AGAMA

Utusan Malaysia 11 Mei 2001

Islam tegas menentang rasuah

Wacana Islam
Oleh Mohd Shauki Abdul Majid
DALAM masyarakat tempatan, telah wujud beberapa simpulan bahasa yang memberi makna rasuah seperti ``Tumbuk rusuk'', ``Makan suap'' dan juga ungkapan under counter payment, duit kopi dan sebagainya. Perkataan `rasuah' berasal dari perkataan Arab yang berbunyi ``al-risywah''. Dalam al-Quran, rasuah digolongkan dalam kata umum batil, iaitu meliputi juga perbuatan jenayah lain seperti merompak, memeras ugut dan menipu. Di negara ini dari segi undang-undang, semua perbuatan `memberi dan menerima suapan' adalah merupakan sebahagian daripada perbuatan dan kesalahan jenayah rasuah.

Rasuah bukanlah satu fenomena baru. Ia suatu fenomena universal tanpa batasan waktu dan tempat. Tiada negara boleh mendakwa dirinya bebas daripada jenayah rasuah. Kewujudannya bermula sejak sejarah peradapan manusia dinodai oleh sifat-sifat tamak dan haloba. Rasuah merupakan satu jenayah berat yang mudah menular ke dalam sistem hidup masyarakat.

Membanteras gejala rasuah di dalam masyarakat adalah satu jihad sosial yang sangat utama demi keadilan yang dituntut oleh Allah s.w.t. Perbuatan seumpama ini dengan sendirinya mencemar Islam. Mereka bukan sahaja pengkhianat kepada rakyat secara umumnya malah dengan kelakuan bejat rasuah itu, mereka telah mengakibatkan agama Islam juga tercela.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Pemberi rasuah dan penerima rasuah masuk neraka.

Untuk manusia beriman, hadis di atas cukup menakutkan. Tetapi buat mereka yang imannya sudah diselaputi oleh serakah duniawi, sabda Rasulullah s.a.w ini tidak akan mencecah ke hati nuraninya. Rasulullah s.a.w juga meramalkan akan datang suatu zaman atas umat manusia di mana manusia menjadikan wang sebagai berhala mereka. Setiap kepingan wang atau dolar menjadi agama mereka. Perut-perut mereka menjadi tuhan-tuhan mereka. Perempuan-perempuan mereka menjadi kiblat mereka. Imam mereka sudah hilang kecuali namanya sahaja. Seks menjadi tumpuan mereka. Kemuliaan seseorang itu akan diukur berdasarkan kekayaannya. Takjub mendengar ucapan Rasulullah s.a.w. yang melukiskan keadaan zaman itu, para sahabat pun bertanya, ``Ya Rasulullah, apakah mereka menyembah berhala?'' Nabi menjawab, ``Benar''. Hanya sahaja, berhalanya bukanlah yang dipahat dalam bentuk makhluk-makhluk tertentu. Berhalanya adalah wang. Mereka menyembah, mengabdi, dan mencurahkan seluruh hidupnya untuk wangnya.

Memilih pemimpin kadang-kadang kita terpaksa berdepan dengan situasi yang sulit untuk memilih yang mana satu yang baik. Justeru Rasulullah s.a.w. memberi erti amanat dalam kepimpinan adalah kemampuan atau keahlian dalam jawatan yang dipangku bukan ukuran kekayaan semata-mata. Amanat terabaikan dan kehancuran akan tiba, bila jabatan diserahkan kepada yang tidak mampu, demikian sabda nabi.

Anda boleh menetapkan pertimbangan anda dalam memilih pemimpin tapi ingatlah selalu sabda Rasulullah yang bermaksud:

Siapa yang mengangkat seseorang untuk satu jabatan yang berkaitan dengan urusan masyarakat sedangkan dia mengetahui ada yang lebih baik maka sesungguhnya ia telah mengkhianati Allah, Rasul, dan kaum Muslim.

Ada yang memberi alasan mengenai sesetengah menggunakan pengaruh wang untuk mendapat jawatan dengan niat yang kukuh iaitu untuk membangunkan masyarakat dan negara. Padahal niat yang baik tidak boleh menghalalkan kaedah atau perbuatan yang tidak baik. Lebih-lebih lagi merasuahkan orang untuk mendapat jawatan. Islam menetapkan niat dan perbuatan mesti betul iaitu kerana Allah. Kalau kita ikhlas untuk membantu masyarakat tanpa niat yang serong insya-Allah, Allah akan tolong orang-orang yang ikhlas.

Rasulullah sendiri pernah ditawarkan perempuan cantik, jawatan tinggi dan harta kekayaan, oleh musyrikin Quraisy agar berhenti dari berdakwah ke jalan Allah. Apa yang Nabi jawab, seandainya kamu letakkan matahari di tangan kananku, dan bulan di tangan kiriku, nescaya aku sekali-kali tidak akan berhenti daripada menyampaikan ajaran tauhid tersebut. Demikian kentalnya iman Rasulullah s.a.w untuk tidak terlibat dengan gejala rasuah yang menjijikkan itu. Itulah jawapan yang amat tepat. Itulah juga cara nabi menutup mulut orang yang cuba hendak merasuahkan baginda.

Dalam satu peristiwa Saidina Umar Al-Khattab sendiri merasa ragu-ragu untuk menerima gaji atas jawatannya. Dia bimbang kalau-kalau gaji yang diterima itu melebihi tugas yang sepatutnya yang dijalankan. Namun hakikatnya hari ini akibat lemahnya iman, soal prinsip dan cara hidup serta amalan politiknya telah goyah. Sebab itulah mudah silau dan terpesona dengan tawaran wang dan harta.

Dari Ma'qil r.a. katanya, Saya mendengar Rasulullah bersabda yang bermaksud: Semua orang yang diserahi tanggungjawab oleh Allah atas rakyat lalu ia mati dalam keadaan menipu rakyatnya itu, nescaya syurga itu haram baginya.

Gejala politik wang harus dibanteras kerana ia boleh mengakibatkan negara dipimpin oleh mereka yang tamak dan nipis iman malah akidah pun sudah rosak.

Mohd Shauki Abdul Majid ialah Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi