AGAMA

Mingguan Malaysia 06 Mei 2001

Amanat Hadi kini membelit Haji Hadi

Oleh:ASTORA JABAT
PAS nampaknya paling lega apabila Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Dr. Ismail Ibrahim membatalkan cadangan diadakan muzakarah Amanat Hadi.

Walaupun Timbalan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang mendakwa beliau kecewa kerana muzakarah tersebut dibatalkan dan beliau pula menuduh UMNO menghalangnya, tetapi penulis percaya Hadi boleh bernafas lega sedikit setelah isu yang memberi kesan kepada jiwanya itu tidak dibahaskan.

Maklumlah padah yang berbangkit daripada Amanat Hadi itu amat besar dan melibatkan ramai orang Islam yang masih hidup dan sudah meninggal dunia.

Padah menjadi bertambah besar apabila Hadi tidak mahu bertanggungjawab.

Mungkin Hadi sedar bukan saja di kalangan penyokong kerajaan dan golongan atas pagar yang melihat beliau bersalah dalam amanat berkenaan, tetapi ramai penduduk Terengganu yang menyokong Pas pun melihat beliau begitu juga.

Dengan itu tidak hairanlah jika kini ada di kalangan penyokong Pas di Terengganu sendiri yang sanggup keluar mengkritik Hadi secara terang-terang.

Mereka menyokong Pas, tetapi tidak menyokong Hadi.

Hadi juga kelihatan tidak lagi agresif seperti dulu dan beliau kini lebih banyak mempertahankan diri daripada membuat serangan. Puncanya bukan perkara lain tetapi Amanat Hadi.

Amanat berkenaanlah yang membelit diri Hadi dan menyebabkannya menjadi sedikit jinak.

Mungkin kenyataan Presiden Pas Datuk Fadzil Noor bahawa beliau setuju muzakarah berkenaan tidak diadakan lebih benar daripada kenyataan Hadi di atas. Hadi walaupun sudah nampak jinak, tetapi masih kental dengan ego politiknya. Sebaliknya Fadzil Noor nampaknya bimbang imej Pas tercemar lebih teruk jika dibiarkan perbincangan mengenai Amanat Hadi diteruskan.

Dengan itu dalam nada ugut bercampur takut, Fadzil Noor memberitahu para wartawan: ``Tetapi jangan bangkitkan lagi dan UMNO pun jangan cuba bangkitkan lagi.''

Sebenarnya setiap kali tercetus isu Amanat Hadi bukanlah wartawan atau UMNO atau pihak lain yang membangkitnya, tetapi Hadi turut membangkitkan perkara yang sentiasa menghantui dirinya itu. Satu ketika pada tahun lalu Hadi tidak semena-mena mendakwa isu berkenaan sudah selesai sebagaimana yang disiarkan dalam sebuah penerbitan Pas Terengganu.

Tanpa mengambil kira pihak mana sekalipun yang membangkitkan Amanat Hadi, ia tetap segar dalam ingatan orang Islam dan mampu menjadi isu sepanjang masa.

Amanat Hadi tidak kenal erti lapuk dan basi. Sama seperti fatwa mengkafirkan orang Islam yang dikeluarkan oleh beberapa ulama Pas yang sudah tiada lagi di dunia ini. Ia kekal dalam ingatan semua umat Islam dan tidak mungkin terhapus walaupun Pas terkubur.

Ia sama juga dengan tindakan puak Khawarij mengkafirkan orang Islam yang tidak sealiran dengan mereka atau terlibat dalam melakukan dosa besar dan dosa kecil. Tidakkah perkara itu dilakukan oleh puak Khawarij sejak 14 abad yang lalu tetapi masih dalam ingatan orang Islam sehingga hari ini?

Di pihak lain Amanat Hadi merupakan masalah Pas dan bukan masalah UMNO. UMNO tidak rugi sekiranya dapat mencari penyelesaian terhadap Amanat Hadi itu. Sebaliknya UMNO mendapat untung jika dibiarkan terus-menerus Amanat Haji dibangkitkan di kalangan masyarakat.

Dengan itu kesanggupan Dr. Ismail untuk membawa Amanat Hadi ke meja muzakarah sebenarnya menguntungkan Hadi secara khas dan Pas secara amnya.

Tetapi Pas faham, tidak mencurigai dan tidak mempolitikkan usaha Dr. Ismail itu.

Beberapa ahli UMNO memberitahu penulis bahawa mereka tidak setuju mengadakan muzakarah Amanat Hadi kerana ia akan memberi peluang kepada Pas membaiki imejnya.

Mereka menyatakan bantahan itu apabila penulis memberitahu mereka bahawa muzakarah Amanat Hadi akan merumuskan satu keputusan yang menguntungkan UMNO dan Pas sekali gus.

Sesetengah pula marah kepada penulis kerana kritikan yang ditumpukan kepada Pas, pada pandangan mereka menguntungkan parti itu. Dengan itu mereka minta penulis berhati-hati mendedahkan penyelewengan Pas kerana ia mungkin menyusahkan UMNO jika parti itu dapat membetulkan kesalahan-kesalahannya dengan sempurna.

Malah ada juga yang berkata kedegilan Hadi tidak mahu bertaubat dan menarik balik amanatnya adalah baik bagi UMNO. Dengan itu mereka lebih setuju supaya dibiarkan Hadi bergelumang dengan amanat sampai bila-bila masa.

Pemimpin Pas bukan saja tidak menghargai usaha ikhlas Dr. Ismail itu, tetapi mereka juga memperlekeh dan menuduh beliau dengan pelbagai cara seolah-olah beliau bukan ilmuwan Islam dan ulama.

Penulis percaya para pembaca sudah terbiasa dengan mainan politik Pas berhubung ilmuwan dan ulama yang tidak menyokong mereka.

Sebagai contoh beberapa orang ulama yang dulu terkenal sebagai ulama kerajaan atau ulama bebas telah dikecam atau sekurang-kurang tidak disanjung oleh parti itu. Tetapi kini selepas menyertai Pas mereka ditonjolkan sebagai ulama besar Pas. Seorang pakar motivasi lulusan doktor falsafah di Amerika Syarikat turut terheret dalam rombongan ulama berkenaan dan beliau pun digelar sebagai ulama juga.

Sebaliknya Ustaz Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad, Ustaz Ghazali Ahmad, Ustaz Omar Khalid dan Ustaz Wan Ismail Wan Ahmad yang dianggap ulama besar Pas satu ketika dulu, kini dianggap pula sebagai ulama terompah kayu, ular dalam semak, ulama jahat, ulama syaitan bisu, ulama sapu ketiak pemimpin oleh parti itu.

Jadi itulah kriteria ulama dalam mainan politik Pas. Penulis menggelarkan ulama-ulama Pas itu sebagai ulama politik atau ulama bukan pewaris nabi.

Ini kerana ulama pewaris nabi ialah ulama yang mewarisi ilmu daripada nabi tetapi apa yang dilakukan ulama-ulama Pas adalah bercanggah dengan apa yang dilakukan oleh ulama pewaris nabi seperti ulama-ulama muktabar dahulu dan sekarang.

Tidak ada ulama muktabar dulu dan sekarang yang membuat hukum karut-marut macam para ulama Pas kerana mereka sedar melakukan perkara itu adalah dosa besar.

Dengan itu penulis percaya Dr. Ismail sama seperti penulis tidak ambil kira dengan gelaran dan tuduhan yang dilemparkan oleh Pas.

Akhir sekali penulis ingin jelaskan UMNO tidak perlu tunduk kepada cadangan untuk mengadakan muzakarah bagi membincang mengenai Amanat Hadi atau apa jua penyelewengan dalam Pas. Sebaliknya gunakan fatwa dan peruntukan undang-undang yang telah ada.

Malah jika kerajaan boleh menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk mengambil tindakan ke atas orang-orang yang mengancam keselamatan negara, kenapa tidak boleh menggunakan peruntukan yang sama untuk mengambil tindakan ke atas ulama-ulama politik Pas yang mengancam akidah orang Islam?

Di dalam Islam, menjaga akidah ummah lebih penting daripada keselamatan negara. Apa faedahnya ada sebuah negara, tetapi wujud orang yang menyelewengkan akidah, mengkafirkan sesama Islam kerana diracuni pemikiran oleh ulama-ulama politik Pas?

Penulis menerima banyak e-mel daripada pembaca yang mempersoalkan jika betul Hadi dan Menteri Besar Kelantan Nik Abdul Aziz Nik Mat menyeleweng, kenapa tidak diambil tindakan undang-undang ke atas mereka? Ada juga mereka yang berpandangan begitu merupakan penyokong Pas. Mereka mendakwa kerana ulama mereka yang dianggap menyeleweng itu tidak diambil tindakan, maka bererti ulama mereka tidak menyeleweng.

Yang paling menarik ada pembaca mencadangkan supaya Nik Aziz ditahan di bawah ISA kerana kepadanya memfitnah Allah, mencarut tanpa menarik balik kenyataan itu dan bertaubat adalah satu dosa yang teramat besar.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi