AGAMA

Utusan Malaysia 05 Mei 2001

Proses seragam perundangan Islam selesai

Proses seragam perundangan Islam selesai

KUALA LUMPUR 4 Mei - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Rais Yatim berkata, pihaknya telah selesai melaksanakan proses penyeragaman undang-undang Islam di negara ini.

Perkara tersebut jelas beliau, kini diuruskan oleh Menteri di JPM yang mengendalikan hal ehwal agama Islam iaitu, Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, di peringkatnya, beliau bertanggungjawab memastikan usaha penyeragaman berjalan lancar dan tidak bercanggah dengan undang-undang sivil.

``Bagaimanapun masih terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi oleh Menteri berkenaan terutamanya bagi kes yang melibatkan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas usaha penyeragaman pentadbiran dan perundangan Islam di negara ini yang menjadi perbincangan hebat berikutan wujudnya perbezaan dari segi interpretasi, prosedur pelaksanaan dan hukuman antara undang-undang pentadbiran Islam di negeri-negeri.

Kerajaan Pusat telah melaksanakan pelbagai usaha untuk menyelaraskan undang-undang Islam di seluruh negara dan salah satu daripada usaha itu ialah menggubal draf Undang-Undang Pentadbiran Islam untuk diterima pakai di setiap negeri di seluruh negara.

Jelas Rais, di peringkat negeri, usaha penyeragaman undang-undang itu perlu mendapat kelulusan Majlis Raja-Raja terlebih dahulu sebelum dilaksanakan.

``Di peringkat saya, mereka yang menyelewengkan agama boleh dihadapkan ke muka pengadilan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan mereka yang menyalahgunakan agama boleh didakwa di bawah kanun keseksaan,'' jelasnya.

Katanya, sekiranya terdapat aduan polis dibuat mengenai dakwaan wujudnya penyelewengan agama dalam amanat Hadi, pihak tersebut boleh diambil tindakan mahkamah di bawah kanun keseksaan itu.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi