-Nya dengan melakukan sembahyang taubat, tahajud, tasbih, witir dan sebagainya. Tidak ada tempat berlindung selain daripada Allah.

Memang benar kata-kata yang lahir daripada orang yang dianggap ``alim'', lebih-lebih lagi luahan yang lahir daripada orang yang terkenal namanya boleh mempesonakan. Walaupun demikian, saudari perlu sedar terdapat perbezaan besar di antara orang yang berilmu dan alim menurut istilah syarak.

Ada golongan manusia yang bijak bercakap dan berilmu. Golongan lain ialah manusia yang bijak bercakap tetapi tidak berilmu. Ada pula manusia yang tidak pandai bercakap, tetapi berilmu. Golongan lain ialah orang yang tidak berilmu dan tidak pandai bercakap.

Orang yang bijak berkata-kata termasuk memberi nasihat, berilmu agama tidak semestinya dia seorang yang alim. Orang yang alim ialah mereka yang berilmu (pakar), mempunyai sifat warak, zuhud dan takwa.

Allah s.w.t ada berfirman seperti yang tersebut dalam al-Quran (XXXV: 28): Hanya sanya di antara hamba-Nya yang takut kepada Allah ialah ulama.

Jelas, ilmu agama yang dimiliki, bidang ilmu yang dipelajari dan kepakaran yang dimiliki tidak menjadi faktor utama seseorang itu patut digelar alim dan ulama.

Ternyata seorang pakar ilmu jiwa, seni bina atau pakar bidang ilmu apa sekalipun yang berkaitan dengan Islam termasuk golongan alim atau ulama, sekiranya mereka takutkan Allah s.w.t.

Walaupun demikian, perlu diingat seseorang itu tidak akan mencapai sifat warak, zuhud dan takwa kecuali dia tahu hukum-hakam Islam dan mempraktikkannya. Ketiga-tiga sifat ini tidak akan wujud kecuali apabila orang yang berkenaan pakar dalam bidang Islam dan mengamalkan ajarannya.

Allah s.w.t memerintahkan setiap orang Islam itu agar menepati janji (an-Nahl: 91, al-Maidah: 1, al-Israk: 34). Dalam surah as-Saff: 2-3 dijelaskan: Amat besar dosa (murka) di sisi Allah kerana ucapan kalian yang tidak disertai perbuatan.

Rasulullah s.a.w bersabda: Tanda munafik itu tiga, apabila berbicara dusta, apabila berjanji, diingkari dan apabila diberi kepercayaan ia khianat - Riwayat Bukhari dan Muslim.

Orang yang takutkan Allah, mempunyai sifat warak zuhud dan takwa yang termasuk dalam golongan orang yang alim tidak akan mempermainkan kita untuk berdusta, termasuklah janji-janji untuk mengahwini seseorang. Lelaki yang saudari temui ini sebenarnya telah mengambil kesempatan ke atas penderitaan yang saudari alami. Sebagai orang yang bertamadun, dewasa, ada nama dan kaya kalau dia tidak boleh simpati atau membantu orang lain, janganlah dia tambahkan derita orang lain. Kerana itu saudari perlu belajar. Apa yang berlaku pada diri kita, ia tidak wajar diberitahu kepada orang lain, kecuali orang yang dipercayai.

Mengenai penderitaan, Rasulullah s.a.w menjelaskan agar seseorang itu tidak mengharap mati akibat kesusahan hidup yang menimpa, walaupun andainya dia perlu berbuat demikian kerana agamanya terancam misalnya, dia perlu berdoa yang bermaksud: Ya Allah, panjangkan hidupku selama hidupku membawa kebaikan bagiku dan matikan sahaja aku andainya ternyata kematian itu lebih baik untukku - Riwayat Bukhari dan Muslim.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi