AGAMA

Utusan Malaysia 10 Mei 2001

13 peserta tamat kursus Imam Muda Antarabangsa

KUALA LUMPUR 9 Mei - Seramai 13 peserta berjaya menamatkan kursus Imam Muda Antarabangsa 2001 selama tiga bulan anjuran Majlis Dakwah Islam Wilayah Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP).

Kursus tersebut memberi pengetahuan kepada peserta bagi membolehkan mereka menjadi imam, mengajar asas-asas pengetahuan dalam Islam, mengajar al-Quran dan fardu kifayah kepada kanak-kanak.

Majlis penutupan kursus tersebut yang diadakan di bangunan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) di sini hari ini telah disempurnakan oleh Setiausaha Eksekutif RISEAP, Lt. Kol. Shahril Hashim.

Kursus yang yang disertai oleh peserta dari Malaysia, Thailand, Sri Langka, Jepun, China, Papus New Guinea, Australia, Vietnam, Nigeria dan Filipina itu mendapat kerjasama daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Menurut Shahril, RISEAP mengambil inisiatif mencungkil potensi imam muda untuk menjadi imam pelapis di negara ini.

``Kami berharap dengan adanya imam muda ini, lebih ramai golongan remaja dalam masyarakat akan menyertai aktiviti yang diadakan di masjid,'' katanya.

Menurutnya lagi, walaupun kursus itu menelan belanja yang tinggi, namun ia amat berguna untuk meningkatkan martabat Islam yang merupakan golongan minoriti di Asia Pasifik.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi