AGAMA

Utusan Malaysia 08 Mei 2001

Wajib rizab setengah hektar bina rumah ibadat

PETALING JAYA 7 Mei - Para pemaju perumahan diwajibkan merizabkan sekurang-kurangnya setengah hektar tanah bagi tujuan pembinaan rumah ibadat Islam dan bukan Islam di kawasan projek perumahan baru.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting berkata, tapak pembinaan rumah-rumah ibadat tersebut perlu disediakan di kawasan penduduk yang agamanya mempunyai kaitan dengan rumah ibadat tersebut.

``Kita tidak mahu ia dibina berhampiran dengan kawasan yang mempunyai penduduk yang agamanya berlainan dengan rumah ibadat itu.

``Arahan tersebut terkandung dalam Garis Panduan Perancangan Sejagat Edisi Kedua kementerian ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan sebanyak RM400,000 kepada badan-badan amal sempena Hari Wesak di Tokong Kuan Inn Teng, di sini hari ini.

Ong seterusnya berkata, mengikut garis panduan itu, rumah ibadat boleh dibina di kawasan perumahan yang penduduknya melebihi 2,600 orang.

Menurut beliau, pihaknya menerima banyak rungutan daripada penduduk terutama bukan Islam yang mendakwa kawasan perumahan mereka tidak disediakan tapak untuk membina kuil, tokong atau gereja.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan ada rumah kediaman diubahsuai untuk dijadikan rumah ibadat.

Keadaan sedemikian, kata beliau, sekali gus mengganggu penduduk agama lain yang tinggal berhampiran dengan rumah tersebut.

``Para pemaju sebelum ini kurang memahami maksud rumah ibadat yang terkandung garis panduan itu dengan hanya menumpukan penyediaan tapak surau atau masjid semata-mata,'' jelasnya.

Menurut beliau, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan perlu memastikan pelan perancangan perumahan yang dikemukakan oleh pemaju perlu meliputi kawasan pembinaan rumah ibadat bukan Islam sebelum diluluskan.

Ong menambah, pihaknya akan memantau mana-mana kawasan perumahan dari semasa ke semasa bagi memastikan arahan itu dipatuhi.

Selain itu, katanya, mengikut garis panduan tersebut, pemaju perumahan diwajibkan merizabkan 10 peratus tanah lapang untuk kemudahan sosial penduduk setempat.

Jelas beliau, langkah itu bertujuan memastikan penduduk mempunyai aktiviti sihat dan tidak terjebak dengan perkara yang tidak berfaedah.

Katanya, di antara kemudahan itu termasuklah menyediakan taman permainan, kawasan rekreasi serta gelanggang sukan untuk golongan remaja.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Dr. Maamor Osman berkata, keutamaan dalam menyediakan tapak rumah ibadat hendaklah diberi kepada agama Islam yang diiktiraf dalam Perlembagaan sebagai agama rasmi Malaysia.

``Walaupun ada garis panduan, ia mestilah jelas dan selaras dengan kehendak Perlembagaan yang memberikan keutamaan kepada agama Islam sebagai agama rasmi,'' katanya ketika dihubungi di sini.

Menurut Dr. Maamor, garis panduan itu juga mestilah menentukan jumlah kepadatan penganut agama tertentu yang diperlukan, sebelum sesebuah rumah ibadat bukan Islam boleh dibina di sesuatu kawasan perumahan.

``Kita cadangkan supaya perkara-perkara itu, iaitu keutamaan dan kepadatan penganut agama, diperjelaskan sebaik mungkin supaya ia tidak kecoh,'' jelasnya semasa diminta mengulas garis panduan berkenaan.

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan juga seharusnya memainkan peranan selaku perancang bandar secara lebih aktif supaya tidak timbul kekeliruan mengenai rumah ibadat yang lebih berhak didirikan di sesebuah kawasan itu.

Ia juga dapat mengelakkan rumah ibadat dibina terlalu dekat antara satu sama lain, tambahnya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi