AGAMA

Utusan Malaysia 04 Mei 2001

Tuntutan ibadah dan tanggungjawab bekerja

Wacana Islam
TANGGAL 1 Mei yang disambut oleh golongan pekerja setiap tahun merupakan satu anugerah bagi menilai dan merancang ke arah meningkatkan daya produktiviti dan daya saing dalam persekitaran ekonomi.

Keperluan bekerja semestinya difahami dari sudut yang lebih luas iaitu dari perspektif Islam yang menjadi tunjang kepada kehidupan manusia seluruhnya. Dalam konteks ini, kesibukan dalam mengejar harta atas apa tujuan sekalipun, tidak sewajarnya kita mengetepikan agama dan segala tuntutannya sebagai asas kepada kegiatan perekonomian dan keusahawanan.

Allah s.w.t telah menjelaskan dalam surah al-Nur : 37 yang bermaksud :

Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan solat serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.

Tanpa mengetepikan peri pentingnya asas-asas Islam dari aspek akidah, akhlak dan pendidikan, Islam menuntut agar umatnya mempertingkatkan kegiatan ekonominya yang merupakan salah satu sendi kekuatan ummah. Apatah lagi dengan cabaran dan tuntutan semasa yang semakin hebat yang menuntut kepada kestabilan dan kekuatan ekonomi sama ada di peringkat individu, keluarga, ummah dan juga negara.

Sehubungan itu, syariat Islam mewajibkan seseorang Muslim untuk berusaha mengambil beberapa pertimbangan. Pertama, seorang Muslim harus bekerja untuk dirinya sendiri dengan mencari makan dan memenuhi keperluannya secara halal. Dengan bekerja, dia dapat menjaga maruah dirinya daripada meminta-minta dan memuliakan tangannya agar tidak selamanya berada di bawah (menerima pemberian). Oleh sebab itu, Islam mengharamkan amalan meminta-minta yang bukan didorong oleh keperluan yang mendesak.

Keduanya, seseorang sama ada lelaki atau wanita harus bekerja untuk memenuhi keperluan keluarganya, sesuai dengan kemampuan masing-masing.

Di samping itu, menurut Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Dawru al-Qiyam wa al-Akhlak fi al-Iqtisad al-Islamiy (Peranan Nilai dan Akhlak Dalam Ekonomi Islam), seseorang itu juga harus bekerja untuk masyarakat di sekeliling, andainya dia merasa tidak perlu bekerja untuk diri sendiri atau untuk keluarga kerana kekayaan yang melimpah ruah yang dimilikinya.

Inilah salah satu nilai yang menarik perhatian para ulama Islam. Justeru, mereka berpendapat bahawa jika ditinjau dari sudut pandangan ini, usaha dan bekerja untuk kepentingan duniawi merupakan kewajipan agama. Ini disebabkan manusia tidak akan dapat mendirikan ibadah kecuali dengan menyelesaikan keperluan-keperluan hidupnya terlebih dahulu.

Iman mendidik seorang mukmin untuk tidak hanya bekerja atas dorongan peribadi semata-mata, tetapi yang menjadi perhatiannya adalah bagaimana untuk meningkatkan kualiti pekerjaannya. Semua itu didasari oleh perasaan yang penuh yakin dan pasti bahawa Allah mengawasi pekerjaan kita dan Allah melihat sama ada kita berada di tengah ladang atau di dalam premis yang tertutup.

Perkataan pekerjaan itu sendiri bermaksud apa jua pekerjaan, sama ada pekerjaan yang bersifat duniawi mahupun ukhrawi. Terdapat pula dua jenis perlakuan yang menjadi asas kepada kebaikan dalam pekerjaan dan pengeluaran iaitu amanah dan ikhlas. Kedua-duanya bersatu dalam diri seorang mukmin dalam bentuk yang sempurna.

Senario yang sering berlaku adalah sekian banyak organisasi awam, syarikat dan badan-badan tertentu menghadapi masalah walaupun pada zahirnya kelihatan teguh. Kita juga biasa melihat bahawa pekerjaan yang sepatutnya dapat disiapkan dalam sehari ternyata gagal disiapkan mengikut yang dijanjikan. Punca semua ini tidak lain ialah lenyapnya nilai-nilai amanah dan keikhlasan dari dalam jiwa sebahagian manusia. Mereka tidak pernah mengharapkan keredhaan Allah dan tidak pernah memikirkan hari akhirat.

Iktibar daripada fenomena tersebut, marilah kita berbalik kepada fitrah kejadian kita sebagai makhluk pilihan Allah. Sebagai negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi dan dianuti oleh majoriti penduduknya, kedudukan dan penglibatan ekonomi umat Islam masih jauh ketinggalan. Bertitik tolak daripada itu, pihak kerajaan melalui agensi-agensi sokongannya perlu memfokuskan kepada beberapa aktiviti tertentu sebagai pemangkin dan penggerak untuk mengajak masyarakat pekerja beragama Islam di Malaysia untuk sama-sama memartabatkan taraf hidup umat Islam hingga mampu menerajui pelbagai sektor dan institusi selaras dengan tugas yang dipikul oleh umat Islam sebagai khalifah Allah di muka bumi.

Berpegang kepada falsafah `langkah seribu pasti bermula dengan langkah yang satu,' maka diharapkan segala usaha yang dijalankan dapat menjana kesedaran atau sebagai jalan keluar ke arah penyelesaian kepada halangan yang dihadapi bagi merangka pelan tindakan demi memastikan pegangan dan penguasaan ekonomi yang lebih mantap di kalangan umat Islam melalui penglibatan dalam sektor-sektor ekonomi yang munasabah dan menepati tuntutan Islam.

AHMAD TARMIZI ZAKARIA ialah Koordinator Unit Pengajian Islam dan Bahasa Arab, Kolej INPENS Yayasan Selangor.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi