AGAMA

Utusan Malaysia 11 Mei 2001

Raja Perlis bimbang keghairahan mengeluarkan fatwa

KANGAR 11 Mei - Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mengingatkan para imam dan guru agama supaya tidak ghairah mengeluarkan fatwa sendiri kerana perbuatan itu boleh mengelirukan umat Islam.

Baginda berkata, ada guru agama yang menjadikan buku tertentu sebagai panduan dan berdasarkan pembacaan itu mereka membuat huraian dan fatwa sendiri.

Mereka sepatutnya merujuk kepada Majlis Fatwa Negeri atau Majlis Hal-Ehwal Agama Islam dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), kata baginda semasa merasmikan Masjid Al-Sakinah, Padang Melangit dekat sini, hari ini.

Masjid bernilai RM800,000 itu, yang boleh menempatkan sehingga 500 jemaah, dibina pada 1995 dan siap setahun kemudian.

Raja Perlis turut mengimbas kes seorang imam di negeri ini yang mengeluarkan fatwa bahawa wanita Islam diharamkan memakai perhiasan emas sebagaimana yang diharamkan ke atas lelaki Islam.

Fatwa itu yang dikeluarkan tanpa merujuk kepada MAIPs sekitar tahun 1970-an itu menimbulkan kegelisahan di kalangan masyarakat Islam tempatan sehingga ramai wanita Islam menjual semua barang kemas mereka.

Menurut baginda, para pemimpin agama perlu berhati-hati mengeluarkan fatwa yang kelak sukar ditarik balik kerana membabitkan maruah.

Raja Perlis juga mengingatkan pihak pengurusan masjid di negeri ini agar memastikan masjid bebas daripada sebarang kegiatan yang boleh menimbulkan perpecahan ummah.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, Perlis akan mempunyai masjid yang ke-100 apabila sebuah masjid di pinggir bandar ini dibina tidak lama lagi.

Peruntukan bagi membina masjid berkenaan didermakan oleh Raja Perlis keenam, almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Kerajaan negeri juga bercadang membina 10 masjid baru di seluruh negeri tahun ini bagi menggantikan masjid sedia ada yang usang dan tidak dapat menampung keperluan jemaah yang bertambah. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi