AGAMA

Mingguan Malaysia 06 Mei 2001

Tasawuf: Antara penyokong dan penentang

Oleh: DR. YUSUF AL-QARADAWI
KAUM muslimin pada zaman sahabat baginda Rasulullah s.a.w serta golongan yang belajar dengan mereka (sahabat) adalah golongan yang mempelajari dan mengamalkan Islam secara keseluruhan. Mereka tidak menonjolkan suatu sudut atau persoalan agama tanpa sudut-sudut yang lain, seperti mana mereka tidak melupakan tuntutan zahir kepada batin dan tuntutan batin kepada zahir.

Golongan ini mengambil berat tentang persoalan akal, roh dan tubuh badan selain menitikberatkan hak-hak perseorangan dan masyarakat serta menjaga kepentingan-kepentingan dunia dan akhirat tanpa meminggirkan antara satu sama lain.

Namun, apabila kehidupan mula berkembang dan semakin rumit - disebabkan faktor dalaman dan luaran yang pelbagai - muncul kumpulan-kumpulan yang mengehadkan perhatian mereka hanya kepada persoalan-persoalan tertentu seperti persoalan berkaitan akal yang didukung oleh puak al-Mutakallimin atau kumpulan yang hanya menumpukan sepenuh perhatian mereka kepada persoalan-persoalan berkenaan ilmu pengetahuan lahiriah seperti ulama-ulama fiqh.

Di samping itu, ada juga kumpulan yang hanya mengambil berat tentang kesenangan dan kemewahan hidup di dunia ini semata-mata seperti yang dilakukan oleh sesetengah pemimpin, orang-orang kaya dan pengikut-pengikut mereka.

Pada zaman inilah munculnya satu kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai `mutasawwif' (orang sufi) yang memberi perhatian kepada satu persoalan yang tidak kurang pentingnya iaitu persoalan roh dan jiwa dalam kehidupan masyarakat Islam.

Mereka ini berperanan memenuhi `ruang kosong' yang dipinggirkan oleh ulama fiqh dan ulama-ulama ilmu kalam di samping cuba menyelamatkan mereka yang tenggelam dalam kemewahan dan tipu daya dunia.

Ulama-ulama terdahulu (salaf) mengambil serta mengamalkan ajaran-ajaran agama secara keseluruhannya - seperti yang diterangkan di atas - dengan mengambil kira martabat dan peringkatnya iaitu Islam, iman dan ihsan sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadis terkemuka (hadis Jibril).

Keadaan berubah apabila ulama-ulama fiqh `membentuk' satu kumpulan yang mengkhususkan pengajian dan pembelajaran ilmu-ilmu berkaitan Islam dan hukum-hakamnya yang zahir, sementara ulama-ulama ilmu kalam (al-Mutakallimin) pula mengkhususkan bidang mereka kepada persoalan dan perbahasan-perbahasan yang berkaitan dengan iman.

Ekoran situasi itu, muncullah satu kumpulan lagi yang menggelarkan diri mereka ahli-ahli sufi yang mengambil berat serta memberi penumpuan kepada martabat ketiga agama iaitu ihsan.

Yang pasti, ilmu sufi berusaha merealisasikan matlamat atau kemuncak amalan iaitu selamat daripada kemurkaan Allah dan balasan azab di akhirat dengan cara zuhud, pertapaan dan mujahadah diri tanpa melupakan adab-adab syarak dan ketakwaan kepada Allah.

Kemudiannya, muncul pula ulama-ulama seperti Hassan al-Basri yang memasukkan unsur takut kepada Allah ke dalam ilmu sufi. Di samping unsur takut kepada Allah ini, muncul pula unsur baru iaitu cinta kepada Allah seperti yang terkandung dalam syair Rabi'atul Adawiyyah (185H), kata-kata Abi Sulaiman ad-Daarani (215H), Zinnun al-Masri (245H), Abi Yazid al-Bustami dan lain-lainnya.

Golongan pengamal-pengamal ilmu sufi ini menegaskan bahawa matlamat mereka mentaati perintah-perintah Allah dan menunaikan segala kewajipan bukan semata-mata kerana takutkan azab api neraka atau kerana mengimpikan balasan nikmat di syurga, tetapi kerana cinta kepada Allah dan untuk mendekatkan diri kepada-Nya.

Namun begitu, sufi kemudian bertukar daripada sebagai satu jalan untuk mendidik serta mengasuh akhlak mulia dan kerohanian kepada falsafah yang mengandungi kefahaman-kefahaman asing bagi Islam antaranya teori al-Hulul (penjelmaan/penampilan) dan wahdatul wujud (kewujudan yang satu).

Penyelewengan ilmu sufi berlaku dengan hebatnya di tangan al-Halaj yang mengakui dirinya sebagai Allah dan mazhab yang berpegang kepada teori penjelmaan Pencipta (Tuhan) dalam diri makhluk (al-Hulul) seperti tuduhan Nasrani terhadap diri Nabi Isa.

Penyelewengan ini telah menimbulkan kemarahan ulama-ulama fiqh dan masyarakat Islam ke atas Halaj yang membawa kepada hukuman bunuh ke atasnya pada tahun 309H, selain penolakan teori tersebut oleh kebanyakan ulama sufi sendiri.

Penyelewengan terhadap ilmu tasawuf semakin bertambah serta melampaui batas dengan kemunculan falsafah `wahdatul wujud' yang terdapat dalam karangan-karangan Muhyiddin bin Arabi atau lebih dikenali sebagai Ibnu Arabi dan mereka yang sependapat dengannya.

Kumpulan ini mendakwa bahawa tiada kewujudan melainkan Allah dan kewujudan itu tidak ada duanya. Dengan teori itu, maka tidak ada apa yang dipanggil pencipta dan makhluk atau tuhan dan hamba (semuanya sama).

Teori ini (wahdatul wujud) membawa penafian tanggungjawab serta persamaan antara yang baik dengan yang jahat atau mereka yang menyembah tuhan yang esa dengan mereka yang menyembah berhala, semuanya sama iaitu gambaran bagi Tuhan yang satu.

Tidak dinafikan bahawa umat Islam berselisih pendapat tentang pandangan mereka terhadap ahli-ahli sufi ini. Bagi yang taksub, mereka heboh tentang kebaikan ahli-ahli sufi tersebut, menjadikan hala tuju pandangannya sebagai asas dalam semua perkara, mempertahankannya walaupun mereka melakukan kesalahan, bahkan mereka tidak pernah membayangkan untuk menjatuhkan hukum salah ke atas ahli-ahli sufi tersebut.

Sementara itu, bagi mereka yang menentang, kutukan dan kejian dilemparkan terhadap ahli-ahli sufi dan orang yang bersama dengan mereka biarpun orang tersebut mempunyai kebenaran dalam dirinya. Selain itu, mereka turut mengisytiharkan bahawa sufi merupakan satu mazhab asing yang mencerobohi Islam, yang diambil daripada agama Masihi, Buddha, Brahma dan sebagainya.

Namun, kesedaran menuntut kita agar menegaskan bahawa sesungguhnya sufi mempunyai akar umbi dan asal-usulnya dalam Islam yang tidak dapat dinafikan dan di dalamnya juga terkandung unsur-unsur Islam yang tidak dapat disembunyikan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi