AGAMA

Utusan Malaysia 29 April 2001

Jangan jejaskan hubungan Islam dan bukan Islam

Oleh: MOHD. SHUKRI HANAPI
PERSEKITARAN yang kondusif adalah penting bagi melahirkan sifat akomodatif orang bukan Islam terhadap keinginan kita untuk mengamalkan ajaran Islam.

Persekitaran kondusif yang disebut di atas hanya akan lahir jika masyarakat bukan Islam diberi peluang untuk memahami hakikat Islam yang sebenar.

Apabila umat Islam berjaya mempamerkan keindahan Islam dalam bentuk sumbangan yang konstruktif terhadap kepentingan bersama, masyarakat bukan Islam akan lebih bersimpati terhadap keperluan kita. Bahkan mereka akan merasa satu kerugian jika keperluan tersebut tidak diperuntukkan.

Contoh semasa yang dapat diberikan ialah penyediaan surau ataupun ruang solat di dalam bangunan pusat beli-belah di negara kita yang dimiliki orang bukan Islam. Begitu juga dengan para peniaga bukan Islam di Malaysia yang cenderung memohon untuk diiktirafkan produk mereka sebagai halal. Mereka semua akan merasa rugi jika keperluan kita itu tidak mereka penuhi.

Skop kepentingan bersama ini juga dapat kita luaskan kepada berbagai aspek lain dalam kehidupan di platform nasional.

Pihak pemerintah sendiri telah melahirkan keprihatinan mereka terhadap penyisihan sosial (social exclusion) masyarakat Melayu seperti tiada perwakilan Melayu yang secukupnya dalam arena penting kehidupan.

Kekhuatiran ini menggambarkan bahawa penyisihan masyarakat Melayu daripada arus nasional akan merugikan masyarakat Malaysia dan akan menjejaskan perkembangan sosial Malaysia.

Contoh mudah sering berlaku ialah apabila majlis tertentu yang melibatkan kakitangan Islam dimulakan pada jam tujuh malam. Kakitangan Islam merasakan bahawa ini adalah satu tindakan yang tidak mengambil peduli akan keperluan untuk menunaikan solat.

Mereka terpaksa menarik diri daripada menghadiri majlis tersebut semata-mata untuk mengelak daripada terlepas waktu solat. Sementara itu, mereka yang bukan Islam pula merasa hairan mengapa ramai kakitangan dan tetamu Islam sering memberi sambutan dingin terhadap majlis-majlis mereka.

Perkembangan ekstrem yang mungkin muncul ialah kecurigaan masyarakat bukan Islam kepada kesungguhan orang Islam untuk menjalin hubungan mesra dengan mereka. Bagi pihak lain pula, orang Islam berprasangka masyarakat bukan Islam sengaja tidak mahu memenuhi keperluan orang Islam.

Maka jelaslah bahawa jurang kefahaman yang luas telah membangkitkan satu keadaan tegang dan tidak sihat. Sebenarnya jurang kefahaman antara agama ini boleh diselesaikan dengan adanya sikap saling memahami antara satu sama lain dan juga melalui perbincangan-perbincangan antara kedua-dua belah pihak.

Kita boleh memanfaatkan orang bukan Islam walaupun dalam kerja dakwah sekiranya tiada kemudaratan daripada kerjasama tersebut. Terdapat banyak contoh sirah, Rasulullah s.a.w sendiri telah melakukan sedemikian bagi kepentingan Islam.

Antara kisah yang boleh kita contohi ialah seorang kafir melindungi Rasulullah s.a.w daripada ancaman kaum Quraisy apabila baginda dihalang daripada memasuki kota Mekah setelah kembali daripada berdakwah di Taif.

Contoh lain ialah perlindungan Raja Habsyah yang beragama Nasrani kepada para sahabat yang berhijrah ke sana untuk lari daripada ancaman kaum Quraisy. Selain itu ialah khidmat penunjuk jalan seorang bukan Islam kepada Rasulullah dalam perjalanan hijrah beliau ke kota Madinah.

Pelbagai pakatan dibuat oleh Rasulullah dengan orang bukan Islam termasuk dalam peperangan melawan orang kafir bagi menjaga kepentingan bersama.

Yang paling jelas adalah perlindungan yang diberikan oleh Abu Talib kepada dakwah Rasulullah s.a.w daripada ancaman Quraisy sepanjang hayatnya.

Semua ini menunjukkan bahawa walaupun berterusan sentimen memusuhi dan memerangi Islam, kita disuruh bersikap sederhana dan tidak bertindak sehingga kehilangan sumber bukan Islam yang berpotensi untuk menjayakan misi Islam yang sememangnya bersifat kebaikan bagi manusia sejagat.

Sirah di atas menunjukkan kepada kita bahawa di kalangan orang bukan Islam, ada yang mampu menjadi aset penting bagi dakwah sekiranya tidak mendatangkan kemudaratan kepada agama. Oleh yang demikian, antara strategi dakwah yang harus kita lakarkan ialah meraih manfaat yang sepenuhnya daripada golongan tersebut.

Sebarang pendekatan yang berbentuk konfrontasi dan agresif hanya akan melahirkan lebih banyak kecurigaan dan melebarkan jurang kefahaman antara Islam dan bukan Islam.

* Mohd. Shukri Hanapi adalah pegawai penyelidik di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi