AGAMA

Utusan Malaysia 11 Mei 2001

Cerita Pas dan pindaan perlembagaan

Rencana Pilihan
Oleh HANAN ALAWIYYAH
(hananalawiyyah@hotmail.com)
``Sebagaimana bulatnya bulan, sebulat itulah tekad saya untuk meminda perlembagaan.'' Begitulah ketegasan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sewaktu merujuk kepada usaha kerajaan Pas untuk meminda perlembagaan negeri Kelantan berhubung kuasa Sultan Kelantan. Harapan rakyat Kelantan untuk melihat keberanian kerajaan negeri meminda perlembagaan negeri dalam bulan April 2001 hancur berkecai apabila ia berlalu begitu sahaja.

Rakyat dan pemerhati politik yang tertunggu-tunggu untuk melihat kejantanan wakil-wakil rakyat Pas membuat pindaan itu tersentak apabila Penasihat Undang-Undang Negeri Jalaldin Hussain dipersalahkan kerana gagal menyediakan draf cadangan pindaan itu.

Menurut Exco Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Wilayah, Takiyuddin Hassan, rakyat Kelantan harus sedar bahawa kelewatan meminda perlembagaan negeri bukan berpunca daripada kelemahan kerajaan sebaliknya kerana penasihat undang-undang negeri.

Sebagaimana biasa, nampaknya penasihat undang-undang terpaksa dijadikan kambing hitam bagi menutup kelemahan kerajaan Pas yang tidak pernah merasa bersalah itu.

Takiyuddin nampaknya marah benar apabila beliau berkata: ``Jadi, kalau dia sakit dua bulan, dua bulan lagilah draf cadangan pindaan perlembagaan itu baru akan dibentangkan,''- Utusan Malaysia 26 April 2001.

Dalam kes pindaan perlembagaan, kenapa Takiyuddin perlu terlalu mengharap kepada penasihat undang-undang negeri dan apakah ayat-ayat yang perlu dipinda sangat susah untuk difahami sedangkan beliau sendiri sebelum ini adalah seorang majistret dan peguam. Sedarkah juga Takiyuddin kenapa draf Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 negeri Kelantan (hukum hudud) boleh diswastakan oleh kerajaan negeri kepada pemimpin dan peguam Pas sehingga kerajaan negeri terpaksa membelanjakan lebih dua ratus ribu untuk digunakan oleh jawatankuasa penggubal tersebut - (Harakah 29 November 1993).

Kenapakah dalam kes ini, draf pindaan perlembagaan tidak diswastakan kepada peguam-peguam Pas bagi menyediakannya. Apakah tidak ada pemimpin Pas yang sanggup menyiapkan draf pindaan tersebut kerana takut dimurkai oleh Tuanku?

Dalam keadaan kerajaan Pas Kelantan sedang terkinja-kinja untuk meminda perlembagaan negeri, sebuah buku yang dikeluarkan oleh Dewan Pemuda Pas Kelantan bertarikh 13 Januari 1984 bertajuk ``Senjata sudah di tangan cuma menunggu'' elok diteliti kerana ia memuatkan ucapan Nik Aziz yang ketika itu Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.

Buku kecil setebal 18 muka surat itu memuatkan ucapan Nik Aziz pada 9 Januari 1984 pada Persidangan Khas Parlimen bagi meminda perlembagaan Malaysia berhubung ``Subseksyen (2A), Seksyen 11, Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan: ``Raja hendaklah dalam tempoh tiga puluh hari selepas Rang Undang-Undang dikemukakan kepada baginda memperkenankan Rang Undang-Undang itu.''

Pada muka surat 9 buku tersebut Nik Aziz menyatakan ``Selagi perlembagaan Malaysia tidak mengiktiraf keunggulan al-Quran dan Hadis dan memberi kepercayaan kepadanya maka selama itulah perlembagaan Malaysia bersifat anti-Islam.''

Persoalannya kenapa Nik Aziz dan rakan-rakannya mahu meminda perlembagaan Kelantan supaya selaras dengan perlembagaan Malaysia. Bukankah ini bererti Nik Aziz mahu perlembagaan Kelantan turut bersifat anti-Islam sebagaimana yang didakwanya.

Pada muka surat 10, Nik Aziz menegaskan: ``Segala projek yang bercorak Islam di negeri ini pada hakikatnya tak lebih dari meniru projek yang dilancarkan oleh Abu Amir Ar-Rahib di zaman Rasulullah s.a.w.'' Kenyataan inilah yang menimbulkan kes pemulauan penyokong Pas di peringkat bawahan kerana dahulunya masjid-masjid yang dibina oleh Kerajaan Barisan Nasional disifatkan sebagai masjid `dhirar' sepertimana masjid yang dibina oleh Abu Amir Ar-Rahib bagi memecahbelahkan perpaduan umat Islam Madinah telah dimusnahkan oleh Rasulullah s.a.w.

Peristiwa melabel projek dan masjid dhirar ini telah melahirkan kes orang Pas enggan ke masjid yang dibina oleh kerajaan Barisan Nasional.

Pada muka surat 11 buku tersebut Nik Aziz menyifatkan perkataan dan ayat yang ada dalam draf pindaan perlembagaan pada tahun 1984 itu adalah perkataan dan ayat yang terlalu janggal dan jijik untuk digunakan.

Menurut Nik Aziz lagi kata-kata seperti itu hanya layak digunakan untuk pasukan yang menang perang terhadap musuhnya yang kalah perang dengan tujuan menghina dan membunuh karier serta menampakkan wujudnya dendam kesumat dan cemburu salah satu pihak terhadap pihak yang satu lagi.

``Bila pembunuhan karier raja-raja Melayu ini berlaku maka perkara yang selama ini berteduh di bawah payungan raja-raja juga iaitu Islam pasti akan turut mengalami nasib yang sama.''

Di akhir ucapannya itu Nik Aziz menegaskan: ``Kami tidak berminat untuk menyokong pindaan ini.'' Sekarang rakyat Kelantan sedang tertunggu-tunggu ayat-ayat yang akan digunakan oleh kerajaan Kelantan bagi meminda perlembagaan negeri. Apakah ayat-ayat yang akan digunakan itu tidak menampakkan Sultan Kelantan berada di pihak yang kalah perang atau menunjukkan kerajaan Kelantan tidak cemburu kepada kuasa Sultan sepertimana yang diperuntukkan oleh perlembagaan Kelantan pada hari ini.

Rakyat juga menunggu untuk melihat bagaimana nasib agama Islam sekiranya Sultan Kelantan terpaksa berada di pihak yang kalah dalam peperangan sebagaimana yang difahami dari ucapan Nik Aziz itu.

Ucapan Nik Aziz itu pada 9 Januari 1984 telah menjadi suatu sejarah dan kita belum pasti dalam konteks pindaan perlembagaan Kelantan, pihak mana yang akan menjadi sejarah, kerajaan Pas atau Sultan. Pertarungan sebenar belum bermula selagi ia tidak dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Kelantan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi