AGAMA

Utusan Malaysia 05 Mei 2001

Kembali kepada agama hadapi budaya tamak

KUALA LUMPUR 4 Mei - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, sudah tiba masanya bagi rakyat negara ini kembali kepada agama dalam menghadapi budaya tamak yang jika tidak dibendung akan memusnahkan negara.

Menurut Perdana Menteri, kembali kepada agama bukan hanya memperbaharui kepercayaan tetapi kembali kepada prinsip agama yang sentiasa mengutuk sifat tamak dan mengajak golongan kaya membantu golongan miskin.

Beliau khuatir dunia yang dulunya dikuasai oleh komunisme dan sosialisme kini beralih ke sistem kapitalisme yang penuh dengan ketamakan dan mementingkan kekayaan.

``Kapitalisme yang dulu terpaksa berbaik-baik dengan komunisme dan sosialisme untuk menyelamatkan diri mereka, kini menjadi tamak. Mengaut kekayaan bagi mereka adalah sah dan dihormati,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Agung The World Evangelical Fellowship di sini, malam ini.

Menurut Perdana Menteri, dunia menerusi gabungan sumber pemberian Tuhan dan kebijaksanaan manusia dari segi teknologi tidak akan menjadi sekaya seperti sekarang ini.

Katanya, justeru tidak perlu bagi sesiapa pun untuk mengaut semua pemberian Tuhan dalam usaha menjadi kaya.

``Sebenarnya apa yang ada mencukupi untuk kita semua berkongsi,'' tegasnya.

Kemiskinan pada zaman ini, jelas beliau, tidak boleh dimaafkan dan memalukan pada ketika manusia mencapai peringkat peringkat tamadun seperti sekarang ini.

Beliau berkata, tidak ada seorang pun yang sepatutnya menjadi miskin jika ada di antara manusia yang tidak bersikap sebegitu tamak.

``Yang pasti yang kaya tidak sepatutnya mencuri daripada yang kaya untuk menjadikan diri mereka lebih kaya,'' katanya.

Menurut Perdana Menteri lagi, sebagai sebuah negara pelbagai kaum adalah berguna kepada pemimpin-pemimpin agama di negara ini untuk melihat semula peranan mereka ke arah membangunkan masyarakat menuju ke era baru.

Justeru, kata Dr. Mahathir, sumbangan paling besar yang boleh dimainkan oleh pemimpin agama ialah mempromosikan toleransi di kalangan pengikut masing-masing.

Beliau mengambil contoh bagaimana pemimpin agama utama di negara ini boleh merapatkan semangat kejiranan dan hubungan kekeluargaan dengan memberi penekanan kepada nilai-nilai murni menerusi kegiatan yang dianjurkan.

Perdana Menteri turut berharap para pemimpin agama dapat menubuhkan pasukan kerja antara agama di pelbagai peringkat dalam masyarakat.

Langkah ini, katanya, berguna untuk meningkatkan persefahaman bersama, mewujudkan komunikasi, kesedaran dan penerimaan tanggungjawab antara kaum, apabila seseorang itu menganut agama lain oleh apa-apa faktor sekali pun.

``Sensitiviti terhadap kepercayaan kaum lain perlu diberi keutamaan. Islam sendiri menjelaskan bahawa umatnya mesti menerima hakikat bahawa orang lain boleh mempunyai kepercayaan sendiri dan beribadat mengikut cara mereka,'' katanya.

Dr. Mahathir menegaskan, seperti juga umat Islam perlu menerima hak orang lain untuk menganut agama masing-masing, penganut agama lain juga mesti menghormati hak umat Islam untuk berbuat demikian.

Menurut Perdana Menteri, dalam usaha masyarakat untuk kembali kepada agama, generasi muda sepatutnya menjadi sasaran utama dalam usaha untuk untuk melindungi dan memulihara toleransi antara agama.

Kanak-kanak di peringkat tadika, jelas beliau, kebiasaannya bebas daripada sikap berat sebelah dan prejudis, justeru tidak ragu untuk belajar dan bermain bersama walaupun berlainan bangsa dan agama.

``Mereka selalunya berjalan bersama tanpa sedikit pun perasaan tidak percaya atau tidak selamat. Mereka juga merupakan contoh terbaik wujudnya konsistensi antara toleransi dan keamanan,'' katanya.

Bagaimanapun kata Dr. Mahathir, keadaan itu tidak kekal lama apabila generasi muda ini dipengaruhi oleh ibu bapa dan suasana keliling yang turut membentuk minda mereka.

``Dan ini akan menimbulkan sikap prejudis yang selama ini tidak pernah mereka kenal,'' katanya.

Dr. Mahathir turut mengakui mengenai tuntutan agama yang mewajibkan para pemimpinnya menyebarkan kepercayaan kepada orang lain tetapi ia harus dilakukan secara berhati-hati bagi mengelak timbulnya konflik atau keganasan di kalangan masyarakat.

Keadaan seumpama itu, jelas beliau, akan hanya mewujudkan suasana di mana agama tidak boleh berkembang.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi