AGAMA

Utusan Malaysia 11 Mei 2001

Patung antara Taleban dan Pas

DEBAT
Oleh ASTORA JABAT
(astora@utusan.com.my)
Minggu lepas orang bukan Islam melancarkan satu serangan intelektual ke atas Pas selepas Timbalan Mursyid Amnya, Idris Omar membuat kenyataan patung agama-agama budaya negara ini akan dihapus jika parti itu berkuasa pada suatu nanti.

Idris yang merupakan Ahli Dewan Undangan Pas kawasan Semantan, Pahang yang juga ketua pembangkang negeri itu tidak dapat menafikan dakwaan orang bukan Islam itu.

Bagaimanapun, beliau dalam kenyataan yang disiarkan dalam akhbar rasmi Pas versi Internet pada 3 Mei lalu sebenarnya berkata, Islam hanya melarang umat atau penganutnya sahaja menyimpan patung.

``Ada pun bagi penganut agama lain, terserahlah kepada mereka kerana hak kebebasan beragama dan mengamalkan ajarannya dijamin oleh Islam,'' katanya.

Idris menurut akhbar tersebut ketika dalam persidangan DUN Pahang dilaporkan berkata, jika Pas memerintah negeri itu, semua patung akan dibuang.

Ia telah disiarkan secara meluas oleh hampir kesemua akhbar berbahasa Mandarin di negara ini.

Akhbar yang sama melaporkan bahawa yang dimaksudkan patung oleh Idris adalah patung yang dimiliki oleh umat Islam dan tidak berbangkit patung untuk agama lain kerana ``Islam menjamin kebebasan agama.''

Manakala Presiden Pas Datuk Fadzil Noor pula menafikan bahawa Idris pernah membuat kenyataan seperti yang dilaporkan dalam beberapa akhbar Cina itu.

Bagaimanapun, pemuda MCA pada 5 Mei lalu memutarkan pita rakaman yang mengandungi kenyataan Idris yang dianggap menyinggung persamaan orang bukan Islam itu.

Dalam rakaman berkenaan Idris membuat kenyataan kontroversi itu sebagai menjawab dakwaan Ahli Dewan Undang Negeri Indera Mahkota Ti Lean Ker bahawa jika Pas memerintah parti itu akan memusnahkan patung Dewa Kuan Kung dan lain-lain patung.

Idris berkata: ``Tadi, ADUN Indera Mahkota menyebutkan kalau Pas memerintah, patung-patung itu akan diruntuhkan dan ini saya rasa... menyentuh hukum agama.

``Dalam agama Islam, kita yang mewajibkan untuk meruntuhkan patung-patung itu.

``Dengan soal itu, saya harap ADUN Indera Mahkota tidak menyentuh perkara yang berkaitan dengan hukum adat agama Islam yang diputuskan oleh (tidak jelas).. ulama...'' (Star 6 Mei)

Sekutu Pas, DAP pun tidak kurang hebatnya membidas Pas. Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) dalam satu kenyataan berkata:

``Jika Pas memerintah, Pas akan memusnahkan semua patung Buddha, patung dewa dan tempat menyembah nenek moyang yang disembah oleh kaum Cina.

``Rakyat Malaysia khususnya penganut Buddha, Hindu dan agama tradisi tidak dapat menerima cara rejim Taleban memusnahkan patung Buddha yang berlaku tidak lama dahulu ditiru dan dilakukan oleh mana-mana pihak di Malaysia,'' kata Teng.

Beliau berkata kenyataan ADUN itu memusnahkan usaha gigih pemimpin- pemimpin barisan alternatif untuk meyakinkan rakyat bahawa Pas adalah sebuah parti politik dan mempunyai sikap terbuka terhadap agama-agama bukan Islam yang diamalkan oleh rakyat Malaysia.

``Malah ia mengukuhkan hujah musuh barisan alternatif yang selama ini menggambarkan Pas sebagai sebuah parti ekstrem Islam yang tidak ada bezanya dengan rejim Taleban,'' katanya. (Utusan Malaysia 4 Mei)

Timbalan Pengerusi DAP, Karpal Singh pula berkata, Idris boleh dipenjara di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 di mana beliau boleh didenda RM5000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali (Star 7 Mei).

Sebenarnya Pas bimbang dipandang berimej Taleban dan tindakan Idris membuat kenyataan yang kontroversi itu sudah tentu menimbulkan masalah kepada Pas.

Ulama-ulama Pas sendiri belum berani mengeluarkan pandangan mengenai tindakan Taleban memusnahkan patung Buddha di Bamiyan. Sebaliknya Pemuda Pas yang tidak berimej agama itu yang mengeluarkan kenyataan tidak menyokong pemusnahan patung Buddha di Bamiyan itu. Perkara ini menimbulkan rasa tidak puas hati orang bukan Islam seperti disuarakan oleh seorang penulis Cina.

Perlu dijelaskan di sini bahawa Pas dan Taleban menggunakan hukum agama yang sama untuk menghapuskan patung.

Pas menghapuskan patung kijang di Kelantan dan patung penyu di Terengganu berdasar kepada satu hukum yang keras yang tidak diamal kecuali di kalangan ulama ultra konservatif.

Taleban pun mengamal dengan hukum yang sama untuk menghapuskan patung Buddha di Bamiyan itu.

Selain itu Pas mendahului Taleban dalam melaksanakan hukum menghapuskan patung apabila parti itu memusnahkan patung kijang di Kelantan dan patung penyu di Terengganu.

Padahal patung kijang dan patung penyu tidak dianggap haram pun seperti berpendapat ulama-ulama muktabar di al-Azhar macam Dr. Yusuf al-Qaradawi, Dr. Mohammad Amrah dan lain-lain.

Di Mesir penuh dengan patung-patung yang lebih hebat daripada patung kijang dan patung penyu seperti beratus-ratus Firaun dan Roman. Tetapi tiada seorang ulama muktabar Mesir membantah dan menuntut dimusnahkan patung-patung yang dianggap pusaka peradaban Mesir yang tidak ternilai harganya itu.

Malah para ulama Mesir akan mengecam sehebat-hebatnya jika terdapat puak pelampau agama membuat tuntutan supaya menghapuskan patung-patung itu.

Bagi mereka yang pergegang dengan pandangan ulama ultra konservatif, tidakkah pernah terfikir kenapa para sahabat Rasulullah s.a.w. tidak memusnahkan patung-patung di negeri-negeri yang baru dibuka seperti Syam (Syria) dan Mesir?

Malah kenapa perkara itu tidak dilakukan oleh pemimpin Islam ketika mula membuka Afghanistan dulu?

Apakah para sahabat kurang Islam berbanding pemimpin Taleban, Mullah Omar?

Sudah tentunya tidak. Begitu juga soalan dituju kepada pemimpin Pas yang memusnahkan patung kijang dan patung penyu, apakah mereka lebih hebat daripada guru-guru mereka di al-Azhar yang tidak pernah mengusik patung-patung Firaun dan Roman? Sudah tentu juga tidak.

Walaupun kebanyakan orang Islam negara ini tidak menyukai patung, tetapi itu hanya pendirian mereka berdasar kepada satu hukum.

Ia bukan satu-satu hukum yang ada. Malah pada pandangan penulis hukum membolehkan pemilikan patung untuk hiasan adalah lebih daripada kuat daripada hukum yang mengharamkannya.

Ini kerana ada bukti bahawa isteri Rasulullah s.a.w., iaitu Aisyah pun ada memiliki patung mainan.

Penulis juga ingin bertanya pemimpin Pas kenapa mereka hanya menghapuskan patung penyu dan tidak menghapuskan patung udang dan patung sotong di Terengganu ?

Apa beza antara patung penyu dan patung udang dan patung sotong dari segi hukum agama yang keras yang dipegang oleh mereka?

Hakikatnya apa yang dilakukan oleh Pas di Kelantan dan Terengganu tidak lebih daripada usaha menunjukkan ada berbezaan antara kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dianggap tidak Islam dengan kerajaan Pas dianggap Islam.

Dalam pada itu walaupun ada di kalangan pemimpin Pas yang berfikiran macam pemimpin Taleban, tetapi penulis tidak percaya mereka mampu memusnahkan patung-patung orang bukan Islam jika mereka ditakdir dapat memerintah nanti.

Cuma apa yang mampu dilakukan oleh mereka ketika itu ialah mengambil tindakan menghapuskan patung-patung hiasan yang tidak ada kaitan dengan orang bukan Islam seperti Tugu Pahlawan di Kuala Lumpur, patung helang di Langkawi, patung pelanduk di Melaka, patung kucing di Serawak dan lain-lain.

Menyentuh soal hukum yang biasanya digunakan oleh ulama ultra konservatif untuk berhujah dalam menghapuskan patung, hukum berkenaan diamal secara khusus di negara-negara Islam yang tidak mempunyai penganut agama-agama budaya seperti Arab Saudi.

Dengan itu tidak hairanlah jika ulama yang paling setuju dengan tindakan Taleban itu adalah ulama Wahhabiah di Saudi.

Bukan saja patung orang bukan Islam atau patung apa jua yang dituntut dihapuskan oleh ulama puak Wahhabiah, tetapi kubur orang Islam pun dimusnah juga kerana dianggap bidaah.

Beberapa banyak kubur sahabat telah dimusnah oleh puak Wahhabi ketika mula menguasai tanah haram dulu. Malah banyak juga kesan lama Islam dimusnah oleh mereka kerana sebab yang sama.

Di negara-negara yang mempunyai penganut pelbagai agama serta kaya dengan kesan-kesan lama pula tidak berlaku angkara itu seperti Mesir, Syria, Jordan, Maghribi, Tunisia, Algeria dan lain-lain.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi