Make your own free website on Tripod.com

AGAMA

Mingguan Malaysia 06 Mei 2001

Bahaya belajar ilmu isim

Oleh DR. AMRAN KASIMIN
SOALAN: SAYA terlalu berkeinginan untuk belajar ilmu isim dengan seorang guru di pinggiran ibu kota tidak jauh dari tempat saya tinggal tetapi menjadi sangsi apabila membaca artikel ustaz dalam ruangan ini beberapa minggu lalu.

Soalan saya ialah bagaimana zikir-zikir boleh mengundang makhluk-makhluk halus meresap dalam tubuh manusia. Adakah semua perguruan ilmu isim itu sesat? Bagaimana hendak membezakan ilmu isim yang sesat dengan yang tidak sesat? Apakah ilmu-ilmu itu memberi kesan pada iman seseorang? - Azman Ahmad, Beranang.

JAWAPAN: Persoalan utama yang perlu difahami ialah tentang nama ``ilmu isim'' itu sendiri. Tidak ada satu definisi khusus yang dapat difahami oleh umum untuk dijadikan panduan ataupun kayu pengukur.

Apabila pemahaman mengenainya tidak jelas, ilmu yang dipelajari, amalan yang dilakukan, tatacara, kaedah, tujuan serta kebaikan ataupun keburukan juga tidak dapat dijangka.

Isim bererti nama. Isim-isim bererti mantera yang mengandungi nama Tuhan. Definisi atau pemahaman mengenai kalimah ``isim-isim'' seperti yang dijelaskan ini hakikatnya tidak banyak dimaklumi oleh orang Melayu Malaysia.

Perkataan ``isim'' selalunya digabungkan dengan ``gila isim'' yang difahami sebagai gila yang disebabkan menuntut (ilmu agama dan lain-lain).

Biarpun pemahaman seperti ini begitu meluas di kalangan masyarakat Melayu, namun ia begitu mengelirukan. Tidak jelas apa yang dimaksudkan dengan ``menuntut.'' Mungkin yang dimaksudkan dengannya ialah menuntut ilmu isim ataupun ilmu kebatinan itu sendiri.

Orang Melayu adakalanya memahami bahawa gila isim itu boleh berlaku akibat mempelajari ilmu agama di mana individu yang terlibat itu tidak berupaya menanggung ilmu yang dipelajari.

Yakinilah bahawa tidak terdapat bukti memperlihatkan wujudnya manusia yang mempelajari ilmu agama sama ada ilmu fikah, tauhid, falsafah, ilmu tafsir dan sebagainya, termasuk mereka yang menghafal al-Quran, menjadi gila atau sasau.

Walaupun demikian, tidak dinafikan wujudnya mereka yang mempelajari ilmu sesat, yang diselit-selitkan di dalamnya unsur-unsur pengaruh Islam, lalu mereka menjadi gila. Apabila kecelaruan itu berlaku, maka orang yang terlibat dikatakan sebagai gila kerana mempelajari agama.

Gila atau sasau yang berlaku itu lumrahnya terjadi akibat rasukan pada otak yang melibatkan makhluk-makhluk halus yang terdiri daripada iblis dan syaitan. Apabila makhluk ini mengganggu otak, maka ia akan melahirkan gejala-gejala yang memperlihatkan ketidaknormalan otak. Situasi seperti inilah yang dikenali sebagai ``gila isim.''

Ilmu isim adalah sebahagian daripada ilmu kebatinan yang melibatkan sama ada ilmu mempertahankan diri ataupun ilmu perubatan. Ilmu kebatinan mempertahankan diri ini merangkumi ilmu kebal, ilmu persilatan dan sebagainya, manakala ilmu perubatan pula selalunya dikaitkan dengan amalan menurun, menilik dan lain-lainnya.

Termasuk dalam kategori ilmu kebatinan ialah amalan menggunakan susuk, tangkal azimat dan sebagainya.

Mereka yang mempelajari ilmu mempertahankan diri yang semata-mata bergantung kepada kekuatan fizikal, mempelajari langkah, bunga, kungfu, karate, gusti tidak termasuk dalam kategori mempelajari ilmu kebatinan.

Begitu juga dengan mereka yang melakukan amalan mengurut secara fizikal. Jelas apa yang dimaksudkan dengan ``ilmu kebatinan'' itu ialah amalan ataupun ilmu yang disokong oleh sesuatu yang ``batin'' ataupun tersembunyi, yang membantu perilaku yang dilakukan.

Termasuk dalam amalan kebatinan ialah kegiatan yang melibatkan teater tradisional yang selalunya melibatkan pelbagai upacara seperti upacara menyembah pentas, pantang larang dan lain-lain upacara yang mesti dipatuhi.

Dalam amalan kebatinan yang dipelajari dan diamalkan itu selalunya ia disertai dengan pelbagai unsur Islam seperti penggunaan perkataan bismillah, salam, nama-nama malaikat, nama-nama nabi, rasul, kalimah-kalimah tertentu, yang selalunya diakhiri dengan kalimah syahadah.

Dalam amalan kebatinan mempertahankan diri, nasihat-nasihat agama sering diselitkan. Murid-murid dinasihatkan supaya jangan meninggalkan sembahyang, jangan berzina, jangan menunjuk-nunjuk dengan ilmu yang dimiliki, jangan riak, perbanyakkan amalan sunat, bersedekah, berbaik sesama teman seperguruan dan sebagainya.

Biarpun terdapat unsur-unsur agama di dalamnya namun ia selalunya tidak melibatkan pembelajaran ilmu-ilmu tertentu secara khusus seperti ilmu fikah, tauhid, tajuid, tafsir, usul fikah dan sebagainya.

Ilmu kebatinan ini sering melibatkan tokoh-tokoh tertentu yang dipanggil sebagai pawang, bomoh, dukun, poyang, ustaz, kiai dan mahaguru. Tutur kata yang dilafazkan selalunya melibatkan apa yang disebut sebagai jampi, mantera, serapah dan doa.

Nama-nama yang dilibatkan dengan ilmu kebatinan ini dan juga lafaz-lafaz yang dituturkan tidak membuktikan bahawa amalan yang dilakukan itu semestinya diharuskan oleh syarak atau ditegah.

Andainya amalan dan lafaz yang dituturkan itu bertentangan dengan ajaran Islam, ia tetap ditegah biarpun ia dilakukan oleh seorang yang dipanggil kiai ataupun ustaz. Begitu juga dengan nama atau gelaran pawang ataupun bomoh yang diberi. Andainya amalan yang dilakukan tidak bertentangan, maka ia adalah diharuskan.

Lafaz-lafaz yang dituturkan yang terdiri daripada ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis, doa-doa al-ma'thurat ataupun doa biasa yang tidak menyalahi syarak harus digunakan.

Namun, penggunaan ayat yang diubah, yang diselewengkan sama ada dengan sengaja atau tidak adalah dilarang. Seseorang itu mungkin boleh tetap hidup biarpun berjam-jam ditanam dalam tanah, diselamkan dalam air, tidak lut oleh pisau, pada hal tabiat pisau tajam itu melukakan. Hal demikian diistilahkan sebagai mencarik adat.

Selain itu, natijah amalan tersebut tidak dapat difikiri oleh akal bagaimana ia boleh terjadi. Contohnya seseorang manusia boleh jatuh melayang, terpelanting, senjata yang dipegang terlepas tangan hanya dengan hembusan hidung.

Mata ditutup kain atau dipejamkan tetapi individu yang terlibat boleh tahu kandungan dalam poket seseorang, ataupun nombor kereta yang sedang bergerak di jalan raya.

Selain itu, amalan seperti ini juga melahirkan sesuatu yang bukan hakikat. Seperti orang yang dicucuk dengan pisau tajam yang menembusi leher, mengeluarkan darah berbau hanyir. Lebih kurang setengah jam kemudian, orang yang ditikam tadi bangun dan berjalan seperti sediakala.

Contoh-contoh di atas adalah di antara unsur-unsur yang terdapat dalam amalan ilmu kebatinan, yang merangkumi di dalamnya ilmu isim. Hakikat ilmu ini terlalu luas, wujud di kalangan semua masyarakat di seluruh dunia dan masih tetap dilakukan terutama di kalangan mereka yang masih terpengaruh oleh kepercayaan animisme dan bukan hanya berlaku di kalangan masyarakat Melayu. Walaupun demikian istilah ``gila isim'' wujud dalam masyarakat Melayu sahaja.

Merujuk kepada soalan saudara, zikir-zikir hakikatnya tidak mengundang makhluk-makhluk halus. Walaupun demikian ada kewujudan pelbagai unsur-unsur Islam dalam jampi mantera, termasuk zikir yang mengandungi kalimah yang memuja nama-nama jin, berhala ataupun sembahan bukan Islam, atau kalimah yang menyebabkan syirik, seperti berlindung selain daripada Allah.

Penggunaaan ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis, doa-doa al-ma'thurat ataupun doa biasa diharuskan, namun andainya ia disertai dengan pemujaan terhadap iblis dan syaitan, orang yang berbuat demikian adalah terlibat dengan amalan sihir. Amalan tersebut tetap dilarang. Sihir tidak berlaku tanpa penglibatan iblis dan syaitan. Ia termasuk dalam golongan dosa-dosa besar.

Istilah ``ilmu isim'' begitu kabur dan luas, oleh itu tidak mudah untuk dijelaskan ketentuan keharusan ataupun tegahannya, kecuali ia dirujuk pada kes-kes tertentu, berdasarkan kepada ciri-ciri yang dijelaskan.

Memanglah amalan kebatinan atau ilmu isim itu boleh menjejaskan iman. Andainya ia sesat yang melibatkan amalan menyekutukan Allah, ia boleh menyebabkan seseorang itu syirik.

Ia akan menjadi satu dosa yang tidak diampuni Allah. Namun demikian andainya ilmu itu tidak bertentangan dengan ajaran Islam tidak mustahil ia boleh memperkuatkan iman atau memperbaiki iman. Semuanya bergantung kepada hakikat atau kebatilan ilmu yang diistilahkan sebagai ``ilmu isim'' tadi.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi